Artikel – 5 Hujah Bagi Muslim Berinovatif & Berani Memecah Dinding Kaca

inovasi

(c) Muhammad Haniff Hassan

Islam adalah agama yang menganjurkan Muslim agar berpemikiran inovatif, sentiasa berusaha untuk menghasilkan penemuan-penemuan baru dan berani berusaha untuk memecahkan apa jua hambatan, samada yang benar atau palsu, bagi tujuan kemajuan.

Lima hujah dapat dinyatakan bagi menyokong pernyataan di atas.

1. Islam anjurkan Muslim agar mencapai ihsan dalam semua perkara

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan dalam setiap perkara. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah pembunuhan. Apabila menyembelih, maka elokkanlah penyembelihan. Hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah ia menenangkan sembelihannya.” (Riwayat Muslim)

Biasanya, ihsan dikaitkan dengan sifat kasih sayang.

Sebenarnya ia juga mempunyai makna berusaha untuk capai kecemerlangan atau melakukan yang terbaik sebagaimana yang difahami oleh ramai ulama ketika mentafsirkan hadis ini.

Terdapat satu hadis lain yang turut memberi makna yang sama bagi ihsan iaitu hadis mengenai jawapan Rasulullah s.a.w kepada soalan Jibril, “apakah makna ihsan?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya. Jika engkau tidak melihatnya, [rasailah] Dia melihat engkau.” (Riwayat  Muslim)

Hadis ini bermaksud Muslim hendak berusaha untuk capai tahap ketaatan kepada Allah taala yang lebih tinggi dari hanya setakat percaya sahaja, iaitu merasa akan kehadiran Allah taala dengan segala keagunganNya di hadapan matanya atau merasa Allah sentiasa memerhatikan dirinya.

Para ulama berpendapat mencapai ihsan dalam ibadah adalah satu kewajiban.

Hal ini berdasarkan perkataan “kataba” dalam hadis pertama di atas membawa makna mewajibkan.

Oleh itu, nilai ihsan yang dianjurkan dalam Islam sepatutnya mencetus semangat melakukan yang terbaik bagi mencapai hasil yang cemerlang dalam apa jua usaha seorang Muslim.

Atas dasar ini juga Muslim tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian ala kadar sahaja.

Ada dua aspek berkaitan ihsan pula, a) sentiasa berusaha untuk membaiki kelakonan dan pencapaian peribadi, dan b) menjadi terbaik berbanding dengan orang lain.

Ihsan jugalah yang mendasari nasihat para ulama silam, “berusahalah agar hari ini lebih baik dari semalam dan esok pula lebih baik dari hari ini”. Pernyataan yang kedua akan disentuh dalam kemudian dalam artikel ini juga.

Semangat ihsan juga sejajar dengan apa yang Al-Quran sifatkan umat Islam sebagai “umat terbaik” (Al-Quran Al-Karim, 3:110).

Perlu difahami juga apabila Al-Quran mensifatkan umat Islam sedemikian, ia juga bermakna perintah ke atas mereka untuk mencapainya.

2. Islam anjurkan Muslim bersaing antara satu sama lain dalam melakukan kebaikan

Terdapat banyak ayat Al-Quran yang berkaitan dengan poin kedua ini, iaitu:

“….Maka berlomba-lombalah kamu (dalam berbuat) kebaikan….” (Al-Quran Al-Karim, 2:148)

“…dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.” (Al-Quran Al-Karim, 83:26)

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” (Al-Quran Al-Karim, 3:133)

Terdapat juga hadis yang menunjukkan pada erti yang sama, iaitu

“Kalau sekiranya manusia itu tahu apa yang ada pada azan dan saf pertama (dalam solat), kemudian tidak mendapat (tempat) melainkan dengan mengundi, nescaya mereka akan mengundi. Jika mereka tahu kelebihan datang pada awal waktu [ke masjid], nescaya mereka akan berlumba-lumba ke sana. Jika mereka tahu apa yang ada pada solat Isya’ dan Subuh (berjemaah di masjid), nescaya mereka akan datang walau dengan merangkak!” (Riwayat Al-Nasa’ii)

“Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu: terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta tersebut pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain.” (Riwayat Muslim)

Inti kededua hadis di atas menunjukkan anjuran semangat berlumba-lumba dalam beribadah dan melakukan amal kebaikan.

