Menilai semua faktor Mas Selamat lolos (Berita Harian (Singapura), 29 November 2010)

 

29 Nov 2010


Menilai semua faktor Mas Selamat lolos

Oleh
Ustaz Muhammad Haniff Hassan

SEBAHAGIAN misteri lolosnya Mas Selamat Kastari, pemimpin Jemaah Islamiyah Singapura (JIS) yang merancang untuk melakukan serangan pengganasan, terungkap melalui pendedahan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam, di Parlimen pada 22 November 2010.

Parlimen diberitahu bahawa Mas Selamat telah dibantu oleh tiga anggota keluarganya setelah dua hari melarikan diri daripada Pusat Tahanan Whitley dan mengelak dari jejakan pihak keselamatan. Dia muncul di pintu rumah abangnya, lalu dilindungi oleh anak saudara, kakak ipar dan abangnya sendiri. Ketiga-tiga anggota keluarga ini kemudiannya didakwa dan dihukum penjara.

Sebelum ini, pihak Kementerian Ehwal Dalam Negeri telah pun mendedahkan bagaimana Mas Selamat melarikan diri daripada pusat tahanan dengan melompat keluar dari tingkap tandas yang tidak berjeriji dan memanjat pagar yang mengelilingi pusat itu – demikian laporan jawatankuasa penyiasat yang dilantik bertarikh 10 April 2008.

Lolos Mas Selamat merupakan isu kepentingan dan keselamatan awam. Memang wajar dan bijak tindakan Menteri K. Shanmugam berkongsi kepada umum maklumat terkini yang selama ini merupakan misteri.

Namun, pendedahan ini juga menimbulkan pelbagai soalan lain. Sekurang-kurangnya tiga soalan boleh dibangkitkan:

  • Mengapa Mas Selamat boleh mengelak daripada jejakan pihak keselamatan selama dua hari sebelum berlindung di rumah abangnya?

  • Mengapa ketibaan Mas Selamat di rumah abangnya dan bermalam di sana selama satu hari tidak terkesan oleh pihak keselamatan?

  • Mengapa pembohongan keluarga berkenaan tidak terkesan oleh pihak keselamatan apabila mewawancara mereka dua hari setelah Mas Selamat mendapat perlindungan?

  • Soalan-soalan ini telah pun dibangkitkan oleh beberapa anggota parlimen, diikuti oleh orang ramai dan media. Encik Shanmugam menjawab, bagi soalan pertama, bahawa ia masih dalam penyiasatan pihak berkenaan.

    Mengenai soalan kedua, beliau menegaskan bahawa pihak keselamatan telah mengikuti prosedur-prosedur yang sepatutnya pada masa itu namun perinciannya tidak dapat diberikan kerana ia melibatkan aspek operasi keselamatan.

    Berkaitan soalan ketiga pula, Encik Shanmugam berkata bahawa pihak keselamatan tiada maklumat atau sebab untuk mencurigai keluarga yang diwawancara pada ketika itu.

    Sejarah mengajar kita bahawa soal lolos seseorang pesalah sering kerana kecuaian pada sistem kawalan. Dalam kes Mas Selamat, ia berlaku di pusat tahanan dan juga pemantauan ke atas kaum kerabatnya.

    Dek sistem yang tidak upaya menjejakinya, mengawasi rumah keluarganya dan mencungkil pembohongan yang disembunyikan, Mas Selamat dapat lari ke seberang Tambak.

    Namun, fokus yang diamati daripada pernyataan dan analisa di media nampaknya lebih tertumpu pada tindakan anggota keluarga yang bersubahat dan kurang pada yang satu lagi ‘aspek’ iaitu sistem.

    Sememangnya, apa jua sistem yang dibina oleh manusia tidak akan kebal 100 peratus atau bebas dari kelemahan. Kemungkinan untuk gagal pasti wujud. Walaupun kesedaran ini memberi ruang untuk berasa empati akan dilema dan masalah yang dihadapi oleh pihak keselamatan untuk menangkap semula Mas Selamat, namun ia juga memberi kesedaran akan kepentingan membaiki kelemahan yang sudah disedari, mengambil iktibar dan memastikan ‘kesilapan’ serupa tidak berulang kelak. Demikianlah sifat sebuah organisasi yang belajar (learning organisation) bagi mencapai kecemerlangan.

    Kajian menunjukkan bahawa kumpulan pengganas memang kelompok yang inovatif dan sentiasa berfikir untuk mengubahsuai rancangan-rancangan serta taktik-taktik mereka berdasarkan kejayaan dan kegagalan yang lalu serta kekuatan dan kelemahan lawannya. Hakikat ini dapat dilihat daripada pelbagai inovasi dihasilkan dalam pembuatan bom seperti penggunaan kasut, seluar dalam, botol dakwat pencetak dan mekanisme untuk meletupkan bom.

    Maka, organisasi keselamatan yang ingin melumpuhkan pengganasan hendaklah mempunyai sifat dan budaya yang tinggi untuk sentiasa membaiki kelemahan diri dan inovatif dalam melakukannya pula.

    Dalam kes Mas Selamat, terpapar bahawa keakuran pada prosedur dan piawai yang sedia ada ketika itu telah gagal untuk menghalangnya daripada lolos. Ini bermakna sistem berkenaan perlu dibaiki dengan terdedahnya fakta-fakta terbaru ini bagi memastikan iktibar yang diperolehi diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang konkrit dan mengurangi kemungkinan berlaku kegagalan sistem atas sebab yang sama.

    Orang ramai bukan hanya berminat tapi juga berhak untuk mengetahui iktibar yang dipelajari dan tindakan konkrit bagi membaiki keadaan. Tambahan pula pemerintah sendiri menggalakkan penyertaan aktif rakyat (active citizenry) dalam isu-isu yang melibatkan kesejahteraan ramai.

    Walaupun begitu, dimensi keselamatan negara daripada isu ini berpotensi menjadi hambatan bagi pihak pemerintah berkongsi maklumat sepenuhnya dengan orang ramai. Hal ini memang dapat difahami.

    Namun, ramai mungkin akan kecewa jika tiada perkongsian sama sekali daripada pihak pemerintah mengenai lompang (loop holes) yang ada pada sistem keselamatan agar isu lolos ini tidak berulang.

    Perkongsian ini bukan sekadar demi mengisi keperluan rakyat, tapi juga boleh membantu para penyelidik untuk turut memikirkan masalah berkenaan dan menyarankan rumus yang mungkin akan memberi nilai tambah pada pembaikan yang dibuat. Mentelah ancaman pengganasan memanglah masalah global. Jadi, perkongsian sedemikian juga boleh memberi iktibar kepada negara-negara lain.

    Kesimpulannya, menangani persoalan sikap keluarga atau anggota masyarakat yang bersedia untuk melindungi pesalah hanyalah satu aspek dari masalah yang ada. Apa pun teori dan penjelasan yang tepat mengenainya untuk iktibar masa depan tidak akan memberi huraian yang holistik, jika persoalan sistem tidak sama-sama ditangani secara terbuka.

    Akhir sekali, di sebalik keprihatinan mengenai kegagalan sistem keselamatan, usahlah kita menafikan pencapaian agensi keselamatan negara sejauh ini sehingga mengakibatkan Mas Selamat tertangkap semula oleh pihak keselamatan Malaysia dan dapat dibawa kembali ke pusat tahanan negara.

    Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah Zamil Bersekutu dan calon kedoktoran di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.