Al-Awlaki tidak sehebat sangkaan AS (Berita Harian [Singapura], 14 Mac 2011)

 

14 Mac 2011

Al-Awlaki tidak sehebat sangkaan AS

Oleh
Muhammad Haniff Hassan Dan Nur Azlin Yasin

PENGARAH Pusat Menentang Pengganasan Amerika Syarikat, Encik Michael Leiter, mengumumkan pada 9 Februari lalu di hadapan Jawatankuasa Kongres bagi Keselamatan Dalam Negeri mengenai ancaman Al-Qaeda di Semenanjung Tanah Arab.

Menurutnya, Anwar Al-Awlaki merupakan antara pemimpin Al-Qaeda yang berisiko paling ketara dalam rangka keselamatan dalam negeri Amerika.

Perkembangan terbaru ini mempunyai beberapa implikasi:

Pertama, Encik Leiter ialah pegawai kanan dalam pentadbiran Presiden Barack Obama kini. Jadi, tanggapannya menggambarkan keseriusan ancaman Al-Awlaki terhadap keselamatan Amerika.

Kedua, tanggapan ini yang menerima liputan sensasi media melalui tajuk-tajuk utama seperti Buru Anwar Al-Awlaki, musuh nombor satu rakyat bakal menarik perhatian lebih meluas daripada pelbagai pihak keselamatan dalam negeri atau antarabangsa. Maka tercetus persepsi global yang pada hakikatnya bersifat prasangka (bias) pada kepentingan Amerika.

Apatah lagi, Amerika sering menggerakkan inisiatif ‘Perang Global Ke Atas Pengganasan’. Ertinya, gerak tindak Amerika mempengaruhi pelbagai usaha melawan pengganasan di serata dunia, baik di Eropah atau Asia. Diperkuatkan lagi ialah status Amerika sebagai adikuasa tunggal dunia.

Alasan Amerika menganggap Al-Awlaki sebagai ancaman utama bagi keselamatan negaranya boleh difahami.

Amerika tampak terselamat daripada serangan besar-besaran pengganas kerana kejayaannya menghancurkan pelbagai kemudahan Al-Qaeda di Afghanistan – sesudah serangan pengganas 11 September 2001 ke atas New York dan Washington DC.

Namun, Amerika terus diselimuti kebimbangan kerana pelbagai serangan dan cubaan serangan berskala kecil muncul daripada individu yang menjadi radikal dari dalam negeri mereka sendiri. Baru-baru ini Encik Peter King, wakil rakyat di New York, telah melancar usaha menyasarkan umat Islam Amerika yang dicap sebagai pengganas.

Pihak keselamatan Amerika menilai AlAwlaki sebagai dalang yang memberi motivasi dan menghasut individu-individu dalam beberapa kes pengganasan di negara itu, termasuk kes Mejar Nidal Hassan yang bertanggungjawab ke atas serangan di kem tentera Fort Hood pada 2009, Omar Farouq Abdul Mutallab yang cuba meletupkan kapal terbang dalam perjalanan ke Detroit pada Hari Krismas 2009 dan Faisal Shahzad yang gagal dalam percubaan mengebom Times Square di New York pada Mei tahun lalu. Hari ini, ideologi yang dicanangkan Al-Awlaki yang telah mempengaruhi tiga individu itu masih mekar di Internet.

Bahan audio dan video Al-Awlaki boleh ditemui di YouTube. Al-Awlaki kelahiran Amerika dan berketurunan Yaman yang gigih menghasilkan majalah Inspire di Internet. Majalah ini mencanangkan idea berbau anti-Barat dan menyeru agar setiap individu bangkit melancarkan serangan pengganasan atas nama ‘jihad’. Tidak syak, Inspire menjadi alat komunikasi yang berkesan bagi mendekati kumpulan sasaran yang berbahasa Inggeris.

Namun jika Al-Awlaki diletakkan pada konteks ancaman pengganasan yang lebih luas, ternyata peranannya kecil. Ertinya, kesan pembunuhan atau penangkapannya kepada ancaman pengganasan tidaklah sebesar mana.

Hal ini ialah kerana:

Pertama, Al-Awlaki sebenarnya susuk tubuh yang baru muncul dalam lingkungan kelompok Muslim radikal. Pengaruhnya belum meluas.

Pengaruhnya besar pada Muslim radikal yang hidup di negara Barat dan hanya fasih berbahasa Inggeris. Tetapi pengaruhnya didapati sederhana di kalangan pemuda Arab di Timur Tengah dan tidak ketara di kalangan kelompok radikal di rantau Afghan-Pakistan dan Indonesia – dua daerah utama di mana perkembangan radikalisasi menjadi tumpuan para pemerhati.

Di Internet, berita dan makalahnya disebarkan dalam bahasa Arab dan Indonesia ke halaman-halaman radikal. Tetapi responsnya lebih bersifat retorika dan tidak menjana banyak perbincangan.

Di alam nyata, Al-Awlaki tidaklah tersohor – jauh setanding Abu Bakar Bashir di Indonesia atau pemimpin mapan Taliban di Afghan-Pakistan.

Kedua, pengaruh Al-Awlaki tidak terlihat dalam kes radikalisasi dan pengganasan lain seperti kes Jihad Jane (Amerika) dan yang berlaku di Indonesia sejak pengeboman Bali yang pertama hingga kepada penemuan kem latihan di Aceh.

Mimbar Al-Tawhid Wa Al-Jihad ialah laman terbesar bahan-bahan radikal di Internet. Di laman ini, terdapat sejumlah pemikir dan pakar strategi yang mempunyai pelbagai tahap pengaruhnya di kalangan kelompok radikal yang memainkan peranan dalam melestari dan mengembangkan ideologi radikal.

Tegasnya, menjadikan Al-Awlaki sebagai fokus membanteras pengganasan global sebenarnya kurang tepat.

Memang perlu dihentikan Al-Awlaki dan gerak tindakannya. Namun lebih penting lagi ialah menyasarkan usaha ke arah memerangi ideologi pengganasan dan bukan pada pencanangnya seperti Al-Awlaki.

Menjadikan Al-Awlaki sebagai musuh nombor satu dan berusaha menghapuskannya mungkin memenuhi kepentingan nasional jangka pendek Amerika. Namun ini tidak begitu menyumbang dalam usaha melawan pelampauan dan pengganasan sedunia.

Ini bermakna setiap negara harus berusaha melakar strategi yang sesuai bagi konteks masing-masing. Namun, apa yang diperhatikan ialah terdapat satu faktor penting yang dikongsi oleh semua pihak dalam menghadapi ancaman pengganasan mutakhir – keperluan mencabar ideologi pengganasan, yang meliputi ideologi yang dicanangkan Al-Awlaki.

Memang penting, tekad besar untuk melemahkan aspek fizikal dan material pelaku pengganasan. Namun usahlah kita lupa akan aset yang lebih penting iaitu mendekati dan meraih sokongan masyarakat. Tanpa sokongan masyarakat, pengganasan belum pasti pupus.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah zamil bersekutu manakala Nur Azlin Yasin pula ialah penganalisis kajian di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.