Artikel – Membangun Keharmonian Sosial: Pelajaran Dari Perisytiharan Marrakesh

Artikel ini diterbitkan dalam Suara Istiqamah, edisi 1, 2020.

Suara Istiqamah adalah surat berita terbitan Masjid Al-Istiqamah.

Klik di sini untuk versi asli format pdf.

Diterbitkan semula atas tajuk, “Keharmonian sosial tanggungjawap semua; bagaimana umat Islam boleh menyumbang”, oleh Berita Mediacorp, 7 Januari 2020, di sini.

Oleh Muhammad Haniff Hassan

Tujuan artikel ini ialah untuk membentangkan beberapa pelajaran bagi masyarakat Muslim Singapura tentang bagaimana mereka dapat menyumbang pada keharmonian sosial dari inisiatif Perisytiharan Marrakesh.

Bagi mencapai tujuan ini, artikel ini akan memperkenalkan kepada pembaca inisiatif Perisytiharan Marrakesh – latar belakang, tujuan, kandungan, penganjur inisiatif dan dalil syarak yang mendasarinya. Artikel ini, kemudian, akan menerangkan kepentingan dan signifikan inisiatif ini dalam konteks masa kini. Setelah itu, rumusan dan pelajaran akan dibuat bagi aplikasi masyarakat Muslim di Singapura.

Mengenali Perisytiharan Marrakesh

Perisytiharan Marrakesh adalah salah satu inisiatif Forum Menggalakkan Perdamaian Di Dalam Masyarakat Muslim di bawah kepimpinan Sheikh Abdullah bin Bayyah di bawah tajaan kerajaan Emirat Arab Bersatu (UAE) (lihat http://www.marrakeshdeclaration.org/ ).

Sheikh bin Bayyah adalah salah seorang tokoh ulama kontemporari yang amat dihormati dan diakui kewibawaannya di seluruh dunia. Beliau pernah diundang sebagai tetamu kehormat Muis untuk berkongsi pandangan dengan para pemimpin dan masyakarat Singapura pada Mac 2017.

Beliau melancar Forum Menggalakkan Perdamaian Di Dalam Masyarakat Muslim pada tahun 2014 sebagai respon terhadap keadaan konflik dan kucar kacir di dalam negara-negara Islam setelah gelombang Arab Spring. Era ini menyaksikan perang saudara yang amat memusnahkan Syria, Libya dan Yaman. Konflik bersenjata berskala lebih kecil pula berputik di Mesir. Kesemua ini menambah pada konflik berterusan di Irak dan Afghanistan setelah peristiwa serangan 11 September di Amerika Syarikat.

Perisytiharan Marrakesh dibuat setelah satu persidangan di bandar Marrakesh di Maghribi yang dianjurkan pada 25 hingga 27 Januari 2016 bagi membincangkan secara khusus mengenai hak-hak minoriti bukan Muslim di negara-negara Muslim. Hal ini adalah kerana pergolakan politik yang melanda banyak negara Islam telah menatijahkan pelbagai penganiayaan terhadap minoriti bukan Muslim seperti menjadi sasaran-sasaran serangan dan aksi keganasan politik dan merumitkan lagi konflik dan keadaan politik semasa.

Di akhir muktamar yang dianjurkan, para penganjur dan peserta bersepakat untuk membuat pengisytiharan yang mengandungi rumusan-rumusan berikut;

  • konsep kontrak sosial antara sesama rakyat dan antara rakyat dan pemerintah yang tersurat dan tersirat dalam konsep kerakyatan dan perlembagaan sesebuah negara sejajar dengan ajaran Islam
  • konsep kesamarataan rakyat dalam hak tanpa kira perbezaan agama dalam peruntukan perlembagaan negara moden hari ini adalah sejajar dengan ajaran Islam
  • rakyat bukan Muslim di negara Muslim hendaklah diberi hak dan tanggungjawab yang sama yang diberi kepada rakyat majoriti Muslim yang lain seperti hak kebebasan agama dan kesetaraan di sisi undang-undang dan keadilan
  • Muslim di seluruh negara Islam hari ini hendaklah menjunjung dan memberi komitmen pada kontrak sosial yang sedia ada atau yang dipersetujui dari masa ke semasa dan kesamarataan rakyat sebagai asas bagi pembangunan, kesejahteraan dan keharmonian bangsa kerana semua itu selari dengan ajaran Islam
  • asas hubungan antara Muslim dan bukan Muslim adalah damai dan harmoni kerana ia adalah inti pati ajaran Islam, bukan perang dan konflik
  • memberi komitmen yang tinggi pada keamanan dan perdamaian dalam apa jua usaha kemasyarakatan dan politik dan menjauhi jalan-jalan konflik, kekerasan dan keganasan, kerana memliharan keamanan adalah maqasid (tujuan) syarak yang tertinggi yang tanpanya objektif memelihara agama, nyawa, akal, nyawa dan keturunan menjadi sukar untuk dicapai.

Dalil syarak bagi Perisytiharan Marrakesh

Para ulama, pemikir, ilmuwan dan pemimpin Muslim yang hadir di persidangan di Marrakesh menyandarkan segala butiran yang terdapat dalam Perisyitiharan Marakesh pada Piagam/Perjanjian Madinah yang berlaku di zaman Nabi s.a.w.

Piagam Madinah adalah perjanjian yang dibuat oleh Nabi s.a.w dan para sahabatnya yang Muslim dan dengan kabilah-kabilah Yahudi dan Arab Madinah bukan Muslim. Ia adalah antara perkara awal yang dilakukan oleh Nabi s.a.w di Madinah apabila berhijrah dari Mekah. Perjanjian ini mengikat sesama Muslim yang terdiri dari golongan Muhajirin dan Ansar dan antara Muslim dan bukan Muslim dalam soal hak dan tanggungjawab bersama sebagai satu ‘umat’ di Madinah yang meliputi hak kesetaraan dalam kebebasan beragama, layanan undang-undang dan jaminan keadilan dan tanggungjawab bersama dalam soal keselamatan, keharmonian dan pembangunan negara.

Berdasarkan kajian para ilmuwan sejarah dan agama yang hadir di persidangan, keabsahan dan ketulenan Piagam Madinah diakui dan sah untuk dijadikan sandaran dan rujukan bagi hukum syarak.

Antara rumusan tentang sifat-sifat Piagam Madinah ialah;

  • piagam itu membentuk kesepakatan yang mengikat semua pihak yang menandatanganinya untuk menjadi dasar bagi memperakui konsep kontrak sosial yang mendasari amalan kenegaraan moden
  • piagam itu ibarat perlembagaan sebuah negara moden masa kini untuk mendasari kewajipan setiap Muslim memenuhi tuntutan perlembagaan negara
  • piagam itu menjadikan semua pihak yang menandatanganinya sebagai satu ‘umat’ tanpa kira perbezaan agama untuk mendasari konsep kerakyatan yang setara (equal citizenship) atau kerayatan bersama (co-citizenship)
  • piagam itu menetapkan semua pihak sebagai sama dan setara dari segi hak dan tanggungjawab yang menjadi dasar bagi peruntukan perlembagaan yang tidak memberi keistimewaan atau mendiskriminasi seorang rakyat kerana agamanya dalam segala perkara bukan keagamaan (i.e muamalah)
  • piagam itu dimeterai melalui proses aman dan damai sebagai huraian bagi masalah sosial dan politik Madinah setelah penghijrahan Nabi s.a.w dan Muhajirin dari Mekah. Piagam itu tidak didahului oleh konflik, bukan huraian bagi konflik yanag berlaku dan bukan juga insiden pasca penaklukan (post-conquest incident) yang mana perjanjian begitu biasanya dipaksakan ke atas pihak yang kalah oleh pihak yang menang. Oleh itu, piagam itu menjadi dasar akan komitmen Islam pada jalan aman dalam menangani segala urusan kemasyarakatan dan politik. Hal ini disokong juga oleh pelbagai dalil syarak lain yang menunjukkan keutamaan jalan aman dan damai di sisi Islam seperti firman Allah taala dalam Al-Anfal:61-2 dan hadis Nabi s.a.w tentang Perjanjian Hudaibiyah.

Kepentingan dan kesesuaian

Perisytiharan Marrakesh mempunyai kepentingan (significance) dan kesesuaian (relevance) dari sudut hukum agama dan aplikasi hukum itu dalam kehidupan masyakarat Muslim di merata dunia di zaman ini.

Pertama, perisytiharan itu membolehkan pensejajaran hukum Islam tentang status rakyat di bawah pemerintahan Muslim dengan konsep kerakyatan moden masa kini, iaitu setiap rakyat adalah sama dan setara tanpa mengira pegangan agamanya. Ini adalah penilaian semula dan peralihan dari pendapat yang dominan dalam fikih bahawa hubungan Muslim dan bukan Muslim diatur oleh perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian zimmah atau perjanjian ahli zimmah. Dalam perjanjian ini, bukan Muslim tidak dianggap sebagai anggota dalam satu ‘umat’, tapi seorang zimmi dalam masyarakat Muslim. Mereka diberi hak-hak tertentu seperti hak mengamalkan agama dan perlindungan bagi keselamatan diri dan harta, tetapi kedudukan mereka kekal rendah (inferior) berbanding rakyat yang beragama Islam disebabkan ketinggian Islam di atas segala agama-agama lain. Ruang untuk membataskan hak-hak mereka sentiasa terbuka pada kuasa penguasa atas alasan maslahat Islam dan umatnya yang lebih besar dan ketiadaan perlembagaan bertulis dan institusi yang melindunginya. Hakikat ini dapat dilihat dalam banyak kitab-kitab fikih yang membenarkan amalan-amalan diskriminatif ke atas golongan zimmi disebabkan situasi di masa itu yang kemudiannya dijadikan hukum yang diterapkan ke atas bukan Muslim di dalam negara Islam oleh sebahagian Muslim di hari ini, walaupun konteks masa kini sudah jauh berubah dari konteks ketika hukum-hukum bagi zimmi dibuat dan diamalkan di zaman silam.