Lebih menarik lagi, Muslim diajar bahawa cara yang betul untuk berasa “irihati” terhadap orang lain ialah dengan memacu diri melakukan yang terbaik dan mencapai apa yang lebih baik dari orang lain itu, bukan menghancurkannya.

Inilah inti pati persaingan dan perlumbaan yang sihat yang dikehendaki oleh Islam bagi memacu kemajuan.

Semangat seperti ini subur di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w yang mana setiap seorang dari mereka sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari yang lain dalam ibadah dan amal soleh.

Salah satu cerita yang masyhur dalam hal ini ialah kisah persaingan antara saidina Umar dan Abu Bakar r.a.

Sebuah hadis ada melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w membuat pengumuman agar orang ramai bersedekah bagi membiayai satu misi tentera. Umar r.a pun bercerita, “pada ketika itu saya mempunyai sebahagian harta. Saya lalu berkata pada diri, ‘Hari ini aku akan berjaya mengatasi Abu Bakar, jika memang aku boleh menyainginya.’ Aku pun membawa setengah dari hartaku ke Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w lalu bertanya, ‘Apa yang telah kau tinggalkan buat keluargamu?’ Aku menjawab, ‘Jumlah yang sama.’ Abu Bakar r.a lalu datang membawa semua harta yang dia ada. Rasulullah s.a.w bertanya padanya, ‘Apa yang kau tinggalkan buat keluargamu?’ Abu Bakar r.a menjawab, ‘Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.’ Ketika itu aku pun berkata, ‘Aku tidak akan mungkin mengatasi Abu Bakar dalam segala hal.’” (Riwayat Al-Tirmizi dan Abu Daud)

Dalam sebuah hadis lain pula menceritakan kededua Umar dan Abu Bakar r.a telah mendengar Rasulullah s.a.w memuji cara bacaan Al-Quran Ibn Mas`ud r.a melalui sabdanya, “Sesiapa yang mahu membaca Al-Quran sebagaimana ia diwahyukan hendaklah membacanya seperti bacaan Ibn Um `Abd (Ibn Mas`ud).” Umar r.a pun bersegera pergi berjumpa Ibn Mas`ud di rumahnya pada waktu malam untuk memberitahu berita gembira ini kepadanya. Tapi apabila tiba di sana, dia diberitahu bahawa Abu Bakar r.a telah pun mendahuluinya. Umar r.a lalu berkata, “Jika benarlah dia telah melakukannya sememangnay dia selalu mendahului kita dalam setiap kebaikan. Apabila kita cuba bersaing dengannya dalam kebaikan, Abu Bakar sentiasa menang. (Lihat artikel Competition in Good Deeds, di islamweb.net)

Sedia maklum, persaingan dan perlumbaan adalah pemacu kemajuan dan pembangunan dalam perniagaan dan sejarah tamadun.

Atas semangat yang sama juga ramai yang telah menceburi bidang baru dan melakukan penerobosan yang kemudiannya memberi manfaat besar kepada ramai.

3. Usaha melakukan penerobosan baru sangat digalakkan oleh Islam

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka….” (Riwayat Muslim)

Jika kita gabungkan maksud hadis ini dengan ketiga poin yang telah dinyatakan di atas, boleh disimpulkan bahawa Muslim bukan hanya dianjurkan untuk melakukan kebaikan tapi juga memimpin orang lain melakukannya.

Lebih dari itu, Muslim dianjurkan untuk membuat penerobosan baru, baik dari segi idea atau perbuatan yang akan membuka jalan kebaikan yang baru, selama mana ia tidak jatuh dalam bid`ah yang terlarang oleh agama.

