Klik di sini untuk artikel utama.
Klik di sini untuk post script versi Inggeris.
Klik di sini untuk video ceramah mengenai Islam dan homoseksual.
———————
Post Script
1. Kajian mendalam terhadap karya Ibn Hazm mendedahkan bahawa beliau tidak berpendapat bahawa homoseksual adalah harus di sisi Islam dan dapatan ini menolak dakwaan golongan yang mengharuskannya. Ibn Hazm ada menyatakan bahawa homoseksual boleh berkemungkinan muncul dari naluri dalaman seseorang, tapi beliau tidak menjadikannya sebagai justifikasi bagi mengharuskannya. Sebaliknya di dalam karyanya ditemui pendapat beliau yang jelas menyatakan bahawa homoseksual adalah satu dosa besar di dalam Islam. Fakta ini disebut oleh Mobeen Vaid yang menulis artikel yang mencabar hujah-hujah Scott Kugle yang mengabsahkan hubungan homoseksual dalam Islam.[1] Fakta ini tidak dinafikan oleh Junaid Jahangir dan Hussein Abdullatif dalam artikel mereka yang mengkritik hujah-hujah Mobeen dan mempertahankan Kugle.[2]
2. Setelah mengakui secara tersurat fakta bahawa Ibn Hazm turut mengharamkan hubungan homoseksual, Junaid dan Hussein kemudian membangkitkan pendapat Ibn Hazm yang memberi amaran tentang sikap tidak kritikal apabila bertaklid dengan fatwa-fatwa silam dan kesediaan untuk membuat penilaian semula akan fatwa-fatwa ini dan menyalahinya jika ada berkeperluan.[3] Oleh itu, pendapat yang menghalalkan hubungan homoseksual hari ini bertepatan dengan pendapat Ibn Hazm juga. Hakikatnya, pendapat Ibn Hazm tentang menjauhi taklid buta dan kesediaan untuk mengubah fatwa-fatwa lama sesuai dengan perubahan keadaan bukan sesuatu yang unik bagi beliau sahaja. Ia adalah pendapat arus utama kebanyakan ulama dari pelbagai mazhab.[4] Namun anjuran ini tidak dapat dijadikan hujah untuk mempertahankan pendapat yang menghalalkan hubungan homoseksual di era kontemporari kerana apa jua fatwa yang bersifat baru atau yang menyalahi fatwa lama haruslah, pertama sekali, dibangun atas hujah-hujah dan kesarjanaan yang amanah dan berwibawa, bukan selekeh (sloppy) sebagaimana kritikan Mobeen.[5]
3. Jika inti dakwah Nabi Lut a.s. bukan untuk mengharamkan amalan homoseksual di dalam masyarakatnya, tidaklah perlu untuk Nabi Lut a.s. menawarkan anak-anak perempuannya kepada mereka yang mendatangi rumahnya untuk meminta beliau menyerahkan “tetamu-tetamu” lelaki beliau (11:78, 15:71). Demikian juga jika yang haram itu ialah melakukannya secara paksa dan kekerasan (rogol), bukan antara pasangan yang sukarela. Seharusnya Nabi Lut a.s. menganjurkan mereka agar menikahi pasangan lelaki yang saling menyukai sahaja, bukan memilih jalan paksaan dan kekerasan.
Para aktivis pengharus homoseksual berhujah bahawa ayat yang menceritakan cadangan Nabi Lut a.s. ini menyifatkan cadangan itu sebagai “at-har” (lebih suci) (11:78), kata superlatif bagi “tahir” (suci). Perkataan “at-har” memberi maksud bahawa menikahi anak perempuan Nabi Lut a.s. itu hanya pilihan lebih baik, yang memberi makna tersirat bahawa hubungan homoseksual adalah “tahir” (suci), atau harus, bukan haram.[6]
Namun, hujah para aktivis ini dapat ditolak dengan hujah bahawa Al-Qur’an, telah mengklasifikasikan homoseksual yang diamalkan oleh kaum Nabi Lut sebagai “fahishah” (perbuatan buruk), yang mana dalam ayat lain “fahishah” disifatkan sebagai perbuatan yang bersumber dari syaitan dan pasti dilarang oleh Allah taala (rujuk teks utama di atas bagi huraian lebih terperinci tentang “fahishah”).
Kalangan aktivis pengharus homoseksual berhujah bahawa tafsiran terhadap Al-Qur’an berkaitan amalan homoseksual hendaklah dilakukan secara tematik, bukan hanya secara tekstual dan berdasarkan ayat-ayat tertentu sahaja. Pendekatan tematik bermaksud mengumpulkan seluruh ayat-ayat yang ada lalu setiap ayat dikaitkan antara satu sama lain, bukan difahami secara sendiri. Hal ini dapat dipersetujui. Namun pendekatan tematik juga bermakna erti “at-har” yang digunapakai haruslah lebih dahulu dan utama untuk dirujuk kepada ayat-ayat lain bagi mencari maknanya yang tepat. Dalam hal ini, perbandingan antara menikahi perempuan dengan menikahi sesama lelaki bagi melakukan hubungan homoseksual bukanlah antara apa yang “harus dan lebih baik” (at-har) dan “apa yang harus sahaja” (tahir). Tapi, ia adalah perbandingan antara “at-har” dan “fahishah”, kerana mendahulukan makna yang jelas dari ayat lain mentafsirkan “at-har” lebih utama dari mendatangkan makna lain yang tiada sandarannya dalam Al-Qur’an, bahkan bercanggah pula dengan apa yang nyata (zahir).[7]
4. Poin dua dapat diperkuatkan oleh kajian tematik terhadap ayat-ayat mengenai perutusan Nabi Lut a.s. kepada kaumnya secara menyeluruh dengan dibandingkan dengan ayat-ayat mengenai perutusan nabi-nabi lain.
