Pesanan Dari Al-Quran #29 – Jalan Menuju Allah Banyak dan Pelbagai

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 6 Ogos 2021, di sini.

“Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Al-Maidah: 16)

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut: 69)

Pelajaran

  1. Kededua ayat-ayat ini membicarakan tentang jalan yang membawa Muslim kepada kehidupan yang sejahtera di dunia dan di Akhirat.

    Ia juga dikenali sebagai jalan kebenaran yang membawa manusia menuju kepada Allah taala hingga dapat memasuki syurgaNya.

  2. Yang menarik dari kededua ayat ini ialah ia menyebut jalan kebenaran dan jalan menuju Allah dengan kata jamak (subul – jalan-jalan), iaitu perkataan yang menunjukkan kepada banyak, bukan kata tunggal (sabil – satu jalan).

  3. Hal ini untuk memberitahu Muslim bahawa jalan kebenaran, jalan kejayaan di dunia dan Akhirat dan jalan menuju Allah taala boleh dan pasti banyak dan pelbagai, bukan satu.

  4. Walau pun Tuhan bagi umat Islam ada Satu, kiblat mereka satu, kitab suci Al-Quran satu, namun kededua ayat di atas memberitahu bahawa umat Islam tidak perlu menjadi satu umat yang seragam (homogeneous), dan kerencaman (heterogeneous) dalam kehidupan beragama umat Islam adalah lumrah, bukan tanda kesesatan atau kelemahan.

    Hal ini dapat disokong oleh Hud: 118-9.

  5. Sokongan lain dapat dilihat dari Al-Zukhruf: 63-4 yang memberitahu bahawa antara tugas nabi Isa a.s. (dan tugas para anbiya’ yang lain juga) ialah untuk mengurus perbezaan antara umat di zamannya, bukan menghapuskannya dan yang tercela hanyalah yang zalim dari kalangan mereka yang berbeza pendapat, bukan semua.

  6. Ini adalah fahaman yang lebih realistik serta tepat kerana ia bersesuaian dengan hukum alam tentang ciptaan Tuhan, iaitu semua ciptaan Tuhan bersifat pelbagai dan bermacam ragam, termasuklah manusia (Al-Hujurat: 13 dan Al-Rum: 22).

  7. Walau pun Muslim diperintah untuk mengikuti Al-Sirat Al-Mustaqim (Al-Fatihah: 6), atau satu jalan yang lurus, namun jalan yang lurus ini hendaklah difahami sebagai satu jalan yang amat besar dan luas yang membolehkan pelbagai lorong yang bersimpang siur.

    Kata tunggal (al-sirat) diguna bagi jalan yang lurus hendaklah difahami sebagai prinsip dan dasar agama yang sama seperti enam perkara dalam Rukun Iman dan lima perkara dalam Rukun Islam yang telah disepakati oleh ulama Islam sejak dari zaman awal Islam hingga ke hari ini.

  8. Sejak zaman silam, umat Islam telah pun mengamalkan Islam dalam bentuk-bentuk yang pelbagai, bukan seragam, baik dalam bidang fikih, akidah atau akhlak (tasawuf).

    Kepelbagaian dalam fikih wujud dalam bentuk mazhab-mazhab fikih seperti empat mazhab yang terbesar.

    Kepelbagaian dalam akidah boleh dilihat dalam bentuk aliran Asha`irah dan Maturidiyah, sebagai contoh.

    Kepelbagaian dalam akhlak (tasawuf) pula wujud dalam pelbagai aliran dan tarekat sufi yang muktabar di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Kesemua aliran-aliran ini benar, selama mana ia kekal pada prinsip dan asas yang sama (al-sirat al-mustaqim).

    Maka kesemuanya sah untuk diamalkan oleh Muslim di mana-mana dan pada apa jua masa, selama mana ia diambil dari sumber yang berotoriti dalam setiap aliran itu.

  9. Muslim yang baik ialah yang terbuka dan menerima kepelbagaian ini, bukan bersifat anti terhadapnya.

  10. Usaha dakwah yang betul ia yang mendidik masyarakat untuk berlapang dada dan menghormati perbezaan kefahaman dan amalan sesama umat Islam, bukan yang berusaha untuk menseragamkan masyarakat dalam bentuk satu acuan yang sama.

  11. Kefahaman yang sama juga boleh diterapkan dalam  kehidupan keluarga, iaitu keharmonian keluarga tidak dibina atas asas keseragaman dalam beragama, tapi toleransi terhadap perbezaan sesama ahli keluarga.

    Tugas ibubapa pula bukanlah untuk menjadikan semua anak-anaknya sama dalam semua hal agama (dan hal-hal keduniaan yang lain) kerana yang demikian itu mustahil dan pasti akan menemui kegagalan.

    Oleh itu, ibubapa atau ahli keluarga tidak perlu merasa canggung atau tidak harmoni jika ada ahli keluarga yang beraliran salafi dan ada pula yang cenderung kepada aliran sufi.

    Ada yang suka berdakwah cara gerakan tabligh yang tradisional dan ada pula yang lebih suka pada model aktivis sosial yang moden.