(Nota: Artikel ini dikutip dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)
Umat Islam sememangnya sedang menghadapi arus perubahan. Kita berpendapat bahawa arus ini adalah sebahagian dari aturan semulajadi alam yang ingin mengitarkan sejarah turun naik sesuatu kaum, negara dan agama. Perubahan ini akan berterusan dan cara yang baik untuk menghadapinya ialah menerima realiti ini dan mengurusnya.
Penerimaan terhadap realiti perubahan ini ialah penerimaan juga bahawa masyarakat Islam tidak mahu kembali kepada realitinya 50 atau 100 tahun dahulu baik yang bersifat Abangan, Kamalisme (model Kamal Atarturk) atau bermodel Semenanjung Tanah Melayu tahun 50an. Mengharapkan masyarakat Muslim kekal sedemikian adalah tidak realistik dan tidak mendekatkan jurang antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim hari ini dan bagi masa hadapan.
Pastinya ada perkara yang baik dari sejarah dahulu akan diteruskan tetapi ada perkara yang secara prinsip perlu ditinggalkan. Perkara yang perlu ditinggalkan bukanlah sesuatu yang berkepentingan bagi masyarakat bukan Muslim sahaja seperti beban sejarah yang mewarnai hubungan negatif umat Muslim dan bukan Muslim tetapi juga amalan dan budaya yang bercanggah dengan Islam yang dahulunya dilakukan kerana kejahilan. Dalam hal yang kemudian ini, umat Muslimlah yang lebih tahu apa yang sesuai dengan ajaran agamanya dan apa yang tidak sesuai. Kita berharap, masyarakat bukan Muslim menghormati hak ini dan menerima pilihan kita dalam amalan beragama.
Kalau kembali kepada asal ajaran agama dilihat sebagai konservatif, maka jawapan kita ialah, kita tidak dapat menghalang orang untuk memberi “label” apa yang mereka mahukan kepada perubahan ini. Sebagaimana yang kita katakan, setiap agama pasti ada aspek konservatisme yang tersendiri. Oleh itu, kita tidak perlu bersifat apologetik mengenainya.
Menanggapi Perbezaan Persepsi
Hakikatnya perbezaan persepsi antara umat Muslim dan bukan Muslim akan sentiasa wujud. Dalam kes tudung di sekolah pemerintah misalnya, masyarakat bukan Islam berhujah mengapakah ia begitu dibesarkan sedangkan ia hanyalah persoalan sehelai kain sahaja, sedangkan masyarakat Muslim juga berhujah mengapakah ia dipersulitkan sedangkan ia hanya melibatkan sehelai kain juga?
Sekomited mana sekalipun umat Muslim dalam menjaga sifat mudah, anjal dan kontekstual dalam beragama ia tidak akan dapat menjamin untuk menggembirakan masyarakat bukan Islam dalam semua perkara dan keadaan.
Disebabkan perbezaan adalah satu yang pasti antara kita dan masyarakat bukan Muslim, kita berpendapat, perbezaan ini tidak semestinya dilihat sebagai perbezaan antara kelompok sederhana dan pelampau. Perbezaan ini tidak semestinya menatijahkan label ekstrem kepada masyarakat Muslim atau kumpulan Islam atau individu Muslim tertentu.
Umat Muslim kerana sifat Islam itu sendiri tidak akan sama sekali berdiam diri dalam menghadapi situasi mudharat, bahkan ia akan berusaha untuk mengatasinya. Oleh kerana ini adalah sifat Islam, maka menuntut agar umat Muslim pasif dan terima sahaja realiti sedemikian agar kekal sebagai umat yang sederhana adalah tidak wajar dan realistik.
Usaha untuk mengubah keadaan mudharat itu sendiri bukanlah sesuatu yang harus dilihat sebagai pelampauan atau negatif. Bahkan usaha sedemikian adalah sifat semulajadi manusia.
Yang menjadi persoalan ialah bagaimanakah perubahan itu dilakukan? Jika ia dilakukan dengan jalan-jalan yang esktrem, maka sifat ekstrem itu adalah kerana jalan dan pendekatan yang dipilih bukan kerana perubahan yang hendak dilakukan.
Tidak syak bahawa umat Muslim perlu mengambil kira sifat-sifat anjal, mudah dan kontekstual dalam mengamalkan Islam agar tidak mengemukakan imej yang salah mengenainya.
Namun masyarakat bukan Muslim juga mestilah faham bahawa tidak semua yang mereka harapkan dari umat Muslim dapat dipenuhi oleh mereka kerana tuntutan agama Islam itu sendiri. Mereka juga mestilah akui bahawa keterbatasan maklumat mengenai Islam yang mereka ada juga mewarnai persepsi mereka terhadap umat Islam, khususnya apabila melabelkan mereka dengan label fanatik, konservatif, ekstrem, berpemikiran sempit, radikal dan tidak anjal.
Tidak dinafikan akan ada dikalangan umat Muslim yang sememangnya radikal, melampau dan beku tetapi ia juga berlaku kerana keterbatasan pengetahun mengenai Islam dikalangan masyarakat bukan Muslim yang menimbulkan persepsi yang salah sehingga melahirkan label-label yang tidak disenangi oleh sesiapa pun. Dalam keadaan seperti ini, masalah terletak bukan pada Islam dan masyarakatnya tetapi pada persepsi masyarakat bukan Muslim juga.
Mereka juga haruslah menerima bahawa sebahagian dari bentuk interaksi (engagement) antara umat Muslim dengan mereka ialah dalam bentuk menghadapi perbezaan dan merubah halangan-halangan yang membatas amalan agama.
Dalam konteks beberapa amalan-amalan yang dinyatakan sebagai penghalang interaksi antara umat Muslim dan bukan Muslim, kita tidak dapat menerima bahawa bertudung, tidak bersalam dan tidak bersama dalam satu perayaan itu semata-mata adalah beku, radikal, berfikiran yang sempit atau tidak pro-integrasi.
Atas dasar inilah persoalan religiosity (wara’) umat Muslim harus ditanggapi.
Bagi kita selama mana amalan beragama atau tuntutan-tuntuan perubahan yang berkaitan dengan agama, tidak menjejas komitmen terhadap persoalan dasar seperti keinginan untuk berintegrasi, kesetiaan pada negara, menghormati undang-undang, dalam batas amalan demokrasi, tidak melampau dan ganas, ia tidak seharusnya ditanggapi sebagai satu masalah pelampauan. Ia juga tidak semestinya ditanggapi sebagai tidak perihatin mengenai persoalan keharmonian dan integrasi kaum atau tidak menjaga kepentingan nasional kerana konsep integrasi dan kepentingan nasional itu sendiri tidak statik dan tidak dimonopoli oleh pihak tertentu sahaja dalam mengkonsepsikannya.
Sehingga kita bersetuju dalam satu perkara, maka kita harus menerima perbezaan akan wujud dalam persoalan-persoalan yang bersifat subjektif sedemikian.
Ia mungkin satu perbezaan yang tidak menyenangkan tetapi perbezaan ini adalah realiti dari pluralisme alam. Oleh kerana kita menerima akan kewujudan perbezaan persepsi, maka kita bersedia untuk hidup dengan perbezaan ini. Namun perbezaan ini mestilah diurus. Antara langkah yang penting dalam mengurus perbezaan ini ialah menjauhi sifat prejudis, pra-sangka dan label-label. Di samping itu juga ialah dialog yang berterusan dan kejelasan terhadap harapan (expectation) masing-masing.