Buat siri drama basmi faham pelampau (Berita Harian (Singapura), 5 Disember 2008)

Artikel terkini ditulis bersama teman sekerja. Untuk versi asal BH, sila lihat lampiran.

———————————————-

PANDANGAN

BUAT SIRI DRAMA BASMI FAHAM PELAMPAU

Oleh
Ustaz Mohamed Redzuan Salleh dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan

MUMBAI, kota filem Hindi atau Bollywood, mungkin boleh mendramakan kisah pengganasan ke atasnya yang terbaru. Bahkan, banyak pemerintah hari ini sudah mula mengorak langkah menggunakan pendekatan bukan ketenteraan dalam menangani isu pengganasan.

Program pemulihan, pendidikan dan perang ideologi semakin menjadi sebutan dalam usaha membanteras gejala pelampauan yang mencetuskan pengganasan.

Apabila membicarakan soal membanteras ideologi pengganasan, seringkali sasaran utama yang terlintas di minda ramai ialah golongan pelampau yang ditahan atau bebas berkeliaran.

Namun, ini sebenarnya bukan satu persepsi yang tepat.

Sebenarnya, sasaran yang sama penting, bahkan kemungkinan juga lebih penting, ialah masyarakat umum – agar mereka dapat disedarkan tentang bahaya ideologi sebegini.

Dengan cara ini, aliran sokongan kepada kelompok pelampau dan pengganas akan dapat dibendung.

Apabila masyarakat umum peka mengenai bahaya penyelewengan ideologi pelampauan dan pengganasan, mereka akan menjadi lebih bersikap terbuka pada segala inisiatif pelbagai pihak dalam menentang kelompok pelampau.

Mereka juga akan lebih bersedia menghadapi kelompok ini dan bekerjasama dalam usaha membanteras pelampauan dan pengganasan agar ancaman ini pupus kelak.

Sehingga kini, pelbagai media dan wasilah telah digunakan bagi menyebar ajaran yang benar mengenai Islam, khususnya tentang jihad.

Namun, masih terdapat media dan wasilah tertentu yang belum lagi diteroka.

Melalui artikel ini diharapkan satu idea baru dapat dikembangkan bagi memaksimumkan manfaat media yang sedia ada.

Ini akan menambahkan lagi keberkesanan usaha memerangi ideologi pelampauan dan pengganasan.

Usaha pendidikan awam dalam membanteras pelampauan boleh dilihat daripada tiga perspektif: pemakluman, pendidikan dan penglibatan.

Pemakluman boleh dicapai melalui media audio dan video, seperti televisyen dan radio, kerana potensinya untuk mencapai sejumlah besar masyarakat awam dalam tempoh masa yang amat singkat.

Aspek ini, sebagai contoh, merangkumi program-program bersifat realiti, drama dan dokumentari.

Pendidikan pula boleh dicapai melalui wadah penulisan seperti buku, kertas kerja dan rencana.

Dewasa ini, usaha sebegini telah giat dilakukan oleh badan-badan Islam dan juga institut-institut kajian setempat.

Aspek penglibatan pula boleh dicapai melalui pelbagai wadah yang membolehkan interaksi orang ramai dalam isu pelampauan dan pengganasan.

Antara program yang berkaitan ialah sesi dialog, bengkel dan aktiviti yang bersifat interaktif.

Program-program ini juga telah banyak dianjurkan oleh pelbagai badan setempat.

Setakat ini, bentuk media yang amat kurang dimanfaatkan dalam menyampaikan pesanan antipelampauan ialah program televisyen yang memang amat popular dalam mendekati masyarakat.

Selain itu, televisyen juga amat berkesan dalam mempengaruhi penonton – kerana ia secara langsung menyentuh indera dan emosi ramai.

Dengan dibantu persembahan audio dan video yang langsung menyentuh mata, telinga, minda dan emosi, ia memudahkan penyampaian konsep yang kompleks kepada para penonton.

Tambahan pula, ia dapat menjangkau mereka yang kurang berminat untuk membaca bahan antipelampauan dalam bentuk media cetak atau menghadiri program umum.

Usaha melawan pengganasan di televisyen setakat ini hanyalah dalam bentuk klip video ringkas yang ditayangkan sekali-sekala di stesen MRT.

Ia memberi panduan kepada umum mengenai tindakan yang perlu ketika berhadapan dengan situasi yang mencurigakan atau ancaman pengganasan.

Persoalannya ialah mengapakah kaedah yang sama tidak digunakan bagi menyebarkan pesanan melawan ideologi pelampauan dan pengganasan?

Antara inisiatifnya ialah menghasilkan satu siri drama yang bermutu menyentuh isu radikalisasi dengan menyelitkan pesanan mengenai bahaya penyelewengan ideologi pelampauan dan pengganasan.

Inisiatif ini boleh dijayakan dengan kerjasama erat antara pihak berkuasa yang boleh menawarkan geran kewangan untuk projek ini, pihak swasta yang boleh menerbitkannya dan pihak agamawan yang memberi masukan perspektif agama.

Inisiatif seperti ini bukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan.

Sebelum ini, misalnya, ialah siri dokudrama, Hanyut, yang menyentuh masalah sosial remaja Melayu pernah diterbitkan oleh pihak swasta dengan sokongan Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan.

Walaupun drama ini mengundang kritikan daripada sesetengah pihak kerana memaparkan remaja Melayu secara negatif, ia berjaya menarik perhatian luas kerana turut disertakan program selingan yang mengundang interaksi ramai.

Begitu juga dengan Rahsia Perkahwinan yang mendapat sokongan daripada Penguasa Pembangunan Media (MDA) Singapura.

Penerbitan drama ini bertujuan menanamkan nilai kekeluargaan yang baik dan kemahiran yang diperlukan bagi melayari kehidupan berkeluarga yang harmoni.

Contoh ketiga ialah dokudrama, Kau Istimewa, yang disokong Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Rancangan ini menonjolkan kehidupan golongan yang kurang bernasib baik dengan tujuan membina nilai kasih sayang dan mengajak mereka yang beruntung untuk membantu golongan ini.

Siri ini begitu berjaya sehingga mendapat pengiktirafan di Festival Filem dan Video Antarabangsa.

Drama bukanlah satu-satunya wasilah yang terbaik. Namun, ia antara wadah yang mendorong masyarakat agar berfikir, bercakap dan bertindak.

Hakikat ini memang disedari dan telah ada contoh pada masa lalu.

Walaupun begitu, masih belum terdapat inisiatif gigih untuk memanfaatkan media ini bagi tujuan membanteras ideologi pelampauan dan pengganasan.

Filem mengenai pelampauan dan pengganasan dari Hollywood, contohnya, lebih condong memaparkan keganasan sebagai hiburan berbanding cerita yang menyentuh minda mengenai ideologi yang menyulut pengganasan.

Amat diharapkan agar dengan keinsafan mengenai peristiwa Mumbai baru-baru ini, akan tercetus inisiatif yang konkrit untuk menghasilkan siri drama mengenai fahaman radikal.

Ini boleh dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan bersama dalam hal ini.

Siri ini bukan saja untuk tayangan televisyen awam, bahkan boleh dijadikan bahan Pertahanan Awam (CD) atau Pendidikan Nasional (NE) untuk keperluan sekolah.

Ada pihak yang mungkin menghujahkan bahawa inisiatif ini mengandungi unsur keagamaan yang menyukarkan ia mendapat tempat di saluran televisyen awam.

Mentelah dasar sekular pemerintah mungkin melarangnya.

Namun, hal ini tidak harus menjadi halangan kerana persoalan ini dapat ditangani kebijaksanaan olahan yang melibatkan kepakaran agama dan penerbitan tanpa menjejas pesanan yang hendak disampaikan.

Nota: Ustaz Mohamed Redzuan Salleh ialah penganalisis penyelidikan dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah zamil madya di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.