Tiada sesuatu yang lebih didamba oleh Muslim dari mengharap pahala dari Allah taala yang akan menjamin hidup yang bahagia di syurga.

Hadis ini pula memberitahu jalan mencapai harapan itu, iaitu dengan membuat penerobosan melalui amal kebaikan yang baru, cara baru melakukan kebaikan atau melalui ciptaan-ciptaan baru yang belum dihasilkan oleh orang sebelum ini.

Hasilnya dia mendapat pahala dari amal itu dan pahala mereka yang mengikuti jejak langkahnya dan mereka yang mendapat manfaat dari usahanya itu.

4. Islam anjurkan Muslim agar meninggalkan warisan yang baik.

Hal ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w, “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim)

Poin yang relevan di sini ialah sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat.

Memang apa jua ilmu dan amal soleh yang disampaikan atau lakukan oleh Muslim pasti akan diberi ganjaran baik.

Tapi ganjaran lebih besar dijanjikan bagi amal soleh atau ilmu yang belum ada sepertinya sebelum ini kerana biasanya usaha ini memerlukan idea, usaha dan azam yang lebih kuat dan manfaatnya pula banyak sebagaimana yang dapat dilihat pada pelbagai ciptaan-ciptaan baru sepanjang sejarah.

Perkara ini juga sejajar dengan semangat ihsan dan berlumba-lumba untuk kebaikan yang dinyatakan sebelum ini.

Selain itu, usaha-usaha yang menerobosi bidang baru juga lebih diingati manusia sepanjang sejarah dan ini pula menjadi sumber kebaikan tambahan bagi Muslim, iaitu kenangan orang ramai pada jasa dan kebaikannya boleh menatijahkan doa baginya sepanjang sejarah.

5. Islam anjurkan nilai itqan (ketekunan).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah suka kepada seseorang, apabila dia melaksanakan kerja, dia memperelokkan kerjanya (itqan).” (Riwayat Al-Tabrani)

Boleh disimpulkan bahawa itqan adalah saudara kembar bagi ihsan.

Setiap satu adalah entiti berbeza tapi mempunyai kaitan yang erat.

Ihsan (mencapai kecemerlangan) tidak wujud tanpa itqan (ketekunan).

Salah satu manifestasi ihsan pula ialah melakukan sesuatu dengan itqan.

Itqan, antara lain, menuntut Muslim untuk bertanya, “Apakah yang belum dilakukan lagi?”, “Apa yang memerlukan pembaikan atau perubahan?”, “Adakah cara yang berbeza dari cara yang sedia ada?”, supaya dia tidak hanya mengulang-ulang perkara yang sama atau menjadi pak turut sahaja.

Penutup

Walaupun memiliki kelima-lima nilai yang dinyatakan di atas adalah penting tapi kejayaan bukan hanya dicapai hanya dengan nilai yang baik dalam diri.

Muslim juga perlu ada kemahiran dan ilmu yang betul untuk mencerna idea-idea yang inovatif, berjaya melakukan penerobosan baru atau memecahkan hambatan-hambatan benar atau dinding kaca.

Ilmu dan kemahiran ini pula haruslah relevan dan khusus dengan perkara yang ingin dilakukan atau bidang yang ingin diterokai.

Dalam hal ini, perlulah difahami, bahawa kebanyakan ilmu dan kemahiran ini tidak diperolehi hanya melalui ilmu-ilmu agama sahaja, walaupun ia adalah penting.

Perluasan ilmu dalam bidang pengajian perniagaan juga amat bermanfaat kerana ia mengandungi banyak idea dan peranti bagi menjana idea-idea yang kreatif dan inovatif.

Bagi mempraktikkan perkara ini, adalah elok bagi seorang Muslim untuk turut membaca kisah dan sejarah mereka yang telah berjaya dengan idea-idea inovatif dan pelbagai penerobosan baru dan bermanfaat, tidak kira samada dari kalangan Muslim atau bukan Muslim.