Seks Bebas : Apabila Sudah Tidak Malu

pemalu

 

oleh Muhammad Haniff Hassan (c)

Malu adalah salah satu sifat terpuji yang dianjurkan oleh Islam.

Malu juga mempunyai pengaruh yang kuat terhadap tingkah laku manusia.

Disebabkan oleh malu seseorang itu dapat menjaga dirinya dari perlakuan yang keji. Disebabkan oleh malu juga orang sanggup membunuh dirinya.

Apabila orang hilang rasa malu, maka pelbagai tingkah yang buruk akan dilakukan.

Kerana sudah tidak malu, ramai yang dengan bersahaja bercumbu di khalayak ramai.

Perhatikanlah juga tingkah laku si penjaja tubuh di tepi jalan atau di kelab malam.

Perhatikan juga mereka yang dari mulutnya berhamburan pelbagai bentuk carutan.

Lihat juga sikap anak-anak jalanan yang mengusik anak gadis, isteri, adik atau kakak orang lain.

Apabila diteliti lebih mendalam, semua tingkah laku sumbang itu mempunyai kaitan dengan hilangnya sifat malu.

Setiap kali kita melihat sepasang kekasih berpeleseran di khalayak ramai, mereka yang berpakaian tidak sopan, tingkah laku mencarut dan perbuatan mengganggu wanita di tempat awam, satu soalan akan berligar di kepala kita “Tak malu ke mereka ni?” atau kita akan bercakap kepada anak kita “Eeeiii… jangan tengok atau jangan ikut… malu!!” atau kita kan berkata “Buat malu masyarakat kita aje!” atau kita kata juga “Jangan buat macam tu kerana akan memalukan keluarga.”

Peri pentingnya malu dalam memelihara manusia melakukan tingkah laku sumbang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadits yang bermaksud

“Sebahagian yang diperolehi oleh manusia dari kata-kata para nabi yang terdahulu ialah; Jika engkau sudah tidak malu, maka buatlah apa yang engkau suka!” (Riwayat Al-Bukhari)

Bukan tujuan hadits ini menyuruh kita buat sesuka hati tetapi pesanannya ialah bahawa sifat malu itu adalah penting sehingga apabila ia telah hilang maka manusia akan mudah melakukan apa sahaja ia suka tanpa menghiraukan orang lain.

Oleh itu, usaha untuk mengembalikan sifat malu dalam diri manusia dan meneguhkannya adalah penting dalam menangani gejala seks bebas yang darinya timbul pelbagai masalah sosial; keruntuhan akhlaq, peleseran yang merata, kelahiran anak luar nikah, keruntuhan institusi keluarga dan lain-lain.

Setiap bangsa ada anjuran untuk bersifat malu.

Islam menyediakan ajaran untuk bersifat malu yang komprehensif.

Islam bukan hanya menganjurkan malu di khalayak ramai tetapi juga malu ketika bersendirian kerana di sana ada Allah taala yang melihat dan kerana di sana ada dua malaikat yang sentiasa bersama manusia walau di mana ia berada.

Di dalam sebuah hadits ada diceritakan bahawa para sahabat bertanya Rasulullah s.a.w mengenai perbuatan bertelanjang ketika bersendirian.

Beliau s.a.w lalu bersabda yang bermaksud

“Sesungguhnya kepada Allah itu lebih layak untuk seseorang berasa malu dari manusia sekaliannya.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan An-Nasai)

Islam bukan hanya menganjurkan agar umatnya merasa malu dari perbuatan yang menjatuhkan maruah sewaktu di dunia ini tetapi juga mengingatkan manusia agar turut berasa malu terhadap pencemaran maruah semasa di hari Akhirat, pada ketika ia dihisab oleh Allah taala di hadapan khalayak manusia.

Renungilah firman Allah taala yang bermaksud

“Pada hari itu Allah membangkitkan mereka semua, kemudian Allah memberitahukan kepada mereka apa-apa yang telah mereka lakukan. Allah telah membuat penghitungannya sedang mereka melupakan hal itu. Dan Allah adalah maha Menyaksikan segala sesuatu.
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah itu Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi? Tidak ada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dia (Allah) itulah yang menjadi keempatnya dan tidak pula antara lima orang melainkan Dia itulah yang menjadi ke enamnya, tidak pula kurang atau lebih dari itu, melainkan Dia bersama mereka di mana sahaja mereka berada. Selanjutnya Allah akan memberitahukan kepada mereka apa-apa yang telah mereka lakukan pada hari Kiamat. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Mujadalah : 6-7)

Oleh itu, semaikan sifat malu yang diajarkan oleh Islam dalam diri kita, anak-anak kita dan masyarakat secara umum.

Dengan rasa malu, seks bebas yang keji bukan hanya dihakis dari pandangan yang terbuka tetapi juga dari balik-balik dinding dan tabir yang melindung.