Menilai Penglibatan Tentara Singapura Lawan ISIS dari Sudut Berbeza

st on sg participation in war against isis

(Nota: Artikel ini telah dihantar ke Berita Harian untuk pertimbangan penerbitannya. Namun hingga ketika dipos di halaman ini, ia masih belum diterbitkan. Oleh itu, saya pos ia ini di halaman untuk perkongsian ramai. Moga bermanfaat.)

(c) Walid Jumblatt dan Muhammad Haniff Hassan, 2014.

Muslim di seluruh dunia telah mengutuk ISIS. Pelbagai pernyataan-pernyataan dari pelbagai pihak telah dikumpulkan (lihat Majoriti Ulama Seluruh Dunia Tolak IS, Berita Harian, 24 September 2014). Yang paling signifikan ialah Surat Terbuka Kepada Al-Baghdadi yang ditandatangani oleh 120 ulama dari merata dunia (lihat di www.lettertobaghdadi.com ). Demikian juga Muslim di Singapura. Kutukan terbuka ke atas ISIS telah dibuat di bawah kepimpinan Pergas dan Muis.

Namun kutukan terhadap ISIS bukan bermakna sokongan pada penglibatan dalam operasi tentera pihak bersekutu pimpinan Amerika Syarikat di Iraq dan Syria. Kededuanya adalah isu yang berbeza. Hakikatnya, ramai Muslim yang menolak ISIS tapi pada waktu yang sama juga menolak penglibatan negara mereka dalam operasi tentera pimpinan Amerika.

Atas dasar itu, tidak seharusnya pendirian masyarakat Muslim di Singapura menolak ISIS semata-mata, sebagaimana yang terkandung dalam pernyataan Menteri Pertahanan encik Ng Eng Hen dan menteri Hal Ehwal Masyarakat Islam encik Yaakob Ibrahim, dijadikan hujah bagi memberi keabsahan pada penglibatan langsung Singapura dalam operasi tentera melawan ISIS. Pernyataan lain yang jelas diperlukan dari badan-badan Islam yang telah bersuara dalam hal ini.

Selain itu, isu yang menjadi persoalan utama bukanlah samada penglibatan dalam operasi tentera melawan ISIS adalah perang ke atas Islam atau Muslim sebagaimana pernyataan encik Yaakob Ibrahim. Isu sebenarnya ialah adakah penglibatan berkenaan merupakan satu pilihan dasar yang betul.

Encik Ng, selaku Menteri Pertahanan dan bagi pihak pemerintah, telah menjelaskan rasional keputusan pemerintah Singapura untuk terlibat langsung dalam operasi tentera melawan ISIS. Berikutan dari itu, Berita Harian juga menerbitkan wawancara dengan individu-individu Muslim termasuk yang berbahagia ustaz Ali Mohamed, pengerusi Masjid Khadijah dan pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan, yang menyatakan sokongan mereka.

Namun penjelasan yang diberikan oleh pihak pemerintah dan penyataan sokongan oleh anggota masyakarat Muslim di sini yang dilaporkan oleh Berita harian hanya terfokus kepada sudut kebaikan atau keperluan bagi penglibatan ini sahaja, tanpa penilaian khusus dari sudut masalah dan risiko.

Apa jua perbincangan mengenai sesuatu dasar seharusnya melibatkan kededua sudut kebaikan dan risiko. Apabila keputusan dibuat pula, penjelasan dibuat bukan hanya tentang kebaikan dasar itu tetapi juga kenapa potensi risiko tidak perlu dibimbangi sehingga pihak-pihak berkepentingan dapat meyakini bahawa kebaikan yang diraih benar-benar melebihi risiko mudarat.

Sememangnya, pemerintah mempunyai hak membuat keputusan terakhir dalam hal ini. Tapi selaku anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan atas dasar semangat “active citizenry” yang digalakkan oleh pemerintah juga, kami terpanggil untuk mengemukakan sudut berbeza bagi isu ini, iaitu risiko dari keputusan pemerintah ini. Kalau pun ia tidak mengubah keputusan yang telah dibuat, kami berharap ia menjadi pengetahuan berguna bagi orang ramai supaya dapat melihat isu ini dari pelbagai sudut dan lebih saksama. Lebih baik lagi jika ia dapat menggalakkan wacana yang sihat.

Penglibatan langsung Singapura dalam operasi tentera melawan ISIS boleh dilihat bermasalah dan berisiko dari beberapa sudut berikut.

