Mutakhir Mengenai Usaha Membanteras Ideologi Pelampau Oleh Masyarakat Muslim Singapura

(Nota: Artikel terbaru saya di bawah ini diterbitkan oleh Berita Harian (Singapura) pada 17 Disember 2007 dengan judul “Iktibar enam tahun menangani fahaman radikal”.)

 

Pada tahun 2005 (BH, 30 Disember) saya telah menulis satu artikel mengenai pelbagai inisitiaf terpuji yang dilakukan oleh masyarakat Muslim Singapura dalam membanteras ideologi kumpulan pelampau sejak berlaku insiden serangan 11 September. Sejak dari itu sehingga kini, pelbagai inisiatif baru telah dilakukan oleh masyarakat Islam di negara ini. Inisiatif-inisiatif ini menunjukkan kesiagaan masyarakat Muslim Singapura yang berterusan terhadap ancaman pelampauan dan komitmennya untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan negara ini yang wajar mendapat pujian

 

Sebelum ini usaha-usaha membanteras ideologi kumpulan pelampau oleh masyarakat Muslim Singapura telah mendapat pujian ramai pengkaji dan pembuat polisi dari merata dunia. Ia juga telah menjadi contoh dan inspirasi bagi banyak kertas perancangan membanteras ideologi kumpulan pelampau di pelbagai negara. Hari ini, minat terhadap inisiatif masyarakat Muslim Singapura masih tinggi. Di tahun ini sahaja, wakil-wakil dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan, badan utama yang menerajui usaha-usaha ini di Singapura, telah diundang untuk membentangkan pengalamannya di sembilan persidangan di United Kingdom, Belgium, Austria, Jerman, Malaysia, Mesir, Australia dan Filipina.

 

Disebabkan minat yang tinggi dan berterusan ini serta kepentingan untuk memberi pengiktirafan kepada usaha yang terpuji ini, adalah penting untuk dirakamkan usaha-usaha mutkahir sejak dari Januari 2006 sehingga kini.

 

Pada tahun 2006 lebih banyak bahan penerbitan oleh anggota masyarakat Muslim Singapura untuk membanteras ideologi pelampauan. Pada bulan Oktober tahun berkenaan, satu buku bertajuk Unlicensed to Kill diterbitkan bagi membetulkan salah tafsiran mengenai jihad. Buku berkenaan menyanggah hujah-hujah Imam Samudra dalam bukunya Aku Melawan Teroris yang membenarkan pengeboman pertama di Bali yang dilakukan olehnya dan beberapa temannya dari kelompok JI.

 

Sebuah buku lain bertajuk Fighting Terrorism: The Singapore Perspective pula telah diterbitkan oleh Taman Bacaan. Ia mengandungi artikel-artikel yang disunting oleh saudara Abdul Halim Kader yang juga merupakan Presiden Taman Bacaan. Taman Bacaan juga mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan konvensyen bagi belia dan para pelajar. Sebanyak dua konvensyen bagi para pelajar sekolah pemerintah pada bulan Januari dan Mac 2007 dan satu bagi para pelajar madrasah setempat pada Julai 2007.

 

Perkembangan menggalakkan yang lain ialah inisiatif ini juga kini telah diambil oleh badan-badan remaja dan belia. Badan pelajar Melayu dari Maktab Rendah Kebangsaan telah menganjurkan sati sesi dialog bagi para pelajar dari maktab-maktab rendah pada bulan Februari tahun ini dan pada bulan Jun pula, Belia Mendaki menganjurkan sesi dialog yang serupa. Kedua-dua sesi ini dihadiri oleh wakil dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan dan pegawai kanan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

 

Bagi memudahkan kefahaman orang-orang awam, satu risalah kecil bertajuk Soal Jawab Mengenai Jihad diterbitkan pula dalam bahasa Inggeris dan Melayu pada tahun 2006. Risalah ini telah diterjemahkan pula ke bahasa Tamil dan bakal diterbitkan tidak lama lagi. Risalah ini mengandungi 22 soal jawab berkaitan jihad dan pengganasan.

 

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) juga mengambil inisiatif penting bagi menggalakkan kesederhanaan dan membanteras pelampauan di kalangan masyarakat Islam Singapura.

 

Melalui khutbah Jumaat, MUIS menghasilkan khutbah-khutbah bagi para jemaah yang menerangkan bahaya pelampauan dan penyelewengan yang terdapat dalam pemikiran kumpulan yang melakukan aktiviti pengganasan hari ini. Selain itu, ia juga memupuk kefahaman Islam yang kontekstual.

 

Oleh kerana kumpulan pelampau sering menganjurkan kecenderungan pemikiran dan kehidupan yang bersifat eksklusif dan tidak toleran di kalangan masyarakat Islam terhadap mereka yang bukan Muslim dan dengan itu telah memburukkan imej Islam di mata golongan bukan Muslim, MUIS mewujudkan Pusat Harmoni yang bertempat di Masjid An-Nahdhah yang baru dibina. Ia dilancarkan pada 7 Oktober 2006 dengan dua matlamat utama, 1) untuk memupuk kefahaman mengenai agama-agama lain di Singapura ini di kalangan masyarakat Islam agar mereka boleh menjalin hubungan yang lebih baik lagi dengan rakyat Singapura yang berlainan agama, 2) untuk memupuk kefahaman yang lebih baik mengenai Islam dan Muslim di kalangan rakyat Singapura yang bukan beragama Islam agar mereka tidak mempunyai prejudis terhadap rakyat Singapura Muslim. Pusat ini direka seperti sebuah museum mini bagi tamadun Islam. Ia mempamerkan artefak-artefak dan bahan-bahan pandang dengar yang dibahagikan dalam empat kategori; wajah-wajah Islam, tamadun Islam, asas-asas Islam dan gaya hidup Islam.

 

MUIS juga berusaha untuk memimpin masyarakat Islam Singapura ke tahap yang lebih jauh dari hanya menganjurkan kesederhanaan dan bertolakansur. Ia berusaha untuk membangun satu identiti Muslim yang kontekstual dengan realitinya dan berintegrasi dengan baik dengan rakyat Singapura yang lain. Setelah melalui proses permesyuaratan, MUIS mengemukakan gagasan 10 sifat bagi rakyat Muslim Singapura yang terakam dalam buku terbitannya pada tahun 2006 yang bertajuk Risalah Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura. Hari ini, 10 sifat yang dikemukakan menawarkan jawaban bagi soalan, “apakah erti menjadi seorang rakyat Muslim Singapura?”

 

Bagi menangani ancaman ideologi kumpulan pelampau di internet, pelbagai inisiatif telah diambil oleh individu-individu dan badan-badan Islam. Di antara inisiatif-inisiatif ini ialah:

 

  • Satu halaman blog yang diwujudkan khusus untuk menyanggah ideologi kumpulan pelampau di http://counterideology.multiply.com
  • Satu blog yang mempunyai isi yang banyak menangkis ideologi kumpulan pelampau juga diwujudkan oleh seorang Muslimah Singapura di http://2jay.wordpress.com/avata/
  • Kumpulan Pemulihan Keagamaan juga telah mewujudkan halaman webnya sendiri di http://www.rrg.sg . Halaman web ini sungguh popular dan mendapat kunjuangan dari merata dunia, antaranya dari Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.
  • MUIS pula mewujudkan tiga halaman web yang berkaitan, 1) satu wadah kemusykilan agama di http://www.iask.com.sg bagi remaja dan belia Muslim dengan tujuan untuk mencegah mereka dari mencari bimbingan agama dari halaman-halaman web yang salah, 2) halaman web interaktif sebagai wadah perkongsian golongan muda Muslim bagi mendekati mereka, di http://invoke.sg 3) satu halaman web khusus untuk membanteras ideologi kumpulan pelampau dan menggalakkan kesederhanaan di http://radical.mosque.sg/cms/Radical_Ideology/index.aspx 

Walaupun MUIS adalah sebuah badan berkanun pemerintah, penulis memilih untuk mengkategorikan inisiatif-insiatifnya dalam memerangi ideologi kumpulan pelampau sebagai usaha masyarakat Muslim Singapura juga kerana, pada pendapat penulis, operasi MUIS pada hakikatnya amat berakar pada masyarakat Islam dari segi penglibatan, semangat dan juga sumber kewangan.

 

Sejak tahun 2004 hingga tahun 2007, Kumpulan Pemulihan Keagamaan telah terlibat dalam pelbagai program penerangan. Ia telah membuat 33 penyampaian kepada badan-badan akar umbi, 10 forum umum di stadium dan masjid-masjid dan tiga konvensyen untuk para pelajar sekolah pemerintah dan madrasah setempat.

 

Kumpulan Pemulihan Keagamaan juga sejak tahun 2004 sehingga November 2007 telah menjalankan sebanyak 816 sesi kaunseling. Sebanyak 718 daripadanya untuk para tahanan dan mereka yang dikenakan perintah sekatan dan 98 yang lain adalah untuk anggota keluarga mereka.

 

Satu persoalan yang sering ditanya ialah, “Apakah keberkesanan segala inisiatif ini dalam mencegah pelampauan dan memulihkan individu yang terlibat?”

 

Sehingga kini tidak ada satu kaedah yang telah dibangunkan untuk mengukur keberkesanan segala inisiatif yang telah dibuat dan tiada kajian mengenai keberkesanannya telah dijalankan. Namun, beberapa petunjuk sebagai proksi dapat digunakan untuk menentukan keberkesanan segala usaha sehingga kini.

 

Walaupun elemen-elemen JI pernah wujud di Singapura dan kedudukannya yang berhampiran dengan Indonesia sebagai daerah utama operasi JI kini, keadaan keselamatan di Singapura secara relatif adalah baik. Sehingga kini, Singapura tidak mengalami masalah sebagaimana yang di alami oleh banyak Negara-negara di Eropah iaitu kemunculan individu-individu tempatan yang menjadi radikal atas usaha sendiri, kecuali satu kes yang didedahkan pada awal tahun ini, kemunculan kumpulan pelampau yang baru atau penemuan plot-plot serangan yang baru. Akhir sekali, sehingga bulan Disember 2007, seramai 19 (37%) dari 51 tahanan JI telah dibebaskan dengan purata tempoh tahanan sekitar tiga tahun sahaja. Jumlah ini tidak melibatkan mereka yang pernah ditangkap tetapi tidak dikenakan tahanan, hanya dikenakan perintah sekatan sahaja.

 

Pastinya masih terdapat banyak ruang untuk pembaikan pada inisiatif-inisiatif yang telah dilakkukan. Satu langkah bagi pembaikan ialah untuk membuat kajian untuk mengenal pasti dengan lebih tepat lagi golongan yang berisiko tinggi dari kalangan masyarakat agar program-program yang lebih berfokus dan bersesuaian dapat disasarkan kepada mereka serta memahami proses radikalisasi bagi membolehkan langkah-langkah pencegahan yang lebih baik dapat dibangunkan.

 

Adalah diharapkan agar masyarakat Muslim Singapura dapat terus memainkan peranannya yang terpuji ini dan menghasilkan penyelesaian-penyelesaian yang kreatif bagi menangani ideologi kumpulan pelampau sehingga menjadi contoh kepada pelbagai pihak yang lain.