Pengebumian Osama: Bagaimana ia harus dijalankan (Berita Harian [Singapura], 16 Mei 2011)

16 Mei 2011


PANDANGAN
Pengebumian Osama: Bagaimana ia harus dijalankan

Oleh
Muhammad Haniff Hassan dan Zulkifli Mohamed Sultan

BERITA pembunuhan Osama bin Laden dalam serangan komando Amerika Syarikat di Pakistan pada 1 Mei lalu mengejutkan dunia. Ia disambut baik oleh para pemimpin politik dan Dunia Barat. Namun, penerimaan di kalangan Dunia Islam agak bercampur-aduk.

Sementara ramai Muslim menantikan maklumat terperinci pembunuhan itu, termasuk bukti yang mengesahkan kematian Osama, mereka dikejutkan dengan laporan bahawa jenazahnya dikuburkan di suatu lokasi yang dirahsiakan di Laut Arab melalui kapal induk pesawat USS Carl Vinson.

Amerika menjelaskan bahawa pengebumian segera itu merupakan amalan Islam dengan pengebumian perlu dibuat dalam masa 24 jam selepas kematian. Ia juga menyatakan pilihan lokasi adalah demi mengelakkan daripada kemungkinan kubur Osama dijadikan sebagai tugu atau simbol bagi para pengikutnya.

PENGEBUMIAN KONTROVERSIAL

Muslim pada umumnya turut hairan mengenai alasan yang diberi bagi pengebumian segera di laut. Mereka mengharapkan bukti daripada Amerika atas kematian Osama memandangkan peri penting dan sensitiviti isu ini agar jangan sampai menimbulkan teori konspirasi yang akan menghambat usaha memenangi hati dan minda Muslim.

Pengebumian segera di laut, tanpa memberi sebarang bukti dan ketiadaan pihak bebas bagi membenarkannya, tidak sesuai dengan kekata ‘keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu dilihat telah dilaksanakan’.

Sudah menjadi undang-undang di mana sahaja bahawa kebiasaannya adalah seseorang yang terbunuh dalam serangan atau pertempuran perlu menjalani pemeriksaan autopsi oleh koroner atau yang setandingnya, juga proses pengenalan pasti dan pengesahan oleh ahli keluarga.

Maka, tidak hairanlah jika ada komen- komen negatif daripada sebilangan Muslim dunia yang dengan cepat menghujani dan mempersoalkan cara pengebumian ini dijalankan. Pertubuhan Islam, seperti Majlis Ulama Indonesia (MUI), yakin bahawa terdapat banyak lagi persoalan yang belum terjawab.

Beberapa ahli akademik, seperti Mahmoud Ayoub, seorang profesor Pengajian Islam di Hartford Seminary, Amerika, merasakan bahawa pengebumian di laut menimbulkan kesangsian terhadap berita ini.

ALASAN AGAMA YANG TIDAK TEPAT

Alasan Amerika bagi pengebumian dalam masa 24 jam ternyata bukanlah fahaman hukum agama yang tepat. Memang benar syariat Islam menuntut jenazah seseorang yang telah mati segera dikebumikan. Namun, terdapat juga beberapa pengecualian apabila ada keperluan mendesak seperti tujuan penyiasatan jenayah dan pengadilan.

Pengecualian ini dipraktikkan di semua negara Islam. Dalam kes Osama, keprihatinan masyarakat antarabangsa dalam isu ini merupakan satu faktor yang munasabah bagi melewatkan proses pengebumiannya.

Menurut sejarah Islam, jenazah Rasulullah saw pun ditundakan pengebumiannya beberapa hari demi membolehkan Muslim ketika itu menerima hakikat pemergian Rasulullah dan juga bagi menangani isu yang dilihat sebagai lebih utama ketika itu iaitu isu melantik khalifah.

Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Al-Marhum Syeikh Abdul Aziz Bin Baz, pernah mengeluarkan fatwa bahawa pengebumian jenazah boleh ditunda sehari bagi alasan kurang penting seperti membolehkan ahli keluarga dan saudara-mara melihat jenazah buat kali terakhir. Beliau menukil kelewatan pengebumian jenazah Rasulullah sebagai contoh.

Satu lagi perkara yang seharusnya boleh dielakkan adalah pilihan pengebumian di laut. Mengulas hal ini, Mufti Besar Dubai, Mohammed al-Qubaisi, berkata:

‘Jika pihak keluarga enggan menerima (jenazah)nya, mudah sahaja (caranya) dalam Islam: Anda gali sebuah kubur di mana sahaja, biarpun di sebuah pulau terpencil, anda membacakan doa dan hanya itu… Pengebumian laut memang dibenarkan bagi umat Islam tetapi hanya dalam keadaan yang luar biasa.’

Sememangnya, jenazah Osama boleh sahaja dikebumikan di banyak kepulauan kecil di bawah kuasa Amerika di Lautan Pasifik atau tempat lain.

CONTOH LALU

Satu cara yang boleh dicontohi dalam menangani jenazah seorang pengganas yang terbunuh ialah cara pihak Indonesia menguruskan jenazah Dr Azahari Hussin di Kota Batu, Jawa Timur.

Polis Indonesia telah melalui proses mengenal pasti tubuh Azahari. Selepas proses itu dan penilaian dilakukan pihak berkuasa, ahli keluarga Azahari diterbangkan dari Malaysia untuk mengesahkan identitinya. Jenazahnya kemudian dibawa pulang ke Malaysia untuk upacara pengebumian yang sempurna.

Walaupun mungkin terdapat halangan tertentu atau alasan lain yang hanya diketahui pihak berkuasa Amerika bagi mewajarkan tindakan kontroversial mereka dalam mengebumikan Osama di laut, tanggapan negatif yang timbul ekoran kejadian ini tidak dapat diketepikan begitu sahaja.

Sikap tidak mengambil endah tentangnya adalah sikap tidak bijak memandangkan kunci utama dalam memerangi Al-Qaeda ialah dengan memenangi hati dan minda Muslim umumnya.

Presiden Obama telah memutuskan bahawa imej jasad Osama tidak akan ditunjukkan kepada umum kerana khuatir akan digunakan untuk membangkitkan simpati umum yang boleh membahayakan keselamatan negara Amerika.

Namun demikian, tengkarah ini bukan hanya disebabkan ketiadaan bukti visual. Sebaliknya, ia merangkumi pelbagai isu yang melibatkan keseluruhan proses; daripada cara pengendalian jenazah, pengebumian segera di laut, ketiadaan pengesahan daripada pihak bebas dan juga ketiadaan penglibatan ahli keluarga dalam hal ini.

Harus ditekankan bahawa peperangan melawan keganasan tidak boleh dimenangi melalui operasi membunuh dan menangkap sahaja. Tidak kurang penting ialah memenangi hati dan minda umat Islam; yang mana dapat ia dicapai jika pengebumian ini dilakukan dengan cara yang betul.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah Zamil Bersekutu, sementara Ustaz Zulkifli Mohamed Sultan ialah Penyelidik dan kededuanya bertugas di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang.