Kaedah Dalam Memperbetulkan Pemerintah & Penguasa 1/3

(Nota: Artikel ini dikutip dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

 

Antara perkara yang menjatuhkan seseorang itu dalam pelampauan di pelbagai tempat ialah dalam persoalan menghadapi pemerintah yang fasiq, zalim dan tidak berhukum dengan hukum Islam.

 

Di antara tindakan yang terkeluar dari garis sederhana ialah dengan mengkufurkan pemerintah berkenaan, jika dia memerintah bukan dengan hukum Islam, bahkan membuat tindakan keras ke atas mereka yang menyeru ke arah pelaksanaan Islam.

 

Lanjutan daripada itu, ialah tindakan melancarkan penentangan bersenjata yang biasanya dilakukan secara gerila dan subversif. Ini kemudiannya pula mengakibatkan kerosakan ke atas harta benda dan korban dari kalangan orang awam.

 

Kita mengkhususkan topik perbincangan mengenai perkara ini kerana kepentingannya dan akibat buruk jika tidak mempunyai kefahaman dan pendirian yang betul dalam persoalan ini di kalangan masyarakat Islam.

 

Mengenai hukum mengkufurkan pemerintah Islam atau mana-mana penguasa yang Muslim semata-mata kerana dia tidak berhukum dengan hukum Islam telah pun dibincangkan dalam perbincangan yang lalu.

 

Mengenai jihad secara umum juga telah dibincangkan dalam perbincangan yang lalu. Apa yang hendak dibincangkan ialah tindakan memberontak melawan pemerintah secara bersenjata.

 

Terdapat beberapa jenis pemerintah dan penguasa berkaitan dengan kezaliman:

 

a.   Pemerintahan seorang Muslim yang pada dasarnya mempunyai sistem pemerintahan yang berdasarkan Islam tetapi dia menyeleweng dalam beberapa aspek pemerintahan seperti tidak melakukan syura atau dia secara peribadi terlibat dengan pelbagai maksiat besar seperti berzina. Contoh yang seperti ini ialah pemerintahan khalifah yang fasiq di zaman dahulu.

 

b.   Pemerintahan seorang Muslim yang memerintah bukan dengan sistem pemerintahan Islam seperti sebuah negara sekular dan secara peribadi terlibat dalam maksiat.

 

c.   Pemerintahan seorang Muslim yang baik tetapi dibawah sistem pemerintahan bukan Islam.

d.   Pemerintahan seorang bukan Islam.

 

Adapun pemerintahan seorang Muslim yang baik tetapi berada dibawah sistem pemerintahan bukan Islam, ini telah dibincangkan dalam perbincangan mengenai bekerja di bawah pemerintahan bukan Islam.

 

Maka perbincangan di sini merujuk kepada jenis-jenis yang lain yang dinyatakan di atas.

 

Perlulah juga difahami bahawa di dalam Islam terdapat apa yang dinamakan sebagai hikmah dan ada juga yang dinamakan sebagai hikmah. Hak mestilah ditegakkan dengan hikmah.

 

Menegakkan pememerintahan seorang Muslim adalah satu perkara yang hak. Manakala mengakui realiti adalah hikmah.

 

Pemerintahan Seorang Muslim Bukan Dengan Hukum Allah & Fasiq Kerana Melakukan Maksiat

 

Sebelum kita membincangkan isu sebenar, dasar-dasar berikut mestilah difahami dahulu:

 

a.   Islam amat mengutamakan kesatuan umatnya dan melarang perpecahan.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Ali Imran : 103)

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Hendaklah kamu berjamaah dan jauhilah perpecahan.” (Riwayat At-Turmuzi)

 

b.   Islam amat mengutamakan kesatuan umatnya di bawah satu kepimpinan.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Jika berangkat tiga orang dalam perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang diantara mereka menjadi amir (ketua).” (Riwayat Abu Daud)

 

Hakikat ini dapat dilihat dari perbuatan para sahabat yang dengan segera mengusahakan perlantikan pengganti Rasulullah s.a.w setelah kewafatan beliau s.a.w dan mendahulukan tugas berkenaan dari menguruskan jenazah beliau s.a.w.

 

Ibn Taimiyah berkata:

 

“Telah dikatakan ‘enam puluh tahun dengan pemimpin yang zalim lebih baik dari sehari semalam tanpa pemimpin’.”

 

c.   Islam mewajibkan taat kepada pemimpin.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan kepada Rasul dan Ulil Amri (penguasa) di antara kamu.” (An-Nisa : 59)

 

Kesemua di atas adalah dasar-dasar yang menjadi usul dalam perkara ini. Pengabaian mengenainya adalah pencuaian terhadap satu kewajiban yang layak menerima cela dan dosa dari Allah taala. Namun pastinya yang dikehendaki dari kesatuan dan ketaatan ialah kesatuan dan ketaatan yang tidak menjurus kepada maksiat kepada Allah taala.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan bertolong-tolonglah kamu atas kebaikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolong atas dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah :2 )

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

 “Tiada ketaatan kepada sesiapa dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya taat hanya pada perkara yang makruf (baik).” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Menghadapi Kefasiqan Pemimpin Muslim & Pemerintahannya

 

Islam adalah agama dakwah. Islam menuntut umatnya agar melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengenal bulu.

 

Bahkan Islam menjadikan tugas mengislah pemimpin dan pemerintahan sebagai satu jihad yang utama. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Jihad yang paling utama ialah (menyampaikan) kata-kata yang benar di hadapan pemimpin yang menyeleweng.”(Riwayat At-Turmuzi & Ibn Majah)

 

Namun terdapat banyak dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya untuk keluar dari ketaatan pemimpin yang fasiq. Islam hanya menuntut umatnya agar menjauhi maksiat yang dilakukan oleh si pemimpin, berusaha untuk mengubahnya jika mampu secara hikmah, mau`izah hasanah dan perdebatan yang baik, jika mampu atau mengingkari dengan hati, jika tidak mampu. Dalam menanti perubahan berlaku, Islam memerintahkan umatnya agar bersabar.

 

………………….. bersambung.