(Nota: Artikel ini ditulis pada asalnya di tahun 1997)
Satu hari aku menghadiri satu majlis dan mendengar seorang sahabat memberi ucapan tazkirah (peringatan) kepada yang hadir seperti berikut
“Sahabat yang dikasihi!!
Ingatlah akan kematian kerana ia adalah perkara yang paling pasti dalam kehidupan kita. Rasulullah s.a.w mendorong kita agar sentiasa mengingati kematian dan menyatakan antara sebab yang menjadi bencana bagi umat ini apabila mereka dihinggapi sifat cinta kepada dunia dan benci kematian.
Sahabat yang dikasihi!!
Generasi pendakwah dahulu tidak pernah melupakan mati dalam kehidupan mereka sehingga apabila mereka keluar berjuang di jalan Allah mereka mengharapkan salah satu dari dua kebaikan, samada mati sebagai syahid atau hidup dengan kemenangan.
Sahabat yang dikasihi!!
Kita boleh berusaha untuk memastikan wawasan perjuangan kita untuk memastikan Islam sebagai satu cara hidup terlaksana di muka bumi, dengan tertegaknya sistem ekonomi Islam atau pendidikan Islam dan lain-lain namun yang penting untuk kita pertanyakan diri kita dalam kita menilai segala usaha dan pengorbanan masa, tenaga dan harta selama ini ialah sejauh mana ia memberi sumbangan kepada kehidupan kita setelah kematian nanti. Adakah ia akan memberi sumbangan positif atau negatif.
Berhati-hatilah kita dari tergolong dalam golongan yang dinyatakan oleh Allah taala
Katakanlah Akan kami beritakanlah kepadamu orang-orang yang paling rugi amalannya? Orang-orang yang terbuang saja usahanya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka mengira bahawa mereka melakukan usaha-usaha yang baik (Al-Kahf : 103 – 104)
Sahabat yang dikasihi!!
Yang menentukan kejayaan kita setelah kematian ialah keimanan dan yang mencelakakan kita ialah syirik. Syirik berlaku dalam dua bentuk syirik pada kepercayaan dan syirik pada niat. Syirik pada niat dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai riya’ iaitu apabila kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah taala.”
Dan aku pun berdoa “Ya Allah!! Janganlah kau luputkan dari ingatanku terhadap kematian walau sedetik pun dalam hidupku”