Klik di sini untuk membaca versi asli Berita Harian.
Konflik Gaza Berpihak pada Palestin
Muhammad Haniff Hassan (c) Ogos 2014
Setiap kali berlaku konflik bersenjata antara pihak Palestin dan Israel di Gaza, ia menggambarkan satu senario pembulian oleh pihak Israel ke atas pejuang Palestin disebabkan perbezaan kemampuan ketenteraan yang besar antara dua belah pihak.
Oleh itu, mudah disimpulkan bahawa Israel pihak yang menang dan penentangan pihak Palestin di Gaza hanyalah satu usaha yang sia-sia.
Ibarat kata orang, “kalah lagi!… asyik kalah sahaja!”.
Namun konflik kali mendedahkan beberapa perkembangan baru dari sudut ketenteraan di pihak pejuang Palestin di Gaza.
Perkembangan terbaru ini memberi gambaran senario ketenteraan yang berbeza di pihak pejuang dengan itu memberi kesimpulan yang positif bagi pihak Palestin di Gaza, walau pun kadar kemusnahan dan penderitaan yang menimpa rakyat biasa Palestin juga lebih hebat.
Beberapa perkembangan dari sudut ketenteraan terbaru yang menjadikan natijah konflik ini berpihak bagi pejuang Palestin di Gaza dan patut dibimbangi oleh pihak Israel.
Pertama ialah dari sudut persenjataan yang digunakan oleh pejuang Palestin di Gaza dalam konflik terbaru ini.
Terdapat peningkatan besar dari segi mutu dan stok persenjataan pejuang Palestin di Gaza.
Pada bulan Julai sahaja sebelum dan setelah konflik bermula dianggarkan sekitar 2500 roket disasarkan ke Israel.
Jumlah yang kurang sedikit (2200) dicatatkan pada tahun 2012 tapi ia adalah untuk tempoh satu tahun berkenaan.
Memandang pada hakikat bahawa Gaza telah disekat dari segala sudut hingga bekalan asasi pun sukar untuk diperolehi, pemilikan jumlah stok roket yang besar ini, samada hasil buatan sendiri atau bekalan dari luar, adalah satu pencapaian yang signifikan.
Ia menggambarkan keupayaan pejuang Palestin untuk meneruskan perlawanan walaupun telah mengalami asakan teruk semasa konflik terbesar sebelum ini pada tahun 2008-9 dan dalam keadaan sekatan yang ketat.
Ia juga gambaran kegagalan usaha-usaha Israel, baik dari segi ketenteraan atau ekonomi, untuk menunduk atau menjinakkan penentangan rakyat Palestin di Gaza sebagaimana ia laklukan terhadap PLO.
Persoalannya juga, apa jadi dengan kemenangan yang digembar-gemburkan dalam konflik tahun 2008-9 yang lalu?
Saiz roket yang dilancarkan juga meningkat apabila untuk pertama kalinya kumpulan pejuang berjaya mensasarkan bandar paling utara Israel menggunakan roket yang lebih besar dan jauh jangkauannya, iaitu jenis M302.
Beberapa roket berkenaan telah jatuh berdekatan lapangan terbang Ben Gurion di Tel Aviv hingga menyebabkan ia ditutup dan syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa melarang penerbangan ke sana untuk beberapa hari yang mengakibatkan pula kerugian ekonomi ke atas Israel.
Walaupun mutu ketepatan roket ini masih jauh dari yang sepatutnya dan kesan kemusnahannya amat terhad, namun ia tetap satu pencapaian signifikan memandangkan keadaan sekatan ketat ke atas Gaza dan kesan psikologi dan ekonomi ke atas Israel dan kerana setelah ini tiada lagi bandar utama Israel yang selamat dari serangan roket pejuang Palestin.
Konflik kali ini juga menampakkan penambahan pada pemilikan senjata roket pemusnah kereta kebal di tangan pejuang Palestin, berbanding sebelumnya.
Hal ini berdasarkan jumlah penggunaannya yang meningkat hingga mengakibatkan jumlah kemusnahan kereta kebal dan perisai yang lebih banyak berbanding konflik sebelum ini.
Walaupun jumlah yang diumumkan oleh pejuang Palestin (30 buah) tidak dapat dipastikan kesahihannya, namun pelbagai imej dan video yang terkumpul dari internet memadai untuk memberi gambaran akan keupayaan dari sudut ini.
Untuk pertama kalinya jet pejuang Israel berjaya dijatuhkan melalui roket pertahanan udara jarak dekat yang dilancarkan oleh pejuang Palestin, sebagaimana yang didakwa oleh mereka.
Selain itu, dalam dimensi perang di udara juga, menyaksikan pencerobohan dron kawalan jauh ke ruang udara Israel.
Ini disahkan dari berita tentang penembakan dron berkenaan oleh pihak Israel.
Kumpulan pejuang Palestin pula mendedahkan video yang menunjukkan beberapa dronnya terbang membuat intipan di ruang udara Israel dan mengumumkan pemilikan beberapa jenis dron yang dimiliki mereka.
Kedua dari sudut taktik ketenteraan yang digunakan pejuang Palestin di Gaza.
