Artikel saya – Sederhana dan saksama dalam isu meramaikan anak (Berita Harian [Singapura], 20 Februari 2013)

pregnant-muslim-woman-drawingSederhana Dan Saksama Dalam Isu Meramaikan Anak

Muhammad Haniff Hassan

Disebabkan kadar kelahiran di kalangan masyarakat Melayu kini telah jatuh di bawah kadar kelahiran nasional, walaupun kekal tertinggi berbanding kaum-kaum lain, kempen menggalakkan ramai anak kini juga menumpu pada mereka.

Di sisi masyarakat Melayu, ia bukan hanya soal nasional tapi juga ditanggapi oleh sesetengah pihak sebagai soal penakatannya di Singapura. Sebagai masyarakat minoriti, wujud kebimbangan jika kadar kelahiran masyarakat Melayu tidak diubah ia akan menjejas peratusannya dalam komposisi penduduk Singapura. Di tambah dengan kebanjiran golongan imigran di masa akan datang, hal ini akan mencair dan melemahkan pula kedudukan politik masyarakat Melayu yang masih dibelenggu dengan pelbagai masalah ekonomi dan sosial.

Dari sudut agama pula, sememangnya Islam juga menggalakkan umatnya untuk mempunyai zuriat yang ramai. Rasulullah s.a.wa bersabda yang bermaksud “Berkahwinlah agar dapat melahirkan keturunan kerana pada Hari Kiamat kelak, aku akan berbangga jika kamu menjadi umat yang ramai dari umat-umat yang lain.” (Riwayat Al-Baihaqi)

Dalam hal ini, usaha menggalakkan masyarakat Melayu untuk membaiki kadar kesuburan mereka dengan meramaikan anak memang wajar. Pelbagai insentif yang ditawarkan oleh pemerintah wajar untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

Saya sendiri pernah menulis soal ini dari perspektif agama dan diterbitkan oleh Berita Harian pada tahun 2000.

Namun usaha menggalakan ramai anak oleh para pemimpin masyarakat, badan-badan Islam dan media hendaklah dilakukan dengan cermat dan saksama. Pendekatannya hendaklah tidak bersifat  romantisime iaitu yang hanya mengikut emosi dan perasaan yang indah-indah sahaja tanpa berpijak pada realiti atau tidak melihat pada natijah sebaliknya.

Untuk saksama dalam soal ini, beberapa nota perlu dibangkitkan sama dalam menggalakkan masyarakat Melayu beranak ramai.

Pertama, beranak ramai hanyalah satu anjuran bukan kewajiban. Oleh itu, ia tidak boleh dipaksakan oleh sesiapa atas sesiapa pun baik secara langsung atau tidak langsung dalam bentuk tekanan-tekanan persekitaran di peringkat masyarakat atau keluarga. Ini juga bermakna seorang yang lahir dari keluarga besar tidak wajib atau tidak perlu tertekan untuk meneruskan tradisi yang sama. Stigma sosial kerana memilih berkeluarga kecil juga tidak boleh ada.

Kedua, walaupun Islam menggalakkan ramai anak tapi ia tidak pernah menetapkan jumlah anak yang perlu sebuah keluarga itu ada. Oleh itu, ia adalah persoalan yang diserahkan sebagai budi bicara individu.

Ketiga, galakan meramaikan anak dan keyakinan bahawa Allah taala menetapkan rezeki bagi setiap anak yang lahir tidak sama sekali menidakkan kepentingan melakukan perancangan dalam berkeluarga.

Perancangan keluarga di sini bukan terbatas pada soal penggunaan alat-alat kontrasepsi. Tapi ia merujuk pada aspek-aspek:

  • penilaian kemampuan diri dan keluarga untuk menunaikan amanah nafkah dan pendidikan sebaik mungkin (bukan ala kadar) dalam konteks yang ada;
  • penilaian sudut positif dan negatif pada pilihan jumlah anak yang hendak dilahirkan sehubungan dengan realiti diri, keluarga dan keadaan semasa.

Sebagaimana amalan-amalan Islam yang lain, menetapkan jumlah anak juga hendaklah diatur berdasarkan prinsip ikut kemampuan (Al-Baqarah: 286). Dengan erti kata lain, beranak pinak tanpa pertimbangan kemampuan atau melebihi dari kemampuan diri adalah sesuatu yang tidak disukai bahkan boleh menjadi kesalahan di sisi Islam. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh mengetahui kemampuan diri, tanpa melakukan penilaian yang saksama dan objektif? Bagaimana pula sesuatu perancangan yang baik dapat dibuat tanpa seseorang itu jelas akan kemampuan yang ada?

Tidak boleh pula seseorang itu membuat keputusan untuk beranak ramai semata-mata berdasarkan sudut-sudut positif sahaja i.e. membawa berkat. Para ulama apabila menilai sesuatu perkara berkaitan agama akan melihat dari sudut masalahat (positif) dan mudarat (negatif) yang ada. Setelah itu, barulah mereka memfatwakan hukum bagi perkara itu.

Walaupun secara umum segala yang dianjurkan oleh agama pasti ada kebaikannya, tapi itu tidak bermakna ia tiada ‘trade off’ atau kos melepas (opportunity cost) sama sekali. Dalam konteks atau bagi individu tertentu, ‘trade off’ ini boleh sahaja melebihi dari maslahat sehingga menatijahkan pula mudarat yang dilarang atau menjangkau kemampuan seseorang untuk memikulnya.

‘Trade off’ bagi beranak ramai bukan hanya dilihat pada sudut ibu bapa yang hendak beranak. Tapi perlulah juga dilihat pada sudut anak-anak yang sedia ada dan yang akan datang kerana ibu bapa mungkin berasa selesa dengan ‘trade off’ yang wujud tapi kesannya pada anak-anak yang ada dan akan datang mungkin lebih besar lagi.

Segala yang dicadangkan di atas tidak boleh dilihat sebagai bercanggah dengan tawakal  atau usaha cuba melawan takdir kerana konsep tawakal dan iman pada takdir dalam Islam bukan bermakna buat sahaja apa yang dianjurkan tanpa berfikir dan merancang. Dalam sebuah hadits, Rasulullah s.a.w memerintahkan agar unta diikat dahulu sebelum bertawakal.  Al-Quran pula menganjurkan Rasulullah s.a.w untuk merancang secara bermusyawarah dahulu sebelum bertawakal (Ali Imran:159). Jika iman pada takdir bermakna kita hanya berserah pada apa yang telah Allah tentukan tanpa perancangan yang baik, mengapakah Rasulullah menjadikan perancangan yang baik dalam semua hal sebagaimana yang dapat dilihat dalam hijrah, dakwah dan peperangan beliau?

Anjuran Al-Quran agar anak disusukan selama tempoh dua tahun penuh (Al-Baqarah:233) adalah kaedah tabii untuk menjarakkan kelahiran anak yang mana ia juga memberi pelajaran akan tuntutan perancangan dalam beranak.

Keempat, Islam mengutamakan kualiti dari kuantiti (Al-Baqarah:249). Al-Quran memberi amaran kepada Muslim agar tidak meninggalkan zuriat yang lemah (Al-Nisa’:9). Rasulullah s.a.w pula menganjurkan Muslim agar meninggalkan zuriat yang kaya supaya mereka tidak hidup meminta  ihsan orang lain. Beliau juga mahukan generasi yang kuat kerana Allah taala mencintai Muslim yang kuat lebih dari yang lemah.

Kelima, Islam tuntut setiap Muslim agar tunaikan amanah dengan cara yang terbaik (ihsan). Memberi setiap anak kita sepinggan nasi berlauk ikan sardin setiap hari pada dasarnya sudah memadai dalam menunaikan nafkah pemakanan. Tapi persoalannya adakah ia yang terbaik dari kita dan untuk anak-anak kita?

Disebabkan kepentingan melahirkan zuriat yang berkualiti tuntutan ihsan jugalah, perancangan baik diperlukan bagi memastikan amanah setiap anak dapat ditunaikan sebaik mungkin dan pentingnya menjauhi sikap pasrah sahaja pada keadaan supaya hasilnya berkualiti.

Sebagai penutup, perlu dipertegaskan bahawa artikel ini bukan bertujuan untuk melemahkan semangat seorang Muslim untuk beranak ramai.

Apa yang mahu dipertegaskan ialah keinginan dan dorongan berkenaan hendaklah dibina atas kefahaman yang saksama dan bukan ikut-ikutan kerana kesaksamaan membawa pada kesederhanaan yang merupakan inti pati ajaran Islam.

Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratanam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.