Perang fahaman perlu hujah jitu

cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Komentar

Perang fahaman perlu hujah jitu

By Mohamed Redzuan Salleh Dan Muhammad Haniff Hassan

MEMERANGI pengganasan kini memasuki fasa baru. Selain ketenteraan dan langkah keselamatan, terpapar usaha membanteras ideologi atau fahaman pengganasan.

Pendekatan keselamatan memerlukan pemikiran yang mendalam dan penilaian yang jitu.

Strategi perang ideologi juga serupa – mendalami pola berfikir golongan pelampau yang mengabsahkan tindakan mereka melalui tafsiran agama mereka yang songsang.

Usaha perang ideologi ini sudah pun berjalan dalam bentuk program pemulihan para tahanan radikal di pelbagai negara, termasuk di Singapura.

Fokus kini beralih kepada menghalang ideologi songsang itu daripada berakar dalam masyarakat.

HUJAH JITU AMAT PERLU

Tentulah bercakap kepada masyarakat umum tidak memerlukan tahap kejituan intelektual yang sama berbanding kelompok tertentu dalam masyarakat.

Sebagai contoh, sekadar menghukumkan tindakan kelompok pelampau sebagai menyeleweng daripada prinsip Islam dan tidak mewakili sikap sebenar masyarakat Islam mungkin memadai bagi sasaran masyarakat umum.

Namun, berhujah seperti ini dengan kelompok pelampau atau simpatisannya hanya akan menggambarkan si pembicara kurang berdaya intelektual yang serius.

Orang yang terlibat dalam perang ideologi mestilah memahami bahawa simpatisan dan penyokong tegar kelompok pelampau bukanlah golongan yang bodoh atau tiada pendidikan.

Mereka ialah golongan yang memiliki iltizam yang sangat tinggi pada idea yang mereka amat yakini sebagai fahaman yang betul mengenai dunia dan akidah mereka.

Dalam hal ini, usaha perang ideologi tanpa hujah intelektual yang jitu kerana bertitik tolak daripada sikap yang melekehkan tahap intelektual golongan pelampau boleh membawa kesan negatif yang tidak diingini – hilangnya kewibawaan mereka di sisi golongan tertentu dalam masyarakat yang memerlukan huraian bernas berdasarkan dalil agama dan pembuktian rasional.

Selanjutnya, ia akan mengukuhkan tanggapan sesetengah pihak daripada kalangan mereka bahawa ajaran kelompok pelampau itu ada kebenarannya.

Sekali gus ia telah mengangkat status kepimpinan kelompok pelampau di mata para penyokong mereka sendiri kerana kedangkalan hujah yang diberi berbanding hujah para pemimpin mereka.

Satu contoh yang dekat ialah Imam Samudra, yang merupakan antara pengebom Bali yang telah dihukum mati.

Dia menulis buku mengabsahkan tindakan ganasnya daripada perspektif agama yang difahaminya.

Pemikirannya boleh diketepikan dengan mudah hanya dengan memfatwakannya sebagai sesat sahaja.

Namun, langkah mudah sedemikian mengabaikan usaha yang telah dia curahkan selama bertahun-tahun sebelum sampai kepada rumusan sedemikian.

Sepatutnya, sesiapa pun yang mahu mencabar hujah-hujahnya hendaklah melalui proses kajian mendalam yang sama atau lebih daripada itu.

Hakikat ini boleh juga dilihat dalam karya-karya Dr Ayman Al-Zawahiri, pemimpin nombor dua AlQaeda.

Dia telah menerbitkan bahan penulisan setebal 200 muka surat demi menyanggah kritikan gurunya sendiri, Sayyid Imam Al-Sharif, yang juga dikenali sebagai Dr Fadl kerana latar belakang kedoktorannya. Beliau merupakan antara tokoh utama kumpulan Al-Jihad di Mesir tetapi kini telah pun menolak dan meninggalkan ideologi pengganasan.

Walaupun Al-Zawahiri dan Dr Fadl bukanlah setaraf ulama seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi ataupun Sheikh Ali Jum’ah, Mufti Mesir, kedua-duanya amat dihormati di kalangan kelompok pelampau.

Tokoh semapan Sheikh Al-Qaradhawi sendiri yang baru sahaja menerbitkan buku terbarunya bertajuk Fiqh al-Jihad menyatakan bahawa beliau hanya melakukan sedemikian setelah mengambil masa tujuh tahun mengkaji, meneliti dan mempertimbang isu yang ingin ditangani.

Atas dasar itulah ideologi kelompok pelampau mestilah dicabar melalui hujah intelektual yang jitu dan rasional.

Oleh itu, kejituan intelektual merupakan elemen penting dalam memerangi ideologi pelampau.

Ini hanya boleh berlaku apabila penghujahan didasari kerangka pemikiran yang mantap.

Proses demikian amat genting demi memenuhi kebutuhan sesetengah golongan yang dahagakan argumen yang bukan setakat kenyataan ‘ini halal dan itu haram berdasarkan ayat ini dan hadis itu’.

Zaman kini pesat berubah. Perang ideologi sudah tidak lagi mampu dibataskan kepada isu-isu tertentu.

Alam siber telah membuka ruang yang seluas mungkin bagi sesiapa sahaja yang ingin membaca, melihat dan mendengar apa jua yang diingini.

Ini melahirkan potensi mempengaruhi sesetengah pihak yang mudah diperdaya dengan fahaman pelampau. Bahkan fenomena ini sedang menjadi kebimbangan antarabangsa.

Menghalang isu-isu genting daripada dibincang secara terbuka hanya akan mengundang pendaman perasaan yang akan dilepaskan jua akhirnya.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna isu ranting harus diutamakan daripada isu pokok.

Di sinilah letaknya kepentingan kejituan intelektual dalam mengarahkan perbincangan ke arah perspektif yang sepatutnya.

BAGAIMANA CARANYA?

Langkah pertama ialah menjauhi pendekatan yang bersifat generalisation dalam menyanggah pemikiran kelompok pelampau beragama. Contohnya:

  • Menghukumkan sesiapa sahaja yang menganut konsep jihad sebagai pelampau yang ganas.
  • Isunya bukanlah soal menganut konsep jihad, tetapi bagaimana konsep tersebut ditafsir, iaitu sebagai alat untuk mempertahankan diri, bukan untuk melancarkan peperangan terhadap sesiapa sahaja yang tidak menganuti Islam. Ia juga harus menepati hukum Islam tentang jihad dan undang-undang antarabangsa.

  • Menghukumkan bahawa istilah jihad adalah bermasalah sehingga ia perlu diabaikan dan tidak perlu digunakan lagi di masa kini.

    Pendekatan bermasalah ini hanya akan dilihat sebagai suatu usaha memadamkan istilah jihad daripada Al-Quran dan Sunnah, sumber perundangan yang diikuti segenap penganut Islam.

  • Kecenderungan untuk mengajar masyarakat bahawa jihad hanyalah bersifat kerohanian sematamata. Pendekatan sebegini seolaholah mengabaikan segenap khazanah keilmuan Islam sepanjang sejarah yang tidak pernah mengehadkan istilah tersebut sedemikian sempit.
  • Hanya menyatakan bahawa jihad mempunyai pelbagai maksud.

    Hakikatnya, jihad ialah satu istilah yang amat disalahfahami dunia hari ini.

    Memperakui segala aspek istilah jihad sehingga ke perinciannya, dan setiap konteks di mana pelbagai tafsiran itu muncul amat membantu dalam membina kefahaman jitu dalam sesebuah masyarakat.

    Sekali gus, ia akan memperkasakan mereka untuk memutuskan sendiri akan kesongsangan pemikiran kelompok pelampau.

    Pendekatan seperti ini juga memberi nilai objektiviti kepada hujahhujah yang dikemukakan sehingga ia tidak mudah ditangkis atas alasan pengkritik kelompok pelampau itu telah berpihak dan pandangannya lebih bertujuan mencorak pemikiran masyarakat sejajar dengan agenda politik atau kepuakan dan bukan untuk menanam kefahaman agama yang betul.

    Yang kedua ialah kepentingan unsur kebenaran dan kejujuran pada ilmu.

    Sesiapa sahaja yang terjun dalam usaha membanteras ideologi pelampau hendaklah tidak berbohong, menyamarkan kebenaran atau memanipulasi maklumat yang beliau miliki semata-mata hanya mahu mengalahkan fahaman pelampau.

    Pastinya ini akan dilihat sebagai satu usaha yang bertujuan mencapai sesuatu agenda politik.

    Tambahan pula, dengan melakukan demikian, seseorang alim sebenarnya telah menempatkan dirinya sendiri serendah golongan pelampau yang bersikap putar belit.

    Yang ketiga, kejituan intelektual menuntut hujah-hujah yang disampaikan mempunyai sandaran dalildalil syarak yang kukuh bersumberkan Al-Quran, hadis dan prinsip-prinsip ijtihad yang diguna pakai para ulama.

    Yang keempat, perang ideologi hendaklah memberi fokus kritikan pada idea dan bukan serangan ke atas peribadi.

    Khazanah intelektual Islam amat kaya dan lebih daripada mencukupi untuk digunakan bagi menangkis hujah-hujah kelompok pelampau sehingga seseorang itu tidak perlu melakukan serangan ke atas peribadi golongan pelampau.

    Tanpa kejituan intelektual, perbincangan mungkin akan membawa kepada hilangnya kewibawaan seseorang yang berhasrat untuk mengkritik kelompok pelampau.

    Ini hanya akan menimbulkan paradoks (keanehan) iaitu mengukuhkan pula retorika mereka.

    NOTA: Ustaz Mohamed Redzuan Salleh ialah Penganalisis Penyelidikan dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan pula Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.


  • Copyright © 2009 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
    Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne