Di Sebalik Isu Aurat Wanita Islam……Terdapat Jurang Kefahaman Antara Kita Dan Mereka……

muslimah_v02_by_yip87

 

(c) Muhammad Haniff Hassan

Apabila semakin meningkat kefahaman dan penghayatan masyarakat Melayu terhadap Islam maka semakin meningkat juga keinginannya untuk mengamalkan ajarannya.

Hari ini peningkatan kefahaman Islam, telah mendorong juga peningkatan keinginan wanita-wanita dan ibu bapa beragama Islam untuk melindungi aurat kaum wanita.

Namun dalam suasana Singapura yang bersifat sekular dan sebagai kaum minoriti, jalan menuju ke arah itu bagi sebahagian wanita tidaklah mudah.

Masih terdapat halangan-halangan bagi para pelajar sekolah, pegawai dalam pasukan seragam, pegawai dalam bidang tertentu di sektor awam dan swasta.

Penerimaan terhadap wanita yang menutup aurat juga belum begitu merata.

Sebenarnya di sebalik sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat bukan Islam terhadap wanita Islam yang menutup aurat, wujud satu hakikat bahawa terdapat jurang antara peningkatan kefahaman terhadap Islam di kalangan masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam.

Ini bersebabkan usaha dakwah selama ini terlalu berfokus terhadap masyarakat Islam sahaja.

Amat kurang sekali usaha untuk mendekati masyarakat bukan Islam bagi memahamkan mereka tentang Islam yang mana tidak semestinya bertujuan untuk mengIslamkan mereka tetapi cukup untuk mereka memahami dan menghargai (appreciate) ajaran Islam.

Kita sering kali menyalahkan masyarakat bukan Islam apabila mereka tidak akomodatif terhadap permintaan kita bagi mengamalkan ajaran agama kita.

Kita membina pandangan bahawa semua orang kafir anti Islam dan akan berkonspirasi untuk menghancurkan Islam.

Kita dengan mudah merumuskan bahawa sikap mereka adalah manifestasi terhadap perkara itu.

Walau pun tidak dinafikan kewujudan ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang menerangkan sikap orang-orang kafir dan pelbagai contoh dalam dunia realiti akan ketidakadilan mereka, namun jangan lupa juga bahawa dalam sejarah Rasulullah s.a.w terdapat fakta-fakta berikut;

· Rasulullah s.a.w pernah meminta perlindungan dari seorang kafir dari ancaman Quraisy apabila beliau di halang memasuki Mekah setelah kembali berdakwah dari Taif.

· Rasulullah s.a.w pernah memerintahkan sahabatnya berhijrah ke Habsyah untuk berlindung dari ancaman Quraisy sedangkan rajanya pada ketika itu beragama Nasrani.

· Rasulullah s.a.w pernah mengguna khidmat penunjuk jalan seorang bukan Islam semasa berhijrah.

· Rasulullah s.a.w pernah membuat pelbagai pakatan dengan orang bukan Islam bagi menjaga kepentingan bersama.

Ertinya kita disuruh mempunyai sikap berhati-hati tetapi kita tidak boleh menjatuhkan hukuman secara pukul rata kerana kita akan kehilangan individu-individu bukan Islam yang berpotensi untuk membantu menjayakan misi Islam yang sebenarnya misi kebaikan bagi manusia.

Setelah Rasulullah s.a.w melarikan diri dari kejaran orang-orang musyrik di Taif setelah dakwahnya ditolak, beliau berdoa yang berbunyi “Ya Allah! Aku mengadu kepadaMu kelemahan kekuatanku dan sedikitnya strategiku”.

Doa ini jelas menunjukkan sikap Rasulullah s.a.w yang melihat akan kelemahan dirinya dahulu apabila menghadapi kegagalan dalam usahanya.

Maka termasuk dalam usaha mendapatkan kemudahan bagi wanita Islam menutup aurat di sekolah dan di tempat kerja ialah penerangan yang berterusan melalui sesi dialog, perbincangan, pertemuan tidak formal semasa minum teh atau makan tengahari akan falsafah di sebalik hijab dalam Islam.

Dalam pertemuan-pertemuan seperti ini, perlulah juga mengenalpasti individu-indidvidu bukan Islam yang dapat bersama menjayakan usaha ini sebagaimana Rasulullah s.a.w lakukan dalam perjuangannya.

Hijab adalah pelindung kehormatan wanita dari eksploitasi.

Hijab menjadikan seorang wanita dinilai pada ilmu, keperibadian dan kemahiran bukan pada kecantikan dan susuk badannya.

Hijab juga membantu memelihari kehormatan kaum lelaki dari jatuh dalam kedurjanaan nafsunya.

Semua ini adalah isu kemanusiaan yang menjadi keperihatinan bukan sahaja masyarakat Islam tetapi mereka yang jujur di kalangan bukan Islam.

Kita perlu mencari mereka.

Bersama mereka kita menggembeleng tenaga menjayakan usaha ini.