17 Jan 2011
Apabila penjara gagal pulih pesalah teror
Oleh
V. Arianti Dan Muhammad Haniff Hassan
INDONESIA masih berdepan dengan masalah memulihkan banduan pengganasan atau disebut ‘pesalah teror’ yang dipenjarakan.
Hakikatnya, angka pesalah ini terus meningkat sejak pengeboman Bali yang pertama pada 2002.
Sehingga kini, sekitar 600 individu telah ditangkap. Daripada jumlah itu, seramai 245 pula telah menjalani hukuman.
Pada tahun lalu, sekitar 100 pesalah teror dipenjarakan.
Antara mereka ialah pesalah berulang seperti guru agama Abu Bakar Bashir, Abdullah Sunata dan Mustofa alias Abu Tholut.
Walaupun jumlah pesalah berulang ini masih rendah, masalah yang mereka timbulkan amat mengancam.
Hal ini disebabkan mereka masih lagi terlibat dalam aktiviti pengganasan dan menjejas kesejahteraan masyarakat.
Mereka berperanan penting dalam penubuhan badan militan yang dikenali sebagai Lintas Tanzim (LT) atau Tanzim Al-Qaeda Serambi Makkah.
Organisasi ini bukan hanya merancang melancarkan serangan ala Mumbai, malah menyasarkan serangan ke atas presiden dan para menterinya, pembesar asing, kedutaan Amerika Syarikat dan Australia dan juga ibu pejabat polis pada tahun ini.
LT didapati mengendalikan latihan militan di hutan Aceh ketika diserbu pasukan keselamatan Indonesia. Peristiwa itu mengakibatkan beberapa korban di kededua pihak.
LT juga didapati melakukan rompakan bersenjata ke atas sebuah bank dan menyerang balai polis di Sumatera sebagai tindakan balas dendam ke atas serbuan pihak keselamatan ke atas kem latihannya.
Ancaman LT ke atas keselamatan Indonesia bukan lagi suatu kemungkinan, malah sudah terjadi.
Sejak tercetus rentetan peristiwa pengganasan, para pengamat kian membicarakan fenomena pesalah berulang ini. Ramai yang berpendapat hal tersebut menunjukkan kegagalan pihak berkuasa memulihkan mereka.
Pihak berkuasa dikritik kerana ketiadaan program pemulihan yang sistematik bagi mengubah sikap dan ideologi para pesalah itu.
Jika program ini ada bak didakwa pihak berkuasa, ia tidak berkesan. Oleh itu, huraian bagi menangani masalah ini terletak pada membaiki atau mewujudkan satu program yang mantap di Indonesia serupa yang dilaksanakan di Arab Saudi dan Singapura.
Namun penelitian mendalam mengenai masalah ini dan realiti di Indonesia mendedahkan bahawa permasalahannya bukan sekadar pada program pemulihan para pesalah.
Masalah itu juga amat berkaitan dengan keadaan penjara yang menampung pesalah teror dan kecuaian di pihak penguasa penjara sehingga para pesalah masih berdegil dengan fahaman mereka dan dapat menghubungi jaringan sosial mereka.
Peranan jaringan sosial dalam meradikalkan seseorang telah dikaji ramai pengkaji seperti Marc Sageman dalam bukunya Leaderless Jihad.
Dengan menyelidiki kesan ratusan pesalah pengganasan di Eropah dan Amerika, Sageman merumuskan bahawa antara sebab utama menjadikan mereka radikal hingga tercebur dalam pengganasan ialah jaringan sosial yang terbentuk daripada hubungan saudara-mara (kinship), persahabatan (friendship), perguruan (discipleship) dan pusat peribadatan (worship).
Mereka ini didesak oleh saudara-mara, teman, guru yang mengajar mereka dan kontak dengan elemen-elemen radikal ketika berada di masjid.
Proses radikalisasi ini kemudiannya diperkukuh apabila mereka membentuk kelompok eksklusif (bunch of guys) yang terasing daripada khalayak ramai yang lain.
Dalam kes pesalah berulang di Indonesia, pihak penjara telah gagal berperanan untuk memutuskan para pesalah itu daripada jaringan sosial mereka.
Pelbagai fakta menunjukkan bahawa beberapa pesalah itu telah mengambil kesempatan daripada kecuaian dan kelemahan pihak berkuasa penjara Indonesia.
