Artikel Pendek – Beza antara penyebar perang dengan pendakwah (Berita Harian, 18 Mei 2009)

cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Komentar

PANDANGAN
Beza antara penyebar perang dengan pendakwah

Oleh
Ustaz Muhammad Haniff Hassan dan Sharifah Thuraiya S A Alhabshi

PADA 2005, seorang warga Britain, Abu Izzadeen (dulunya bernama Trevor Brooks), berkata bahawa umat Islam wajib menyebarkan kegerunan dalam jiwa orang kafir.

‘Sebagai seorang Muslim, saya tentulah seorang terroris (penyebar terror di hati orang kafir),’ tambahnya.

Bahkan, sebuah makalah Abdul Qadir Abdul Aziz, seorang pemimpin kanan Al-Jihad di Mesir, pada 2001 bertajuk Terrorisme dari Islam: Sesiapa yang menafikannya, maka dia telah menjadi kafir.’

Kededua tadi menunjukkan sokongan terbuka kepada pengganasan seperti serangan 11 September 2001. Namun, Abdul Qadir berubah dan kini menjadi penyelar terkenal terhadap kelompok pelampau.

Mengapa mereka berpendapat begitu?

Ini kerana mereka mentafsirkan ayat Al-Quran (Al-Anfal: 60) yang bermaksud:

‘Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang- orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).’

Mereka mendakwa pengganasan sebagai sebahagian daripada Islam. Jadi, sesiapa yang menolaknya dikira ‘terkeluar’ (kafir).

Ayat tadi, hujah mereka, menyuruh umat Islam bertindak ‘turhibun’ (menggentarkan) musuh Allah.

Kekata Arab, ‘turhibun’ berasal daripada kata dasar ‘irhab’, bermaksud pengganasan.

Dengan pentafsiran tadi, kelompok pelampau ini berhujah mengenai peri penting bersiap siaga menghadapi musuh dalam bentuk kuda- kuda perang – yang ditafsiran sebagai kekuatan tempur moden semata-mata demi menjayakan misi Islam.

Pada hakikatnya, dua pendapat di atas merupakan satu fitnah yang besar terhadap Al-Quran. Ia berupa pentafsiran terpesong lagi dangkal sehingga mencemar Islam.

Perkara ini dapat dilihat dari dua sudut.

Pertama, ‘irhab’ ditafsir sebagai ‘pengganasan’ menurut bahasa Arab moden. Semasa wahyu itu diturunkan, belum ada konsep pengganasan seperti yang difahami kini.

Perkataan itu tidak merujuk kepada maksud pengganasan seperti tindakan kelompok pelampau yang membunuh orang awam. Kedua, ayat itu sendiri mengandungi petunjuk bahawa ‘irhab’ bukan bertujuan menyerang orang awam yang tidak berdosa.

Dalam ayat berkenaan, ‘menggentarkan musuh Allah’ dicapai dengan kehebatan umat Islam sehingga musuh berasa gerun atau berfikir banyak kali untuk menyerang.

Oleh itu, konsep ‘menakutkan’ dalam ayat ini lebih dekat kepada konsep penegahan dalam bidang pengajian strategik. Ia tidak bermaksud anjuran untuk melakukan pengganasan bagi menakutkan musuh.

Hal ini dibuktikan pada amalan Rasulullah saw yang melarang pembunuhan bukan pejuang seperti wanita, kanak-kanak, orang tua dan paderi dalam konflik bersenjata.

Tafsiran kedua pula merujuk kepada kehebatan kuasa tempur semata-mata bagi menjayakan misi Islam agar pihak lain menerima atau tunduk juga satu fahaman cetek.

Hakikat sebenar ialah mengajak manusia menerima sesuatu ajaran atau nilai hidup boleh dilakukan secara damai.

Ramai manusia terpengaruh dengan cara hidup Amerika Syarikat tanpa diancam kekuatan senjata adikuasa itu.

India bukan satu kuasa dunia tetapi pengaruh filem Bollywood atau Kollywoodnya berkesan ke atas sebahagian penduduk dunia, termasuk orang Melayu.

Tidak tepat menyatakan ayat tadi merujuk kepada konsep ‘quwwah’ (kekuatan) berdasarkan kelengkapan perang. Memang ada hadis menganjurkan umat Islam belajar menaiki kuda dan memanah.

Namun, ulama semasa yang berwenang telah menafsirkannya secara luas bahawa erti ‘quwwah’ merujuk juga kepada kelebihan ilmu, ekonomi dan keihsanan dan apa jua keistimewaan demi menyebarkan Islam.

Ertinya, konsep ‘quwwah’ boleh berkembang sejajar dengan perkembangan semasa tanpa dibatasi kuasa tempur saja.

Contoh baik ialah Jepun, yang pernah menjadi penjajah dalam Perang Dunia Kedua, namun alah. Pun ia masih perkasa kini dari segi ilmu dan teknologi serta eksportnya ke serata dunia. Jepun boleh dianggap sebuah kuasa dunia.

Dalam hal ini, ahli tafsir Quran, Muhammad Asad, memberikan penjelasan amat berguna dengan mengaitkannya dengan dua ayat terkemudian yang bermaksud:

‘Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin.’ (Al-Anfal: 61-62)

Jelas bagi Muhammad Asad, fahaman lebih tepat ialah dengan menggabungkan ayat-ayat ini dan merujuk kepada tafsiran Al-Tabari, Al-Baghawi dan Al-Razi iaitu perdamaian lebih utama daripada perang.

Perang hanya digunakan bagi melawan permusuhan yang nyata dan kebimbangan terhadap pengkhianatan itu tidak memadai hanya berdasarkan andaian tetapi mestilah berdasarkan bukti yang objektif.

Kededua tafsiran kelompok pelampau mengenai ayat tadi memang tertakluk pada fahaman mereka yang kemaruk dengan berperang. Sebenarnya, perang hanyalah satu alat bagi politik dan ideologi.

Namun, di sisi kelompok pelampau, perang itu sendiri adalah matlamat. Mereka ini gagal melihat secara rasional alat-alat lain yang pada realitinya lebih berkesan bagi menyebarkan Islam secara damai dan meyakinkan.

Tegasnya, kelompok pelampau ini merupakan penyebar perang bukan pendakwah bagi Islam.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff ialah Zamil Bersekutu dan Sharifah Thuraiya S A Alhabshi pula penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.


Copyright © 2005 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne