‘Freelance’ Dalam Dakwah

Di dalam satu sesi pertemuan, aku dan beberapa teman berdiskusi dan bertukar-tukar pendapat mengenai beberapa hal ehwal serta isu yang semasa. Dari isu-isu itu, sebuah topik telah diperketengahkan secara spontan.

 

Seorang sahabatku yang telah menamatkan pengajian tingginya di luar negara menyatakan yang beliau kini bertugas secara ‘freelance’. Menawarkan khidmat kepada mana-mana syarikat, organisasi dan tidak kurang juga bagi orang perseorangan yang memerlukan kepakarannya.

 

“Bekerja secara ‘freelance’ perkara biasa tapi kamu pernah dengar orang yang berdakwah secara ‘freelance’?” seorang sahabat yang lain menyatakan secara berseloroh.

 

“Eh .. ada!” sahut seorang sahabat yang lain.

 

Dari situ, diskusi terus berligar pada pernyataan tadi. Wujudkah dakwah secara ‘freelance’ dalam Islam?

 

Seperti di dalam mana-mana perbincangan, timbul dua pihak yang mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza-beza. Pihak pertama mengambil pendirian bahawa tiada salahnya melakukan dakwah ini secara ‘freelance’. ‘Freelance’ ini dengan erti kata bahawa orang tersebut tidak terikat pada mana-mana pertubuhan agama. Dia bebas memberi khidmat dari satu pertubuhan ke satu pertubuhan yang dia rasa memerlukan khidmatnya.

 

Antara sebab-sebab yang diberikan oleh mereka yang menyokong fenomena ini adalah :

 

1.       Kerana tiadanya ikatan pada mana-mana pihak dan pertubuhan, pendakwah ‘freelance’ itu dapat mengagihkan khidmat dan kepakarannya. Dengan erti kata lain, daripada hanya satu pertubuhan yang beroleh manfaat dari khidmatnya, kini lebih banyak pihak yang dapat memanfaatkan bakat beliau kerana kebebasannya bergerak dari satu organisasi ke satu organisasi yang lain. Bukankah ini lebih baik?

 

2.       Kebebasan yang diperolehi memberikan ruang untuknya memilih projek dari organisasi mana yang perlu diberi keutamaan.

3.       Tidak merasa terlalu bersalah jika terpaksa menolak mana-mana pihak yang memerlukan kepakarannya kerana tiada ikatan janji atau komitmen jangka panjang pada sesuatu pihak.

 

4.       Dapat menguruskan masanya dengan lebih baik memandangkan dia berhak memilih bila dan pihak mana yang harus diserahkan khidmatnya

 

5.       Tidak terlibat dengan perselisihan, permusuhan, perpecahan dan sebagainya yang sering dikaitkan dengan pertubuhan-pertubuhan Islam.

Kerana tiadanya taklukan dan ‘ikatan’ terhadap organisasi tadi, ia mengurangkan risiko terjadinya perselisihan sebagaimana mereka yang terlibat secara langsung dalam satu-satu persatuan seperti yang banyak terjadi pada masa ini.

 

Mereka-mereka yang menolak idea dakwah secara ‘freelance’ ini pula memberi hujah berikut :

 

1.       Setiap pergerakan dakwah ada misi dan visi yang ingin dicapai. Sudah tentunya juga, untuk mencapai visi dan misi yang telah di tetapkan, perlulah ada peraturan dan adab-adab yang perlu dipatuhi bagi mencapainya. Mereka yang melakukan dakwah secara ‘freelance’ ini dengan secara tidak langsungnya menyatakan ketidaksanggupan mereka untuk mematuhi peraturan dan adab-adab yang ditetapkan. Dengan erti kata lain, tiada pendirian dan disiplin!

 

2.       Tanggung jawab serta perjalanan dakwah menuju ke jalan Allah amatlah besar dan terlalu jauh. Persiapan hendaklah dibuat agar bersedia menghadapi kekerasan dan kesukaran ini. Tentunya, organisasi itu akan melatih anggotanya dalam persedian tersebut. Samakah tahap ketahanan seorang pejuang yang berlatih secara ‘bersama’ dengan mereka yang berlatih secara ‘sendirian’ menghadapi mehnah-mehnah Allah? Dan bukankah Allah telah berjanji,

 

3.       Bukankah Islam telah mewajibkan agar umat Islam bekerjasama dengan orang lain yang bekerja di dalam medan dakwah kepada Allah secara berjamaah, selari dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,

“Kekuatan Allah bersama-sama dengan jamaah, sesungguhnya serigala itu hanya akan (dapat) memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)” (Riwayat  Abu Daud)

 

4.       Perselisihan dan perbezaan pendapat memang dan akan wujud di dalam sebuah organisasi atau jamaah. Malah fenomena ini tidak lari dari di mana-mana korporasi atau syarikat; kecil atau besar, sendirian berhad mahupun bertaraf berbilang negara (MNC). Yang pentingnya, ahli itu harus taat kepada amirnya kerana sesungguhnya taat itu adalah wajib selagi tidak tergolong dalam perkara maksiat, kerana firman Allah,

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya) dan ulil-amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-Nisaa’ : 59)

 

Perbincangan ditutup tanpa mana-mana pihak memenangkan pendirian mereka dari pihak yang lain. Kerana mereka tahu, akhirnya, samada seseorang itu memilih untuk melakukan dakwahnya secara ‘freelance’ ataupun menumpukan ‘sepenuh tenaganya pada satu-satu jamaah’, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud

 

“Sesungguhnya amal itu dengan niat dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya, barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan rasulNya dan barangsiapa yang berhijrah kepada dunia beliau akan mendapatinya, atau (berhijrah kerana) perempuan beliau akan mengahwininya, hijrahnya adalah (menurut tujuan) beliau berhijrah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Umar r.a)

 

Namun seoarng sahabat sempat juga menyelit, “Barang siapa yang mendirikan solat akan mendapat pahala bagi solatnya tetapi mana pilihan kita; solat secara sendirian ataupun secara berjamaah yang memberi lebihan pahala 27 kali ganda dari yang bersolat sendirian?”

 

Aku pula terus berfikir, “Apakah freelancer semestinya tidak berjamaah atau berorganisasi atau tidak termasuk dalam amal kolektif? Apakah usaha freelance semestinya tidak menyumbang apa-apa kepada misi dakwah yang lebih besar dari misi yang ditentukan oleh organisasi? Apakah semestinya sumbangan aktivis organisasi lebih berkualiti dari sumbangan seorang freelancer?”