Kajian mendapat bahawa tiada satu pun ayat-ayat mengenai perutusan Nabi Lut a.s. yang menyentuh tentang seruan kepada kaumnya untuk mentauhidkan Allah taala. Kesemua ayat-ayat berkenaan memberi fokus kepada perbuatan-perbuatan jahat mereka yang salah satunya ialah amalan homoseksual.[8] Telah dipersetujui oleh para ulama bahawa tauhid adalah tunggak ajaran Islam dan inti bagi semua dakwah para nabi. Para nabi boleh mempunyai syariat yang berbeza (5:48, 42:13), tapi tiada perbezaan antara para nabi tentang soal beriman dengan kewujudan Tuhan yang bersifat Tunggal dan Esa secara mutlak.
Para aktivis pengharus homoseksual mendakwa kaum Nabi Lut a.s. dimusnahkan oleh Allah taala kerana mereka mengingkari tauhid dan mahu terus berpegang pada akidah yang mensyirikkan Allah taala, iaitu menyembah patung-patung sebagai tuhan lain, sama seperti kaum nabi-nabi yang lain juga, sesuai dengan pendekatan tafsir tematik.[9]
Namun, mengapa Al-Qur’an ketika membicarakan tentang dakwah Nabi Lut a.s. tidak menyebut atau mengulang tema tauhid dan iman yang benar kepada Allah taala seperti ayat-ayat mengenai nabi-nabi lain, dan hanya menegur perbuatan-perbuatan jahat mereka sahaja? Dua kemungkinan dapat dirumuskan, a) soal tauhid bukan masalah utama kaum Nabi Lut a.s., atau b) soal tauhid dianggap “given” sesuai dengan sejarah dakwah nabi-nabi lain yang ada dalam Al-Qur’an dan fokus utama Al-Qur’an sememangnya perbuatan-perbuatan jahat itu kerana sifatnya yang sangat keji dan berleluasa pula sesuai dengan apa yang disebut oleh Al-Qur’an sebagai kejahatan, “yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu”. (7:80).[10]
5. Ayat-ayat Al-Qur’an yang mencela amalan homoseksual (mensifatkannya sebagai “fahishah”) bukan hanya menyebutnya secara kolektif dengan kejahatan-kejahatan lain (lihat 29:28-9), tetapi menyebutnya juga secara individu (7:80-1). Oleh itu, dakwaan yang mengatakan bahawa pengharaman homoseksual harus difahami secara kolektif dengan kejahatan-kejahatan lain, dan bukan sebagai satu amalan tersendiri, adalah tertolak. Kededua kumpulan ayat (7:80-1 dan 29:28-9) seharusnya difahami sebagai memberi makna bahawa homoseksual adalah perbuatan keji secara individu (7:80-1) dan lebih keji jika disertai oleh kejahatan-kejahatan lain (29:28-9). Inilah tafsiran yang telah dipegang oleh para ulama dari zaman silam hingga ke hari ini, hinggalah datang usaha-usaha untuk mengubah pendirian ini atas slogan “keperluan pada tafsiran baru atau progresif”.[11]
Tiada masalah untuk mendakwa bahawa kemusnahan teruk yang ditimpakan ke atas kaum Nabi Lut a.s. adalah disebabkan kejahatan-kejahatan kolektif yang dilakukan – terlalu keji hingga melayakkan hukuman yang berat. Namun, ini tidak menjadi dalil bahawa homoseksual secara tersendiri bukan satu kekejian. Ia mungkin tidak melayakkan hukuman berat, tapi ia tetap satu dosa yang terlarang.
—————————
[1]Mobeen Vaid (2016), “Can Islam Accommodate Homosexual Acts? Qur’anic Revisionism and the Case of Scott Kugle”, The American Journal of Islamic Social Sciences 34:3, pp. 73:76; Pergas, Religious Guidance on Same-Sex Attraction from the Islamic Perspective, Singapore: Pergas, pp. 80-2. Lihat juga, Carl Shariff Al-Tobgui (2022), “Islam and the LGBT Question: Reframing the Narrative”, Yaqeen Institute, 7 October, available at https://yaqeeninstitute.org/read/paper/islam-and-the-lgbt-question-reframing-the-narrative (1 Jun 2025).
[2]Junaid Jahangir and Hussein Abdullatif (2018), “Homosexuality: The Emerging New Battleground in Islam”, Iran Namag, vol. 3, no. 1, pp. CLV.
[3]Ibid., pp. CXXXVIII-CXLI.
[4]Lihat Yusuf al-Qaradawi (t.t.), “Mujibat Taghayyur Al-Fatwa Fi `Asrina”, Qadhaya ‘Ummah Series no. 1, Saint Denis: Maktab Lajnat Al-Ta’lif Wa Al-Tarjamah, Al-Ittihad Al-`Alami Li `Ulama’ Al-Muslimin.
[5]Mobeen Vaid (2016), pp. 76-7.
[6]Junaid Jahangir and Hussein Abdullatif (2018), pp. CLIII-CLIV.
[7]Pergas (2024), pp. 91-5.
[8]Ibid. pp. 79-80, 83-90; Vaid (2016), pp. 78-84.
[9]Ibid, pp. 71-3; Muhsin Hendricks (2010), “Islamic Texts: A Source for Acceptance of Queer Individuals into Mainstream Muslim Society”, The Equal Rights Review, vol. 5, pp. 37-40; Jahangir and Abdullatif (2018), pp. CL-CLI.
[10]Pergas (2024), pp. 83-90.
[11]Ibid., pp. 91-5.