Al-Quran menyifatkan umat Islam sebagai Khairu Ummah (sebaik-baik umat). Peranan umat Islam sebagai sebaik umat pula ialah untuk menyebarkan kebaikan, menghalang kerosakan dan menyebarkan mesej iman kepada Allah taala. Rujuk Ali Imran : 110.
Dalam hal ini ramai yang hanya memahami sifat ‘amar makruf dan nahi munkar’ hanya dalam bentuk dakwah secara nasihat dan pesanan. Namun sebenarnya disebalik sifat itu terdapat pesanan bahawa umat Islam yang ingin mencapai sifat sedemikian yang sempurna haruslah berusaha untuk membina keupayaan untuk menjadi penentu agenda, agen perubahan dan pencorak tren kehidupan. Hal ini kerana tidak mungkin kita mampu melaksanakan tugas menyuruh kebaikan dan mencegah kemunkaran terhadap manusia seluruhnya tanpa keupayaan sedemikian.
Umat Islam hari ini yang berada di mana sahaja, samada di Timur Tengah atau di Barat, sebagai masyarakat majoriti atau masyarakat minoriti, dalam suasana majmuk atau tidak, pasti akan berkongsi wawasan di atas.
Seringkali kita merasakan bahawa umat Islam Singapura sebagai kelompok minoriti amat kerdil dibandingkan umat Islam di Malaysia atau Indonesia atau di tempat-tempat lain untuk meraih keutamaan sebagai masyarakat yang berjaya menghasilkan model Khairu Ummah yang viable dalam konteks dunia terbuka.
Namun jika kita merenung secara mendalam sifat minoriti kita tidak semestinya menjadikan disadvantage untuk mencipta sejarah dengan mendahului masyarakat Islam lain dalam mengemukakan model masyarakat Islam yang cemerlang yang viable dalam konteks dunia sejagat.
Jika kita teliti sejarah umat manusia nescaya kita akan dapati bahawa dunia ini sentiasa di pengaruhi oleh kelompok minoriti. Lihat sahaja pengaruh Amerika dalam segala aspek kehidupan manusia hari ini; ekonomi, budaya, hiburan, ideologi, inteletual dan politik. Sedangkan penduduk Amerika hanyalah berjumlah sekitar 250 juta (4%) sahaja dibandingkan dengan penduduk dunia yang berjumlah 6 bilion. Begitu juga dengan bangsa Yahudi. Walau pun mereka kecil tetapi pengaruh mereka terhadap dunia diakui.
Di zaman daulu, bangsa Rom dan Parsi mempengaruhi dunia sedangkan mereka juga adalah bangsa minoriti di kalangan penduduk duni.
Hakikat ini mengajar kita bahawa jika model Islam sebagai rahmat bagi alam tidak lari dari sifatnya sebagai umat yang minoriti, di tengah masyarakat pelbagai bangsa dan agama dan dalam konteks hari ini pula mestilah bersifat kosmopolitan dan bandaran (urban).
Jika kita tinjau data penduduk dunia, kita akan dapati bahawa umat Islam membentuk 1 bilion dari 6 bilion manusia. Ini merupakan 16% dari jumlah penduduk.
Jika kita meninjau pula kepada umat Islam di Singapura kita akan dapati bahawa ia merupakan 15% dari jumlah rakyat Singapura. Umat Islam di Singapura juga hidup dalam satu persekitaran yang mempunyai banyak persamaan dengan karakteristik dunia yang global; moden, kosmopolitan, majmuk, bandaran dan lain-lain.
Dengan persamaan karakteristik ini antara masyarakat Islam Singapura dan masyarakat Islam dunia, ia memberi indikasi bahawa jika umat Islam Singapura mampu dengan usaha kerasnya mewujudkan satu model masyarakat Islam yang cemerlang di Singapura, ia akan menjadi satu model yang lebih viable untuk dioperasikan di pentas dunia dibanding dengan model masyarakat Islam di Malaysia dan Indonesia.
Hakikat ini diharap mencelikkan mata kita untuk berusaha keras bahawa kita mampu mencipta sejarah bagi umat Islam dan dunia. Walau pun kita adalah masyarakat minoriti tetapi kita adalah satu masyarakat yang mempunyai signifikan tersendiri.
Arus globalisasi dan kelebihan yang ada di Singapura yang dikecapi oleh masyarakat Islam di sini juga dapat memberi kelebihan bagi kita.
Ya sememangnya, masyarakat Islam Singapura mempunyai pelbagai masalah sosial tetapi masyarakat Islam di tempat-tempat lain juga mempunyai masalah mereka yang tersendiri.
Akhirnya, siapa yang bekerja keras ia akan mencapai hasilnya dan siapa yang berjalan akan pasti tiba ke destinasinya.