Para pesalah itu bukan sahaja tidak diasingkan daripada teman-teman sefahaman, bahkan mereka dapat berkumpul semula di dalam penjara.
Akibatnya, proses radikalisasi terus berlangsung dan menghambat ‘program pemulihan’ yang ditujukan kepada mereka.
Imam Samudra, seorang daripada pengebom Bali, waktu menunggu pelaksanaan hukuman matinya, didapati mempunyai komputer bimbit dengan rangkaian Internet di penjara.
Lantaran itu, Imam dapat mengarahkan kutipan dana bagi pengeboman Bali kedua pada tahun 2005.
Rois, yang dikenakan hukuman mati kerana peranannya dalam pengeboman Kedutaan Australia pada 2004, juga didapati mempunyai 11 telefon bimbit untuk berkomunikasi dengan jaringannya di luar penjara.
Toni Togar, yang sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun, telah meminjam telefon bimbit seorang warden untuk mendalangi satu siri rompakan di Sumatera Utara bersama dengan pesalah lain, Fadli Sadama. Dia juga menggunakan bank akaun seorang warden bagi tujuan yang tidak diketahui.
Abu Tholut, salah seorang ketua organisasi LT merekrut pakar-pakar IT ketika dia dalam penjara.
Akibat kelemahan sistem penjara, pesalah teror dapat meluaskan jaringan mereka dengan membentuk sel-sel baru daripada kalangan banduan dan merekrut ahli baru di luar penjara.
Aman Abdurrahman telah mengindoktrinasi beberapa banduan bagi menyertai LT. Rois pula menggunakan telefon bimbit bagi merekrut ahli baru LT dan mengarahkan mereka.
Perincian mengenai keadaan penjara di Indonesia telah dilaporkan Pusat Krisis Antabangsa dalam laporannya yang bertajuk Deradicalisation and Indonesian Prisons (19 November 2007).
Selagi pesalah teror masih dapat menghubungi jaringan radikal yang sukar dibasmi, selagi itulah ancaman pengganasan sukar diatasi Indonesia.
Memang bukan mudah bagi pihak berkuasa Indonesia membasmi jaringan radikal kerana faktor-faktor berikut:
Pertama, kalangan penyelidik belum sepakat mengenai cara terbaik memenjara tahanan pengganasan – pengasingan tersendiri, ditahan dalam sebuah penjara yang sama tetapi berasingan daripada pesalah jenayah atau menempatkan mereka bersama pesalah jenayah yang lain.
Kedua, prasarana penjara Indonesia belum mencapai taraf antarabangsa sehingga menyekat langsung pesalah daripada sosialnya atau dengan kontak di luar penjara. Ertinya, keberkesanan program pemulihan pesalah teror di penjara Indonesia masih belum memuaskan.
Indonesia memerlukan masa, dana dan kepakaran untuk menjadikan mutu penjaranya cukup berkesan dalam memulihkan pesalah teror. Oleh itu, masyarakat antarabangsa wajar menghulurkan bantuan sebagaimana bantuan yang diterima pasukan antipengganasannya yang terkenal, Detasemen 88.
Pun tidak dinafikan, Indonesia berjaya merubah pesalah teror kembali ke pangkal jalan dan gigih menentang pengganasan seperti Nasir Abas, ketua daerah operasi III Jemaah Islamiyah; Ali Imron, pelaku bom Bali pertama, dan beberapa yang lain.
Namun peristiwa pengganasan terkini yang melibatkan pesalah berulang telah menjejas imej Indonesia.
Oleh itu, tiga perkara wajar ditimbangkan oleh pihak berkuasa Indonesia:
Pertama, mengadakan kajian mendalam mengenai model penjara yang paling berkesan bagi tahanan pengganasan demi memastikan kejayaan pemulihan dan memutuskan jaringan sosial yang meradikalkan mereka;
Kedua, menyemak dan merangka program pemulihan yang lebih baik; dan
Ketiga, melobi masyarakat antarabangsa agar membantu dari segi dana dan kemahiran supaya sistem penjara yang berkesan dapat dikenal pasti dan dibina bagi para pesalah sedemikian.
Nota: Kededua penulis ialah zamil bersekutu penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.