Versi asal artikel bertajuk, Tidak mudah tangani golongan bersikap negatif; ada panduan berhadapan dengan mereka, Berita Mediacorp, 6 Ogos 2020.
Muhammad Haniff Hassan
Pelbagai panduan agama dan fatwa yang menuntut Muslim melakukan ubahsuai dan menyekat amalan agama yang telah biasa dilakukan sebelum ini sebagai sebahagian langkah bagi menangani wabak Covid-19 yang masih berlaku sekarang seperti penutupan masjid dari solat Jemaah/Jumaat dan pembatasan jumlah kehadiran bagi solat berjemaah/Jumaat.
Terdapat persamaan dan kesepakatan pada panduan dan fatwa dalam perkara yang dinyatakan di atas, baik yang dikeluarkan oleh institusi-institusi fatwa di bawah pemerintah negara, badan-badan agama yang berwibawa atau individu ulama yang telah dikenali ramai.
Sebahagian anggota masyarakat Muslim Singapura tetap memilih bersikap negatif dan mempersoalkan panduan yang ada. Ada yang menuduh bahawa ia dibuat kerana tunduk kepada pemerintah bukan Muslim, sedangkan ia juga dilaksanakan dan difatwakan oleh mufti-mufti dan ulama di negara-negara Islam yang lain.
Ramai aktivis sosial/agama menjadi sasaran sikap negatif dalam bentuk cemuhan dan sindiran yang dilontarkan langsung kepada mereka ketika bertugas atau melalui media sosial.
Yang tekini ialah sikap negatif yang keterlaluan apabila semua tempat bagi menunaikan solat hari raya haji di masjid Singapura penuh diisi dalam tempoh beberapa minit sahaja setelah waktu tempahan di buka sebagaimana yang dinyatakan oleh oleh Ketua Eksekutif Muis, En. Esa Masood, apabila menjelaskan tentang keadaan yang berlaku di wadah Facebook rasmi Muis pada 29 Julai 2020.
Hal ini bukan sesuatu yang baru. Sikap buruk yang sama wujud dalam banyak isu-isu sebelum ini. Ia adalah sesuatu yang mengaibkan kerana tidak mencerminkan akhlak mulia yang diajarkan oleh agama anutan masyarakat.
Para mufti dan ulama memang boleh tersilap atau pendapatnya tidak mesti yang terbaik selalu. Maka, mereka boleh tidak dipersetujui, ditegur atau diberi maklumbalas. Namun, ia bukan justifikasi untuk bersikap negatif yang melampau terhadap mereka atau aktivis sosial/agama sebagai pelaksana panduan-panduan itu.
Walaupun sikap negatif ini perlu dibaiki, ia tidak akan hilang secara total. Di masa akan datang dan seterusnya, ia pasti akan muncul. Hal ini disebut dalam Al-Quran sebagai “asam garam” dakwah yang turut dihadapi oleh para nabi. Oleh itu, bagaimana sikap negatif sebegini dihadapi dalam kehidupan, khususnya oleh para aktivis sosial/agama di masjid-masjid dan badan-badan Islam?
Panduan dari Al-Quran
Terdapat banyak “tips’ dari Al-Quran dalam hal ini dalam banyak ayat-ayatnya untuk dijadikan panduan. Disebabkan keterbatasan ruang, artikel ini akan hanya memberi tumpuan pada dua ayat di bawah;
“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.” (Al-An`am: 68-9)
Kededua ayat ini turun bersebab sikap sebahagian orang musyrik Arab yang mengejek dan mempersenda ajaran Nabi s.a.w. ketika beliau duduk di majlis mereka kerana ingin beramah mesra bagi tujuan berdakwah. Allah taala turunkan ayat ini bagi mengajar Nabi s.a.w bagaimana menangani mereka.
Jauhi mereka seketika
Dalam ayat-ayat ini, Allah taala perintah Nabi s.a.w untuk jauhi mereka seketika, iaitu ketika mereka berperangai negatif, bukan tinggalkan mereka langsung.
Sebab golongan yang mempunyai kecenderungan negatif terhadap usaha agama atau golongan tertentu jangan dijauhi dan ditinggalkan sama sekali kerana tidak harus ada prejudis bahawa sikap mereka akan sedemikian dalam semua keadaan. Menjauhi dan mengelakkan diri dari mereka pula menimbulkan persoalan, bagaimana dakwah akan sampai kepada mereka?