Pertama, rekod operasi tentera Amerika selama di Afghanistan dan Iraq bukanlah sesuatu yang baik dan membanggakan. Terdapat pelbagai laporan tentang pencabulan dan korban awam (lihat sebagai contoh Iraq: The Human Cost oleh Massachusetts Institute of Technology Center for International Studies di http://web.mit.edu/humancostiraq/ ). Penglibatan secara langsung menjadikan Singapura pihak yang harus memikul sama pertanggungjawaban dalam soal ini.

Kedua, penglibatan langsung Singapura dalam operasi tentera lawan ISIS mendedahkan rakyat biasa Singapura di merata dunia pada risiko dijadikan sasaran oleh mana-mana pihak yang bersimpati dengan ISIS yang juga wujud di merata dunia. Kita telah lihat pemenggalan rakyat Amerika, United Kingdom dan Perancis, penculikan rakyat Jerman di Filipina dan serangan di Kanada sebagai contoh kecil sebagai akibat langsung dari penglibatan mana-mana pihak dalam operasi tentera lawan ISIS.

Ya, memang semua negara-negara rakan Amerika dan bukan Muslim boleh menjadi sasaran ISIS. Tapi data menunjukkan negara-negara yang mempunyai penglibatan langsunglah yang menjadi sasaran utama dan memikul risiko yang lebih besar.

Perlu juga dinyatakan di sini, tidak semua negara sekutu Amerika i.e. anggota Nato yang bersetuju atau terlibat langsung dalam operasi tentera lawan ISIS.

Akhirnya, sejak awal lagi i.e 2003 operasi Amerika di Iraq untuk menjatuhkan Saddam Hussein adalah satu kesilapan. Ia kemudian menatijahkan pula masalah ISIS. Ertinya, masalah ISIS bersebab langsung dari kesilapan dasar Amerika. Amerika sahajalah yang sepatutnya bertanggungjawab menyelesaikannya. Apatah lagi, ia sememangnya mempunyai keupayaan ketenteraan melakukannya, tanpa pembabitan pihak-pihak lain kerana tentera Amerika dibangunkan atas prinsip berkeupayaan untuk melakukan perang konvensional di dua fron yang berbeza.

Permintaan Amerika sumbangan dari rakan-rakanya bukan kerana dia tidak mampu, tapi kerana penglibatan berkenaan memberi keabsahan padanya dan untuk berkongsi risiko korban di pihaknya.

Perlu diketengahkan di sini, sebelum pencerobohan Amerika ke Iraq pada tahun 2003, Pergas ada mengeluarkan kenyataan yang meminta pihak pemerintah untuk tidak terlibat sama kerana kesamaran dari segi keabsahan dan risikonya. Apa yang berlaku hari ini dari masalah ISIS membenarkan amaran Pergas dahulu dan sepatutnya dijadikan iktibar oleh semua.

Tanpa penglibatan langsung dalam operasi tentera melawan ISIS tidak bermakna Singapura tidak boleh membuat sumbangan yang signifikan. Sebaliknya, kami yakini, terdapat ruang yang amat luas bagi sumbangan-sumbangan lain: penghantaran bantuan kemanusiaan untuk orang-orang awam di Syria, berkongsi pengalaman dalam bidang lawan ideologi dan pemulihan golongan radikal baik di luar atau dalam talian, dan peningkatan usaha untuk menangani isu-isu yang boleh mencetus radikalisasi individu Muslim seperti konflik Israel-Palestin dan konflik-konflik yang sedia ada sebagaimana yang banyak kali dinyatakan oleh Menteri Kanan Emeritus encik Goh Chok Tong.

Pada tahun 2004, pemerintah Filipina harus menarik tenteranya keluar dari penglibatan di Iraq setelah beberapa rakyat dijadikan tebusan. Kita tidak mahu Singapura perlu melalui proses yang sama. Apatah lagi kesan sampingannya pasti akan mempunyai implikasi yang lebih pada masyarakat Muslim Singapura. Atas dasar itu juga, pendirian masyarakat Muslim dalam hal ini perlu diberi perhatian berat dan ia tidak harus dilihat dari sudut pandangan yang bersetuju dan menyokong sahaja.

Titik tolak dari perspektif yang dinyatakan di atas tetap bertolak dari menjaga maslahat dan kesejahteraan Singapura dan rakyatnya. Oleh itu, janganlah ia dicurigai sebagai pemecah kesatuan. Perspektif “jika kamu tidak menyokong kami, maka kamu memusuhi kami” tidak seharusnya digunapakai untuk sudut pandangan berbeza adalam hal ini. Perlulah ada ruang untuk pendirian yang lebih bernuansa.

Walid Jumblatt adalah calon doktor falsafah dalam sains politik di Universiti Kebangsaan Singapura dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.