Artikel – Gejolak Mesir: Reaksi penjihad (Berita Harian [Singapura], 14 Januari 2012)

14 Jan 2012

Gejolak Mesir: Reaksi penjihad


Oleh
Zulkifli Mohamed Sultan Dan Muhammad Haniff Hassan

SEJAK revolusi rakyat di Mesir dan beberapa negara Arab yang lain, golongan penjihad (jihadist) memberi reaksi yang berbeza tentang ‘revolusi rakyat tanpa senjata’.

Namun, mereka tetap memberi pelbagai bimbingan kepada kumpulan sasaran mereka.

Objektif mereka ialah menunjukkan keprihatinan mereka tentang gejolak ummah dan memaparkan mereka masih berperanan mempengaruhi perkembangan semasa.

Antara pandangan mereka ialah tujuh ulasan bertajuk Pesanan harapan dan berita gembira untuk rakyat Mesir oleh Ayman Al-Zawahiri, pemimpin Al-Qaeda (sesudah kematian Osama bin Laden).

Sebahagian besar penjihad menyokong revolusi di Mesir dan menyokong aksi bantahan. Ayman Al-Zawahiri dalam risalahnya itu memuji dan menyokong rakyat Mesir yang memprotes.

Ayman juga mendakwa bahawa serangan Al-Qaeda di Amerika Syarikat adalah faktor utama yang mencorakkan sejarah sehingga berlaku revolusi Arab semasa.

Walaupun tidak mengeluarkan fatwa mengenai kedudukan ‘bantahan umum’ dalam Islam, kenyataan Ayman menunjukkan sikapnya yang positif terhadapnya.

Al-Qaeda di Semenanjung Arab (Awap) juga memberi sokongan yang sama dalam satu kenyataan audio oleh Ibrahim bin Sulayman Al-Rubaysh bertajuk Hisad Al-Thawrat (‘Hasil tuaian segala revolusi’).

Abu Al-Mundhir Al-Shinqiti, seorang pemikir yang dihormati kalangan penjihad, mengeluarkan fatwa peribadi bahawa penyertaan dalam protes Mesir dibenarkan dalam Islam dan tidak bercanggah tujuan jihad.

Beliau juga menulis sebuah risalah yang panjang, Al-Taqrirat Fi Mashru’iyat Al-Muzaharat (‘Pandangan tentang keharusan demonstrasi’) untuk menyangkal semua pihak, baik daripada kalangan penjihad mahupun bukan, yang mengharamkan tunjuk perasaan dari segi Islam.

Abu Basir Al-Turtusi, seorang lagi pemikir bagi golongan penjihad, juga sependapat dengan Al-Shinqity.

Di Facebooknya, beliau mengulas ehwal gejolak rakyat di Dunia Arab. Beliau kemudian mengumpulkan segala ulasan ringkas di Facebooknya dalam bentuk folder 300 muka bertajuk Daftar Al-Thawrah Wa Al-Thuwwar.

Beliau memberikan hukum ‘harus’ penglibatan Muslim dalam demonstrasi sambil menyatakan ‘demonstrasi dan bantahan awam adalah satu bentuk bantahan secara kolektif terhadap kejahatan dalam bentuk seorang pemimpin, kerajaan dan parti pemerintah yang bersifat kuku besi’.

Lewat Inspire (nombor 5), sebuah majalah dalam talian Aqap (no. 5), editornya Yahya Ibrahim menulis:

‘Al-Qaeda tidak menentang usaha melakukan perubahan ke atas pemerintah kuku besi melalui aksi bantahan, tetapi ia menolak idea bahawa perubahan hanya berpada melalui cara yang aman tanpa kekerasan.’

Ibrahim juga menegaskan:

‘Ketepatan pandangan ini terbukti melalui revolusi di Libya. Revolusi berkenaan tidak mungkin memperolehi kejayaan jika penunjuk perasaan di Libya tidak mempunyai keanjalan untuk menggunakan kekerasan apabila diperlukan.’