Pada konflik ini, pejuang Palestin menggunakan taktik penyusupan amfibia untuk menyerang tentera Israel di dalam perbatasan mereka.
Walau pun serangan ini mengakibatkan kematian semua anggota pasukan penyerang dan tidak pasti akan kesan kemusnahannya, ia telah menggambarkan peningkatan keupayaan dimensi perang pejuang Palestin yang pastinya merumitkan lagi masalah keselamatan Israel.
Jika dalam keadaan keterbatasan yang ada, keupayaan ini dapat dibangunkan, adalah tidak mustahil jika ia dapat terus dipertingkatkan sebagaimana peningkatan yang dicapai dari sudut persenjataan.
Jika ini berlaku pula, ia memberi pilihan yang lebih luas bagi pejuang Palestin untuk melancarkan serangan ke atas Israel.
Bahkan kapal-kapal ronda Israel di perairan Gaza yang selama ini selamat dari serangan pejuang Palestin boleh juga terancam oleh keupayaan baru ini.
Dalam konflik ini, pejuang Palestin di Gaza juga telah memanfaatkan kemahiran membina terowong-terowong untuk tujuan penyeludupan dan pertahanan sebelum ini sebagai taktik ketenteraan untuk menyerang tentera Israel di luar perbatasan Gaza.
Beberapa operasi sedemikian dilancarkan dan salah satu darinya berjaya mensasarkan pos kawalan yang mengakibatkan kematian beberapa tentera Israel, tanpa sebarang korban di pihak pejuang Palestin.
Ancaman terowong ini diakui sendiri oleh pihak Israel apabila ia menjadikan penghapusan terowong sebagai salah satu objektif penting operasi kali ini.
Namun lebih menarik lagi ialah hingga kini tiada satu pun kes penggunaan pengebom nekad oleh pejuang Palestin dilaporkan, samada ke atas sasaran tentera atau awam Israel sedangkan ia merupakan satu taktik yang digunapakai dengan banyaknya sebelum ini hingga menjadi ikutan oleh kumpulan militan yang lain.
Ini mungkin petanda perubahan sikap pejuang Palestin berkaitan penggunaan pengebom nekad sebagai taktik perlawanan berakibat dari kritikan ramai pihak mengenainya, baik dari kalangan masyarakat antarabangsa atau dari umat Islam sendiri. Terutama, apabila ia digunakan untuk mensasarkan orang-orang awam.
Selain itu, penggunaan taktik sedemikian oleh kumpulan-kumpulan bersenjata lain di pelbagai medan konflik dalam bentuk-bentuk baru seperti pengebom nekad berkenderaan secara berleluasa yang menatijahkan korban nyawa dan harta benda awam yang menambah kutukan ramai pihak mungkin turut mendorong perubahan sikap ini.
Faktor peningkatan keupayaan ketenteraan kumpulan pejuang Palestin juga boleh menjadi penyebab.
Dahulu pada ketika keupayaan melawan yang terbatas, terdapat logik bagi penggunaan pengebom nekad sebagai taktik perlawanan.
Ia satu senjata yang mudah dibuat, murah dan ampuh untuk menyakiti musuh, walau pun mengundang kritikan ramai.
Tapi apabila keupayaan ofensif, baik dari segi persenjataan dan kemahiran meningkat, keperluan menggunakan taktik yang amat kontroversi ini semakin rendah dan kepentingan memenangi sokongan luar pun menjadi lebih tinggi.
Perubahan ini sepatutnya disokong dan diharapkan ia kekal berterusan kerana penggunaan pengebom nekad, bukan hanya satu perkara yang syubhah di sisi hukum agama, kontroversi yang berkaitan dengannya juga menghilangkan sokongan ramai pihak terhadap satu perjuangan yang sah.
Hakikat konflik kali ni berpihak kepada pejuang Palestin boleh juga dilihat dari sudut sokongan dan simpati ramai pihak dari peringkat antarabangsa, baik dari kalangan pemerintah dalam bentuk kutukan dan tindakan diplomatik atau orang ramai dalam bentuk bantahan besar-besaran di merata dunia.
Alam siber juga memaparkan petanda besar bahawa Israel tewas dalam perang maklumat.
Namun kesemua ini memerlukan artikel lain untuk menghuraikannya.
Jelas juga, sejak dari intifadah pertama (1987-1993), satu fasa baru dalam perjuangan Palestin kerana ia memecahkan dominasi PLO, kemajuan besar telah dicapai oleh pejuang Palestin di Gaza di sudut ketenteraan dan politik.
Jika kemajuan ini berterusan, tidak sukar untuk mana-mana pihak membuat unjuran terhadap masa depan penjajahan Israel ke atas tanah rakyat Palestin.
Penerusan penjajahan Israel ke atas Palestin akan menjadi semakin sukar dari segi ketenteraan dan politik.
Tidak syak, kos dari segi ekonomi juga akan semakin meningkat.
Semoga akan muncul di pihak Israel pihak-pihak yang dapat mencetus perubahan polisi penjajahan ini, yang bukan hanya salah dari sudut moral, tapi merugikan dari sudut politik dan lain-lain pada jangka panjang.
Jika tidak, Israel berisiko untuk ditimpakan satu senario yang lebih memalukan dan merugikannya.
Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura