PANDANGAN
Islam tidak larang wanita jadi pengerusi masjid
Oleh
Muhammad Haniff Hassan
BUKAN tujuan utama makalah ini menyokong idea wanita menjadi pengerusi lembaga pentadbir masjid (LPM).
Maksud saya ialah sekadar mengupas beberapa aspek hujah Encik Mohd Maidin Packer Mohd (Tidak elok wanita pimpin masjid, BH, 1 Oktober) berkaitan hukum agama.
Beliau membangkitkan soal apakah ada dalil daripada Al-Quran atau hadis yang dapat menyokong gagasan wanita menjadi ketua di masjid. Ketiadaan dalil atau nas, maka boleh menjuruskan gagasan ini ke arah bidaah.
Bagi saya, ini adalah satu permulaan kurang tepat kerana bukan semua perkara yang tiada dalil Al-Quran dan hadis bermakna tidak boleh diamalkan atau menjadi bidaah.
Majoriti besar ulama berpendapat prinsip yang mengatur urusan keduniaan ialah asalnya harus, kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Rasulullah saw bersabda dalam hadis riwayat Muslim:
‘Kamu lebih tahu akan urusan dunia kamu.’
Ini setelah baginda mendapati larangannya ke atas amalan orang Madinah mengahwinkan benih tamar tidak membawa hasil tuaian lebih baik daripada sebelumnya.
Baginda juga bersabda dalam hadis riwayat Al-Hakim dan Al-Bazzar:
‘Apa yang Allah telah halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah telah haramkan, maka ia adalah haram. Apa yang Dia berdiam diri mengenai satu perkara, maka ia adalah satu kemaafan (keringanan). Maka terimalah kemaafan (keringanan) daripada Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan selama-lamanya lupa.’
Rasulullah kemudian membaca:
‘Dan tidaklah Tuhan kamu itu lupa.’
Hal ini bermakna dalam urusan dunia, kita diberi kebebasan untuk melakukan sesuatu berdasarkan maslahat dan kebaikan bersandarkan ilmu, pengalaman atau kajian yang berwibawa – selama tiada dalil Al-Quran dan hadis yang sebaliknya.
Bagi saya, aspek pengurusan masjid merupakan urusan keduniaan. Ini berbeza sekali daripada soal menjadi imam solat yang merupakan bidang ibadat.
Apabila dikatakan masjid adalah urusan keduniaan, bukan bermaksud seperti fahaman sekular yang menafikan kaitan urusan keduniaan daripada pertimbangan agama. Urusan keduniaan dalam pembahasan fiqah tetap perlu memenuhi piawai syariah.
Piawai hukum dalam soal pengurusan masjid di sisi syariah bukan atas dasar ‘tiada dalil Al-Quran dan hadis’, bermakna tidak dibolehkan.
Oleh itu, soalan lebih tepat ialah apakah dalil daripada Al-Quran dan hadis yang secara qat’ii (jelas) melarang wanita menjadi ketua LPM?
Hakikatnya, tiada satu ayat dalam Al-Quran yang secara jelas melarang wanita memimpin LPM masjid atau menjadi pemimpin. Semua ayat yang digunakan bersifat zanni (spekulatif atau agakan semata) dalam memberi hukum tentang kepimpinan wanita – ertinya ia adalah satu tafsiran.
Al-Quran ada menceritakan kepimpinan Balqis tanpa mengkritik aspek kepimpinannya. Bahkan, ada petunjuk yang sebaliknya iaitu amalan berunding (syura) beliau. Lihat kisah Balqis dan Nabi Sulaiman dalam ayat 29 hingga 35, Surah An-Naml.
Terdapat hadis yang berbunyi:
‘Tidak akan berjaya satu kaum yang menjadikan wanita pemimpin bagi urusan mereka.’
Konteksnya ialah baginda mengulas ketika mendengar Parsi diterajui seorang puteri setelah kematian ayahnya yang tidak mempunyai waris lelaki.
Terdapat banyak tafsiran ulama tradisional/klasik tentang aplikasi hadis ini.
Namun, yang masyhur di sisi majoriti ulama ialah wanita hanya dilarang menjawat jawatan khilafah tertinggi dan kehakiman umum.
Majoriti ulama semasa tidak bermasalah dalam soal kepimpinan wanita menjadi menteri, apatah lagi kalau hanya sebagai pengerusi LPM.
Perincian perbahasan isu ini boleh dirujuk kepada penulisan Dr Wael Shihab bertajuk Can Women Be Rulers? dan tulisan Dr Jamal Badawi bertajuk Gender Equity & the Legal and Political Aspect (Bahagian 4) – kededuanya di halaman onislam.net – serta pandangan Ustaz Zaharudin Abdul Rahman, Wanita Sebagai Pemimpin Menurut Islam, di zaharudin.net.
Kedua ialah soalan Encik Maidin: apakah kian merosot mutu kepimpinan lelaki kini hingga perlu pada kepimpinan wanita?
Dari sudut penghujahan hukum, ini juga satu hujah yang lemah kerana ia bukan satu-satunya persoalan atau pertimbangan dalam isu ini.
Andai kita terima tiada apa-apa masalah pada kepimpinan lelaki yang ada, tetapi kajian mendapati kepimpinan wanita boleh menambah nilai atau menggandakan kebaikan sedia ada, ia boleh menjadi pemberat untuk membenarkan kepimpinan wanita.
Islam adalah agama yang menganjurkan pembaikan berterusan. Ertinya: mengekalkan status quo tidaklah wajar selagi ada kebaikan yang ada boleh digandakan seperti melalui kepimpinan wanita.
Namun, hal ini perlu pula diimbangi dengan analisis mudarat – adakah mudarat daripada kepimpinan wanita lebih besar daripada maslahat yang diraih?
Kini, sudah ada wanita yang memimpin madrasah yang menggajikan para ustaz dan kakitangan lelaki yang dapat menyesuaikan keadaan dan menerimanya. Oleh itu, ia adalah soal penerimaan, bukan soal halal atau haram.
Merujuk pada komentar sesetengah pihak yang mengaitkan isu kepimpinan wanita dengan pengaruh Barat dan liberalisme pula, piawai yang betul dalam isu ini ialah sejauh mana ia menetapi kaedah-kaedah analisis hukum yang diguna pakai oleh ulama sepanjang zaman sebagaimana yang ada dalam ilmu usul fiqh (dasar-dasar hukum Islam).
Islam tidak menilai Barat atau Timur, tetapi apakah sesuatu hal ini sejajar dengan lunas-lunasnya.
Al-Quran mengajar bahawa hikmah berada di mana-mana. Dari sudut sejarah, sebahagian kemajuan Barat hari ini dicedok daripada tamadun Islam.
Membangkitkan isu Barat dalam kepimpinan wanita bak tidak membincangkan merit sesuatu idea berdasarkan hujahnya. Ini telah memalingkan tumpuan perbincangan daripada isu sebenar dan hujah pokok. Hal ini tidak membantu perbincangan secara objektif tetapi menjurus pada taktik ‘melabel’ (labelling).
Menilai isu ini memerlukan beberapa peringkat analisis:
Perbahasan saya mengenai isu ini ialah di peringkat pertama. Hukumnya ialah ‘harus’ kerana tiada dalil yang melarangnya. Namun, ini bukan bermakna ia perlu dilaksanakan sebagai dasar umum. Sebabnya, pelaksanaan satu dasar umum perlu pertimbangan lain iaitu jawapan bagi soalan kedua dan ketiga di atas.
Ada perkara yang ‘harus’ tetapi tidak wajar dilaksanakan kerana faktor luaran tertentu. Jangan pula hal ini disamakan dengan perkara yang tidak boleh dilaksanakan kerana memang haram di sisi agama.
Memberi maklum balas atas andaian bersifat spekulatif sesuatu yang digalakkan. Namun, ia bukan asas dalam membuat keputusan atau hukum.