Ahmad Bawadi, seorang pemikir jihad dari Jordan dan penyumbang tetap forum maya jihad, dalam makalahnya bertajuk ‘Revolusi bukanlah pengganti jihad’ (turut diterbitkan di sawang bahasa Inggeris Taleban) menyangsikan gejolak rakyat sebagai menepati erti jihad dengan berkata:

‘Revolusi untuk sebuku roti bukanlah jihad sebenar. Tiada sesiapa sepatutnya berfikir bahawa revolusi disebabkan pengangguran akan menutup kedai arak dan kelab malam.

‘Mereka tidak akan menghalang wanita daripada keluar rumah dalam keadaan berhias dan tanpa berhijab, mendedahkan aurat di kolam renang dan di pantai. Rangkaian menyanyi, menari, pelacuran dan sebagainya tidak akan ditutup oleh revolusi-revolusi tersebut.’

Dalam makalahnya, Nasaih Li Al-Mutazahirin Wa Al- Mu’tasimin Min Al-Muwahhidin (‘Nasihat kepada penunjuk perasaan’), Umar Mahdi Zaydan, seorang sheikh yang terkemuka di kalangan penjihad, menegaskan bahawa suasana beragama tidak boleh diwujudkan kecuali dengan pedang.

Apabila jihad bersenjata tidak dapat dilakukan, Muslim sepatutnya membuat persediaan dengan cara lain berdasarkan dalil jelas daripada Al-Quran dan hadis.

Zaydan mengingatkan bahawa demokrasi bertentangan dengan ajaran Islam.

Namun, pandangan Zaydan dikritik oleh Al-Shinqiti. Beliau berpendapat bahawa kededua jihad dan demonstrasi hanyalah wasilah (laluan) bagi mencapai matlamat unggul perjuangan, iaitu negara Islam.

Tidak ada masalah menggunakan cara yang kurang mudarat seperti demonstrasi dan bantahan selagi ia membawa kepada objektif yang sama.

Beliau menegaskan prinsip panduan dalam isu ini iaitu ‘sesuatu itu dibenarkan sehingga terdapat bukti sebaliknya’.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak yang berhujah mengharamkan demonstrasi agar mengemukakan bukti dari Al-Quran ataupun hadis, bukan pihak yang berlawanan.

Perkembangan terkini di Mesir amat relevan bagi dua kelompok penjihad ini.

Pertama, kebanyakan rakyat Mesir telah mengundi sebagai menyokong demokrasi.

Hal ini merupakan perkembangan yang jelas bertentangan dengan pendirian dua kelompok penjihad itu bahawa pilihan raya demokratik dan penyertaan di dalamnya adalah haram dalam Islam.

Al-Shinqiti, misalnya, melarang semua Muslim daripada mengundi.

Kedua, undi majoriti diraih Ikhwanul Muslimin dan kelompok Salafi yang menolak ideologi para penjihad.

Sikap negatif Al-Qaeda terhadap Ikhwanul Muslimin terakam di dalam buku Hisad Al-Mur (‘Hasil Tuaian Yang Pahit’) karya Al-Zawahiri.

Al-Shinqiti berfatwa bahawa mengundi untuk Parti Islam En- Nahda (di Tunisia) yang merupakan sekutu Ikhwanul Muslimin adalah haram. En-Nahda dianggapnya parti sekular.

Sehingga kini, perkembangan di Mesir menunjukkan bahawa gagasan para penjihad tidak kesampaian di negara paling ramai penduduknya di Dunia Arab.

Ertinya, Al-Zawahiri yang asal Mesir serta rakan-rakannya akan kecewa seperti pengalaman mereka terhadap revolusi di Tunisia.

Nampaknya, pendapat kelompok penjihad bahawa revolusi rakyat Arab adalah usaha sesia bak menampar muka mereka sendiri.

Nota: Zulkifli Mohamed Sultan Penganalisis Penyelidikan dan Muhammad Haniff Hassan pula Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang.