Nabi Sulaiman a.s & Budaya Organisasi Yang Cemerlang (Bahagian 1)

 

hoopoe(c) Muhammad Haniff Hassan

Untuk mencapai wawasan sebuah masyarakat Islam yang cemerlang, gerakan dakwah yang menjadi tunggak perubahan masyarakat mestilah mempunyai budaya cemerlang dalam organisasinya.

Terlalu banyak bahan yang boleh dirujuk bagi membangun budaya kerja dalam organisasi.

Namun bagi gerakan dakwah, ia tidak harus lupa untuk merujuk Al-Quran.

Al-Quran adalah kitab petunjuk yang turut memberi model budaya cemerlang bagi sebuah organisasi.

Mengenai persoalan ini, kita boleh merujuk kepada surah An-Naml, ayat 15 – 44.

Potongan ayat berkenaan mengandungi kisah nabi Sulaiman a.s, kekuasaan dan kerajaannya, interaksi beliau dengan para pengikutnya dan bagaimana beliau menangani persoalan Balqis, Permaisuri Kerajaan Saba’.

Untuk membawa keseluruhan ayat berkenaan dan menghuraikannya akan memerlukan ruang dan huraian yang panjang.

Oleh itu, fokus di sini hanyalah kepada noktah-noktah penting yang berkaitan dengan budaya kerja sebuah organisasi.

Perincian dan huraian lanjutlah boleh dirujuk langsung kepada Al-Quran, pelbagai kitab terjemahan dan tafsirannya.

Dari kisah nabi Sulaiman dalam ayat-ayat berkenaan, dapatlah disimpulkan 10 budaya kerja bagi sebuah organisasi yang cemerlang;

1. Mengurus sumber tenaga dan memanfaatkan sepenuhnya potensi para pengikut, dari yang kecil hingga yang besar.

Hakikat ini dapat dilhat dari sikap nabi Sulaiman a.s yang memanfaatkan segala sumber yang dikurniakan Allah taala kepadanya, baik manusia, jin, angin bahkan binatang-binatang.

Nabi Sulaiman tidak merasa hina untuk mengambil manfaat hatta dari seekor burung hud-hud.

Beliau tidak memperlekeh maklumat yang disampaikan olehnya, sedangkan ia hanya seekor burung kecil.

Bahkan beliau melantiknya sebagai utusan yang membawa suratnya kepada Balqis.

Organisasi yang cemerlang ialah organisasi yang mempunyai budaya keterbukaan bagi penglibatan yang kecil dan yang besar serta keupayaan untuk memanfaatkan sesiapa sahaja yang bersamanya, orang biasa atau seorang karyawan.

2. Berdisiplin.

Terdapat dalam kisah nabi Sulaiman a.s akan nilai disiplin dalam organisasinya.

Ini dapat dilihat dalam firman Allah taala yang bermaksud;

“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentaranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).” (An-Naml : 17)

Allah taala menceritakan bahawa Sulaiman a.s mengatur tenteranya dengan penuh tertib.

Allah taala juga berfirman yang bermaksud;

“Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir. Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras, atau benar-benar menyembelihnya kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang.” (An-Naml : 20-21)

Nabi Sulaiman a.s menuntut pengikutnya memberi sebab kerana ketidakhadiran dan menghukum jika mereka melanggar aturan yang telah ditetapkan.

Untuk cemerlang, sebuah organisasi perlulah mempunyai budaya disiplin yang baik dan tertib dalam semua perkara.

Disiplin dalam bekerja, disiplin dalam kebersihan, disiplin dalam membuat keputusan, disiplin dalam hubungan sesama manusia dan lain-lain.

3. Berinisiatif.

Nabi Sulaiman a.s berjaya mewujudkan budaya berinisiatif dalam organisasinya.

Hakikat ini dapat dilihat dari sikap Hud-hud yang mengintip Balqis dan melakukan tugas headhunting bagi maslahat dakwah sehingga Balqis menjadi seorang Muslimah dan bergabung dengan nabi Sulaiman a.s.

Ini dilakukan tanpa arahan dari nabi Sulaiman a.s.

Lihat juga pada sikap Ifrit dan lelaki yang berilmu.

Keduanya secara sukarela menawarkan diri untuk melakukan tugas.

Bahkan mereka berlumba-lumba sesama mereka untuk menjalankan tugas.

Allah taala berfirman yang bermaksud;

“Berkata ‘Ifrit (yang cerdik) dari golongan jin: “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya. Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab: “Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.” (An-Naml : 39-40)

Sebuah organisasi yang ahlinya mempunyai semangat berinisiatif yang tinggi, sukarela menawarkan khidmat dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan pastinya lebih baik dari sebuah organisasi yang ahli-ahlinya pasif dan berkerja kerana diarah.

Tidak syak lagi, kesemua itu adalah budaya kerja yang penting bagi sebuah organisasi yang cemerlang.

Hakikat ini pastinya mempunyai kaitan dengan gaya kepimpinan nabi Sulaiman yang terbuka, bersedia mendengar dan meraikan orang biasa dan pembesarnya.

4. Penghayatan kepada segala yang cemerlang dan berluma-lumba ke arah kecemerlangan.

Kalau dinilai antara cadangan Ifrit untuk membawa istana Balqis sebelum nabi Sulaiman a.s duduk dan cadangan seorang yang mempunyai ilmu untuk membawanya sebelum matanya berkerdip (An-Naml : 39-40), kita akan dapati bahawa dari segi kepantasan ia tidak membawa perbezaan yang signifikan.

Apakah bezanya kepantasan antara keduanya?

Hanya beberapa saat sahaja.

Hakikatnya, cadangan pertama oleh Ifrit sudah sudah cukup hebat dan menakjubkan.

Namun, perhatikanlah!

Kerana sikap untuk mengutamakan sesuatu yang lebih baik telah berbudaya, orang yang berilmu tetap mengemukakan cadangannya walau pun perbezaan tempoh antara cadangannya dengan cadangan Ifrit tidak jahu bezanya.

Kerana budaya untuk berlumba membuat kebaikan tersemat dalam diri, dia tidak segan untuk bersaing dengan Ifrit, walau pun cadangannya sedikit sahaja lebih baik dari cadangan Ifrit.

Perhatikan juga sikap nabi Sulaiman a.s.

Walau pun antara kedua cadangan tadi berbeza sedikit sahaja dari segi kepantasan tetapi dia tetap menerima cadangan kedua kerana beramal dan meraikan sesuatu yang lebih baik.

Sebuah organisasi yang cemerlang mestilah memilki budaya untuk sentiasa mencari yang terbaik dan menghasilkan idea-idea yang lebih baik.

Ahli-ahli yang tidak berpada dengan kehebatan yang ada tetapi bersaing untuk membaiki apa yang sedia ada.

5. Memberi kedudukan yang wajar kepada ilmu dan mereka yang berilmu.

Islam amat memuliakan ilmu kerana ia adalah tunggak kepada kemajuan dan kecemerlangan.

Untuk menjadi sebuah organsasi yang cemerlang, budaya cinta pada ilmu, memuliakannya, memberi kedudukan kepada seseorang kerana keilmuannya dan lain-lain mestilah bersemarak.

Organisasi nabi Sulaiman penuh dengan budaya berteraskan ilmu.

Ia meraikan maklumat dari Hud-hud, ia menggalakkan penjanaan idea-idea yang baik, para pembesar yang mengelilingi nabi Sulaiman ialah makhluk yang mempunyai ilmu hebat seperti Ifrit dan lelaki lain itu (An-Naml : 39-40), bukan kumpulan manusia yang menjadi pembesar kerana besar sikap ampunya atau bijak kata-katanya atau jaringan hubungan yang ada padanya.

Ia bersyura untuk mendapatkan pandangan, maklumat dan ilmu yang terbaik.

Kehebatan nabi Sulaiman s.a sebagai pemimpin organisasi juga adalah kerana ilmu yang ia ada iaitu keupayaan untuk memahami dan mengurus alam dan binatang.

Dengan itu semua, ia menguasai kerajaan Balqis tanpa jalan kekerasan.

……. bersambung di bahagian 2 di sini.