(c) Muhammad Haniff Hassan
Islam sebagai cara hidup pasti meliputi aspek perundangan bagi mengatur kehidupan manusia, menegak keadilan dan mencegah kezaliman.
Walau bagaimana pun, penegakan cara hidup Islam bukan berteras kepada kekuasaan undang-undang hudud tetapi berteraskan keimanan. Iman yang mendorong kepada ketaatan kepada Allah taala dan rasa malu untuk mengingkarinya. Iman yang menimbulkan rasa gerun terhadap azab Allah taala. Iman yang menimbulkan perasaan bahawa Allah taala mengetahui setiap tingkah laku kita, samada di khalayak ramai atau bersendirian. Iman yang menimbulkan rasa peka bahawa kita akan dihisab satu hari nanti.
Jika kita merenung secara jujur, kita akan dapati bahawa terdapat jumlah yang ramai dari kalangan umat Islam yang hidup tanpa tertegaknya undang-undang hudud di dalam masyarakat atau negara yang mereka berada, namun mereka tidak pernah melakukan kesalahan zina, mencuri, minum arak dan kesalahan lain dalam hukum hudud.
Dalam sejarah pula, kita dapati terdapat period yang mana kebejatan moral berleluasa dalam masyarakat. Bahkan disebabkan keruntuhan moral dan korupsi di dalam pemerintahan dan masyarakat, tamadun Islam jatuh sehingga melenyapkan sistem khalifah. Sedangkan undang-undang hudud ketika itu merupakan undang-undang negara.
Undang-undang Islam di era itu, tidak mampu untuk menghalang kejatuhan tamadun Islam setelah keimanan menjadi bobrok dan rosak.
Kita berkeyakinan bahawa jika masyarakat Islam itu soleh dan mantap keimanannya, persekitaran yang tidak diatur oleh undang-undang hudud itu lambat laun akan berubah kepada sebaliknya tetapi jika masyarakat Islam itu cacat imannya, kewujudan undang-undang hudud hanya akan menyembunyikan kejahatan diri dan menatijahkan kemunafikan. Akhirnya, aturan undang-undang itu juga akan berubah. Ini telah kita saksikan sendiri dalam sejarah.
Ini tidak bermakna kita menafikan kepentingan undang-undang Islam atau menggadaikannya. Apa yang hendak disampaikan ialah keunggulan iman sebelum kedaulatan undang-undang.
Demikianlah juga sunnah dakwah Rasulullah s.a.w yang bermula dengan period Mekah selama 13 tahun yang memberi tumpuan pada aqidah dan tasawur Islam sebelum period Madinah yang menyaksikan penurunan undang-undang bagi mengatur kehidupan sosial.
Kita beriman dengan apa jua undang-undang yang tsabit dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Namun aspek perundangan hanyalah sebahagian dari Islam. Islam mengajar bahawa dalam mengamalkan Islam sebagai cara hidup, ia mestilah dilakukan mengikut urutan keutamaan dan realiti yang ada.
Hudud adalah sebahagian dari anjuran yang ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Namun, ia bukan keutaaman dalam agenda dakwah kita dalam konteks masyarakat majmuk Singapura. Agenda dakwah kita ialah untuk membina kekuatan iman, kesolehan ibadah, keunggulan ilmu, keberkatan ekonomi dan nilai ihsan sebagai dasar bagi masyarakat Islam yang cemerlang. Keutamaan kita juga ialah untuk berkongsi kebaikan Islam dengan masyarakat bukan Islam agar mereka memahami kita tanpa prasangka sebagai dasar bagi kehidupan yang harmoni.
Pendirian seperti ini adalah pendirian yang cukup sederhana. Mengharap agar semua umat Islam menolak hudud dan menafikannya sebagai sebahagian dari agama adalah harapan yang keterlaluan.
Apakah kalau kita boleh bersikap sedemikian terhadap hudud, maka kita juga boleh bersikap sedemikian terhadap tudung di sekolah pemerintah?
Sehingga kini, kita tidak yakin bahawa alasan integrasi nasional bagi menolak tudung di sekolah pemerintah adalah alasan yang kukuh, walau pun kita menghormati pihak yang berpendirian sedemikian. Pastinya di sana terdapat perbezaan antara amalan tudung dan pelaksanaan hudud dari segi keseriusan dan implikasi yang lain.
Walau pun umat Islam hidup di bawah aturan undang-undang bukan Islam, namun ia tidak bermakna bahawa umat Islam tidak perlu mematuhi undang-undang yang sedia ada. Hal ini adalah kerana undang-undang yang ada tetap bermanfaat bagi mengatur kehidupan masyarakat dan mencegah kemudaratan. Di dalam Kaedah Fiqh ada dinyatakan ‘apa yang tidak dapat dilakukan semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya’. Ertinya sama dengan pepatah Melayu ‘kalau tak ada rotan, akar pun berguna’.
Oleh itu, situasi yang ada sekarang ini bukan alasan untuk umat Islam tidak menjadi ahli masyarakat yang baik dan rakyat yang patuh kepada undang-undang.