Jika mereka terdiri dari anggota masyarakat Muslim sendiri pula, mereka tetap mempunyai hak untuk mendapatkan bimbingan dan khidmat agama dari asatizah dan badan-badan agama setempat serta akses ke masjid.
Hal ini disebut dalam anjuran agar Nabi s.a.w agar mendatangi mereka semua apabila mereka berhenti dari bersikap buruk atau berbicara tentang perkara-perkara lain pada peluang lain dalam Al-An`am: 68. Dalam Al-An`am: 69 pula, Allah taala mengatakan bahawa golongan sebegini masih tetap boleh mencapai takwa, iaitu berubah meninggalkan perangai buruk, jika peringatan terus disampaikan, walau sedegil mana sekali pun. Dalam ayat Al-Quran yang lain, Allah taala menegaskan bahawa perubahan seseorang itu tergantung juga pada hidayah dariNya (Al-Qasas:56).
Hikmah disebalik anjuran ini pula ialah dengan tidak membalas dengan sikap negatif yang sama atau dengan menjauhi mereka, paling kurang, suasana negatif dapat dielakkan meningkat dan memburuk, jika seseorang itu tidak dapat membalasnya dengan sesuatu yang lebih baik atau memafkannya sebagaimana yang dianjurkan dalam Al-Quran (Fussliat: 34 dan Al-Sura: 43)
Fokus pada tugas
Dalam situasi yang mana sikap negatif mereka tidak dapat dielak seperti apabila mereka menghadiri kuliah agama terbuka, Al-Quran menganjurkan agar diserahkan urusan mereka kepada Tuhan sahaja. Aktivis dan petugas sosial/agama hendaklah fokus pada memberi penjelasan terbaik dan melaksanakan amanah yang ada kerana Allah taala berfirman, “tugasmu [Muhammad dan para pendakwah] hanya menyampaikan saja, sedang Kami-lah yang menghisab amalan mereka. ….” (Al-Maidah: 99)
Muhasabah dan perbaiki usaha
Walau pun Al-Quran menyatakan bahawa golongan yang negatif terhadap usaha-usaha baik akan pasti ada sepanjang masa dan menganjurkan berpaling sahaja dari mereka ketika bersikap buruk, ia bukan bermakna para aktivis sosial/agama tidak perlu berfikir akan pendekatan terbaik dalam mendekati atau berkomunikasi dengan mereka kerana ayat di atas juga menganjurkan agar “peringatan” tetap disampaikan terutama pada ketika mereka tidak bersikap negatif atau pada peluang lain yang sesuai.
Bermuhasabah untuk menilai diri perlu dibuat kerana kadangkala sikap negatif itu memang berpunca dari kelemahan sendiri. Selain itu, andaian bahawa mereka tetap boleh mencapai takwa, seharusnya mendorong untuk berfikir, bagaimana para aktivis boleh berbicara dengan mereka tanpa cetus dari mereka ini sikap negatif atau defensif. Ini memerlukan ilmu dan kemahiran komunikasi yang baik. Oleh itu, perlu faham serba sedikit ilmu ini bagi memastikan keberkesanan dalam berinteraksi dengan manusia dan dalam berdakwah.
Teguran bukan mesti segera
Dua ayat yang dibicarakan juga mengajar bahawa harus bagi para aktivis untuk abaikan dan tinggalkan sahaja keburukan atau kemunkaran yang berlaku jika teguran dan nasihat yang diberi tidak akan memberi kesan pada ketika atau jika dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan. Namun, perkara itu hendaklah dibenci dalam hati pada ketika itu. Pada ketika lain yang sesuai, barulah teguran dan nasihat boleh disampaikan.
Penutup
Walau pun ayat yang dibicarakan dalam artikel ini menyentuh pada asalnya golongan bukan Muslim yang memusuhi Nabi s.a.w dengan keras, tapi pelajaran yang terkandung di dalamnya boleh dikembangkan pada golongan yang suka bersikap negatif terhadap seseorang atas sebab-sebab peribadi atau perbezaan fahaman dari kalangan Muslim dan ahli keluarga. Aplikasinya juga bukan terhadap dalam bidang kerja sosial/agama tetapi boleh diterapkan dalam konteks kehidupan seharian seperti di tempat kerja dan di wadah media sosial.