Fidyah kepada bukan Muslim

Soalan

Bolehkah sebuah badan Islam membahagi wang fidyah yang diterima dari masyarakat kepada orang bukan Muslim yang miskin sebagai sebahagian dari usaha dakwah dan usaha menampilkan imej Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam?

Jawaban

Fidyah adalah sejumlah harta yang dikeluarkan oleh manusia untuk menutup ibadah yang ditinggalkannya.

Fidyah disyariatkan sebagai sebahagian dari rukhsah (keringanan) bagi mereka yang menghadapi kesulitan dalam menunaikan ibadah tertentu. Ia menggambarkan sifat rahmat dan anjal Islam.

Fidyah dilaksanakan kerana dua sebab utama. Pertama ialah kerana tidak berupaya atau meninggalkan puasa oleh mereka yang;

a.       Tua.
b.       Sakit yang tidak diharapkan kesembuhan atau menghadapi kesulitan yang berat.
c.       Hamil atau menyusukan bayi berserta qadha’ puasa, jika dia takut kemudharatan ke atas kandungan atau bayinya.
d.       Melewatkan qadha puasa sehingga datang bulan Ramadhan yang lain.

Dalil-dali bagi perkara di atas ialah firman Allah taala yang bermaksud “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah.” (Al-Baqarah : 184)

Ibn Abbas berkata “Ia (fidyah) adalah rukhsah bagi orang lelaki atau perempuan tua yang berat untuk berpuasa. Hendaklah keduanya berbuka dan memberi makanan (fidyah) bagi setiap hari (puasa yang ditinggalkan) seorang miskin. Wanita yang hamil dan menyusukan, jika takut kemudharatan atas anak-anak mereka, hendaklah berbuka dan memberi makan (fidyah)” (Riwayat Abu Daud)

Kedua ialah kerana mencukur rambut dari kepala yang sakit ketika ihram. Fidyah di sini ialah samada berpuasa, bersedekah atau berkurban. Allah taala berfirman yang bermaksud “Jika di antaramu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu ia bercukur), maka wajiblah atasnya berfidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau berkurban.” (Al-Baqarah : 196)

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Berpuasalah kau selama tiga hari berturut-turut atau memberi makan enam orang miskin masing-masing setengah liter gandum, lalu cukurlah rambutmu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Di Singapura, kadar fidyah puasa yang ditetapkan oleh MUIS ialah satu kati atau sekitar 600 gram beras atau nilai wangnya bagi setiap hari yang puasa yang ditinggalkan.

Badan Islam yang menerima wang fidyah dari masyarakat boleh melakukan salah satu dari dua perkara berikut;
a.       Menyerahkan kepada Baitul Mal bagi pengagihannya kepada yang berhak.
b.       Mengurus sendiri wang berkenaan dan membahagikannya kepada orang-orang miskin.

Sekiranya badan Islam berhasrat untuk menguruskan sendiri wang fidyah yang diterimanya, boleh baginya untuk memperuntukkan sebahagian dari wang berkenaan untuk diagihkan kepada orang-orang miskin yang bukan Muslim.

Alasan bagi keharusan ini ialah;
a.      Semua dalil yang berkaitan pembayaran fidyah hanya memerintah pemberian fidyah kepada orang miskin secara umum tanpa mengkhususkan kepada orang Muslim sahaja.
b.      Rasulullah s.a.w pernah memberi wang zakat kepada orang bukan Muslim di bawah asnaf muallaf. Zakat merupakan kewajiban harta yang lebih utama dari fidyah dalam Islam.
c.       Rasulullah s.a.w pernah memberi harta rampasan perang kepada orang bukan Muslim.
d.       Para ulama mengharuskan membahagi daging kurban kepada orang bukan Muslim.

Lihat Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili, bab Zakat, jilid 2, mukasurat 871 dan bab Kurban, jilid 3, mukasurat 633, terbitan Darul Fikr, 1996.

Keharusan ini menjadi lebih kuat jika di sana ada keperluan atau maslahat agama bagi memberi sebahagian dari fidyah kepada orang bukan Muslim.

Islam adalah agama rahmat bagi sekalian alam. Ia bukan hanya peduli mengenai nasib orang-orang miskin dari orang Muslim sahaja.

Demikianlah juga pembahagian wang kafarah Zihar yang disebutkan dalam firman Allah taala dalam surah Al-Mujadilah, ayat 4 atau kafarah sumpah, surah Al-Maidah, ayat 89 yang dibayar oleh orang-orang Muslim. Dalam kesemua ayat-ayat ini juga, Allah taala hanya memerintahkan pemberian makanan kepada orang miskin secara umum tanpa taqyid (membataskan) dengan kata sifat Muslim.

Wallahu A`alam

2 komentar untuk “Fidyah kepada bukan Muslim”

  1. Assalamualaikum,

    Terima kasih diatas penjelasan di atas. Saya ada satu soalan tentang qada’ puasa yang dilewatkan sehingga tibanya Ramadhan yang lain. Alasan tertinggalnya puasa pada bulan Ramadan adalah disebabkan haid.

    Sambil qada’ segala hari-hari yang telah ditinggalkan puasa, apakah boleh saya mengagihkan makanan keperluan buat anak-anak yatim dengan niat(dan menyatakan kepada mereka/wakil rumah mereka) untyuk membayar Fidyah dan bukan dengan cara membayar jumlah yang ditetapkan oleh MUIS dalam online Fidyah Calculator kepada mereka(MUIS)?

    Saya difahamkan dari pihak mereka bahawa jumlah hari yang tidak diqada’ di kalikan 2 ganda untuk tahun-tahun dahulunya hingga ke tahun 2015. Misalnya, jika dari tahun 2000 hingga ke 2015, jumlah hari puasa yang tidak diqada’ adalah 7 hari setahun, ia dikalikan seperti berikut:

    2015 – 7
    2014 – 14
    2013 – 21
    2012 – 28
    2011 – 35
    2010 – 42
    2009 – 49
    2008 – 56
    2007 – 63
    2006 – 70
    2005 – 77
    2004 – 84
    2003 – 91
    2002 – 98
    2001 – 105
    2000 – 112

    Jumlah Fidyah Per Hari: $1.30
    Jumlah Total Hari Untuk Qada: 112
    Jumlah Total Fidyah Untuk Haid: $1237.60

    Adakah ini cara yang betul-betul benar?

    Saya mohon atas bantuan Saudara kerana saya kurang fasih dalam hal ini dan perlu penjelasan yang benar yang boleh saya yakini, kerana beberapa pihak menyatakan penjelasan yang berbeza,

    Sekian, JazakAllah Khayr atas bantuan Saudara.

Komentar ditutup.

Scroll to Top