Nota : Artikel ini ditulis pada tahun 2001. Fakta dan analisa yang terkandung di dalamnya adalah berdasarkan tahun berkenaan.
—————————————————–
Tragedi Kemanusiaan Di Sekitar Kita
Sebelum krisis ekonomi melanda Asia pada tahun 1997, rantau Asia Tenggara ini rata-rata merupakan rantau yang sedang membangun. Walau pun terdapat negara-negara yang mencapai pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan seperti Malaysia, Thailand, India dan Indonesia tetapi rata-rata kemiskinan dan kemunduran masih jelas kelihatan. Jutaan manusia masih lagi hidup melarat tanpa keperluan asas hidup, pekerjaan, pendidikan dan menjadi pelarian di negara lain.
Krisis ekonomi yang berlaku memparahkan lagi keadaan. Ia bukan hanya menambah jumlah manusia miskin dengan berkali ganda bahkan mewujudkan pula krisis politik, kaum dan lain-lain. Di setengah negara dan tempat, ia menatijahkan anarki.
Mangsa yang paling malang dalam situasi ini ialah manusia itu sendiri. Khususnya rakyat biasa yang telah pun miskin.
Amat sukar sekali untuk menggambarkan tragedi kemanusiaan akibat dari krisis ekonomi yang berlaku dengan kata-kata dan tulisan. Seseorang harus melihat gambaran-gambaran visual tragedi perselisihan antara agama dan kaum di Ambon dan kepapaan di India, Filipina, Kemboja, Vietnam, Bangladesh dan Sri Lanka barulah dapat merasakan kepahitan realiti yang ada.
Dalam berhadapan dengan senario sedemikian, pendakwah dan gerakan dakwah perlu bertanya – Di manakah mereka? Apakah sumbangan mereka bagi menangani senario ini?
Sampai Bila Hanya Menonton?
Soalan sedemikian adalah penting bagi para pendakwah dan gerakan dakwah. Hal ini adalah kerana Islam adalah agama yang sepatutnya menjadi rahmat kepada alam.
Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Tidaklah kami mengutus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’ : 107)
Konsep rahmat bagi sekalian alam ini tidak seharusnya kekal sebagai satu konsep sahaja tetapi ia haruslah diterjemahkan dalam bentuk yang praktikal. Iaitu menyediakan penyelesaian bagi tragedi hari ini dengan mengembalikan manusia ke darjat kehidupan yang seharusnya, memelihara harga diri manusia, menaikkan taraf hidup, menangani kemiskinan dan kemelaratan dan lain-lain lagi.
Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam bukan hanya terbatas pada memenuhi keperluan rohani dan akhirat tetapi keperluan hidup di dunia ini. Bahkan, konsep itu juga bukan hanya dibataskan dalam memenuhi keperluan manusia semata-mata tetapi juga keperluan alam yang lebih luas yang meliputi haiwan dan sekitaran.
Selain itu, hakikat kehidupan kita di Singapura yang lebih baik dari ramai manusia yang lain dan terpeliharanya Singapura dari kesan buruk krisis ekonomi yang lalu adalah suatu yang patut disyukuri.
Kesyukuran kita bukan hanya di mulut dan hati tetapi ditunjukkan dengan amal. Iaitu dengan melakukan sesuatu bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik. Allah taala telah memurahkan rezeki untuk kita bukan hanya untuk kebaikan kita sendiri tetapi juga untuk disalurkan kepada mereka yang malang.
Menganjak Usaha Dakwah
Penglibatan dalam bidang ini adalah satu peluang bagi usaha dakwah untuk menganjak ufuk penglibatannya dari bersifat tempatan kepada penglibatan serantau dan antarabangsa, dari hanya berfokus kepada umat Islam atau masyarakat sendiri sahaja kepada manusia umum keseluruhannya.
Bencana alam berlaku di mana-mana di muka bumi ini dan rantau ini khususnya merupakan rantau yang sentiasa terdedah dengan bencana alam seperti letupan gunung berapi, gempa bumi dan banjir besar. Apabila berita sedemikian muncul di dada akhbar, kita hanya melihat dan menumpang sedih. Lebih dari itu, kita akan berdoa untuk mereka yang terlibat. Hanya sejak tiga tahun yang lalu, kita melangkah sedikit dengan melakukan pungutan dana secara ad-hoc melalui masjid-masjid bagi membantu bencana seperti yang berlaku di Turkey, Gujarat dan Bengkulu. Sudah tiba masanya untuk kita melakukan sesuatu yang lebih dari itu.
Kita sering kali menyorakkan Islam sebagai satu cara hidup, Islam sebagai agama untuk semua dan Islam sebagai bersifat universal tapi amal kita masih lagi bersifat tempatan dan berfokus kepada umat Islam semata-mata.
Kita sering kali juga menyebut-nyebut akan usaha-usaha gerakan Kristian dalam bidang ini sebagai sebahagian dari jentera dakwah mereka. Kita mengkagumi perancangan mereka, kita memuji kesungguhan aktivis mereka bahkan kita ‘dengki’ akan kejayaan mereka melalui bidang bantuan kemanusiaan untuk menarik manusia ke agama Kristian.
Fardu Kifayah Kita
Namun langkah kita secara konkrit masih lagi tidak ke mana. Atas dasar ini, adalah menjadi kefarduan bagi gerakan dakwah secara kolektif untuk menangani keadaan ini. Sekurang-kurangnya sumbangan setakat yang termampu. Kegagalan melakukan sedemikian dikhuatiri akan dihisab oleh Allah taala sebagai pengabaian terhadap perintah merealisasikan Islam sebagai rahmat bagi alam dan tuntutan dakwah itu sendiri. Sekurang-kurangnya, hendaklah ada sekumpulan yang memikul tugas ini bagi memenuhi fardu kifayah umat.
Tidak dinafikan bahawa di merata dunia hari ini terdapat pelbagai agensi bantuan kemanusiaan yang diurus oleh organisasi Islam seperti Islamic Relief dan Muslim Aid. Walau bagaimana pun, bila diteliti secara mendalam didapati bahawa penglibatan agensi ini di rantau Asia Tenggara adalah amat minimum, kalau pun tidak ada. Kebanyakan usaha bantuan sedemikian dilakukan di Timur Tengah, Sub-Kontinen India dan di Eropah.
Selangkah Bermula
Usaha Sekretariat Belia Islam (MUIS) yang baru-baru ini menganjurkan ekspedisi ke Kemboja dan Masjid Ar-Raudhah yang menganjurkan ekspedisi ke Selatan Thailand adalah satu langkah yang baik. Projek sedemikian seharusnya dikembangkan menjadi sebuah usaha pembangunan yang sistematik bagi masyarakat di Dunia Ketiga bukan hanya satu projek yang bersifat one-off atau ad-hoc.
Syarikat-syarikat perniagaan hari ini berlumba-lumba untuk menyerantau bagi merebut peluang dari dunia yang terbuka dan globalisasi. Pelbagai pihak pula hari ini merangka perancangan dengan wawasan untuk mencapai tahap ‘world class’ bukan lagi yang terbaik di peringkat tempatan dan serantau.
Adalah malang, jika badan-badan dakwah masih lagi berfikiran sekitar masyarakat tempatan sahaja apatah lagi jika hanya pada sekitar masyarakat Melayu, sedangkan Islam adalah agama yang universal.