Kedua, ia menegaskan bahawa keyakinan akan keunggulan (superiority) Islam berbanding agama lain tidak semestinya menatijahkan keistimewaan pada hak-hak sosial dan politik bagi Muslim atau membenarkan ketidaksetaraan bukan Muslim berbanding Muslim pada hak dalam bidang sosial dan politik.

Ketiga, perisytiharan itu mengubah tanggapan bahawa konsep umat adalah eksklusif bagi Muslim sahaja, bukan Muslim tidak boleh menjadi anggota satu umat besama Muslim kerana Piagam Madinah memperuntukan Yahudi dan Muslim sebagai satu umat di Madinah.

Keempat, perisytiharan itu membetulkan tanggapan bahawa hubungan Muslim dan bukan Muslim harus diatur berdasarkan andaian konflik dan permusuhan sahaja kerana Piagam Madinah dimeterai tanpa didahului oleh konflik. Bahkan ia dimeterai sebagai satu jalan mencegah konflik dalam di Madinah antara masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan budaya. Ini membezakan ia dengan hukum zimmah yang mula diberlakukan setelah berlaku pengkhianatan perjanjian oleh segolongan Yahudi dan kemudiannya ke atas kabilah-kabilah Arab bukan Muslim yang ditundukkan oleh kekuatan tentera.

Pelajaran bagi Muslim Singapura

Walau pun, Perisytiharan Marrakesh berkaitan dengan tanggungjawab umat Islam terhadap minoriti bukan Muslim yang hidup di negara-negara Islam, ia tetap relevan bagi Muslim sebagai minoriti di negara bukan Muslim. Banyak pelajaran yang boleh diambil untuk aplikasi bagi konteks Muslim yang hidup di negara bukan Muslim sebagaimana yang dipertegaskan sendiri oleh Sheikh bin Bayyah dalam ucapannya dalam persidangan lain pada 11 – 13 Disember 2017 di Abu Dhabi.

Beliau berkata walau pun nama bagi forum pimpinannya terfokus pada masyarakat Muslim di negara-negara Islam tapi isu hubungan minoriti Muslim dan masyarakat bukan Muslim yang majoriti turut berada dalam keperihatinan dan skopnya dan beliau berkeyakinan bahawa segala wasilah bagi menggalak perdamaian yang dijalan dan kemukakan bagi masyarakat Muslim di negara-negara Islam adalah wasilah yang akan membantu penyebaran Islam di mana-mana masyarakat manusia juga.

Oleh itu, pelajaran-pelajaran berikut boleh dirumuskan sebagai panduan dan pegangan agama semua Muslim di negara-negara bukan Muslim umumnya, dan masyarakat Muslim Singapura khususnya agar menjadi agen penyumbang pada keamanan dan keharmonian sosial di negara di mana mereka berada.

Pertama, Muslim hendaklah mengiktiraf dan beriltizam dengan kontrak sosial yang sedia berlaku di negara bukan Muslim di mana mereka berada, baik sebagai rakyat, penduduk tetap atau pelawat berdasarkan semangat yang ada pada Piagam Madinah.

Kedua, beriltizam dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang di negara mereka berada kerana ia adalah sebahagian dari tuntutan kontrak sosial yang diiktiraf oleh Islam.

Ketiga, Muslim hendaklah beriltizam dengan wasilah-wasilah yang aman, bukan keganasan dan kekerasan, bagi memperjuangkan haknya, mengubah kezaliman yang berlaku dan memenuhi apa jua aspirasi sosial dan politik yang ada.

Tidak syak, pasti ada dalam mana-mana perlembagaan dan undang-undang di negara bukan Islam perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam keadaan begini, Islam menganjurkan Muslim untuk berusaha mengubahnya kepada keadaan yang lebih baik dan tidak pasif dengan keadaan sedemikian. Hal ini juga adalah sesuatu yang diakui oleh kebanyakan perlembagaan dan undang-undang negara bukan Muslim yang mengamalkan demokrasi. Bahkan sistem demokrasi itu sendiri dibangunkan dengan tujuan untuk memberi ruang pada rakyat memperjuangkan apa jua aspirasi yang mereka ada. Namun, pelajaran dari Perisytiharan Marrakesh yang bersandarkan Piagam Madinah mengajar bahawa Muslim di Singapura hendaklah mengutamakan pilihan yang aman dan proses pembinaan kesepakatan dengan pihak-pihak yang berkepentingan, menjunjung prinsip demokrasi dan tundung pada ketentuan undang-undang (rule of law). Hingga perubahan dapat dicapai, Muslim hendaklah akur dan bersabar dengan realiti yang ada.