Muhammad Haniff Hassan dan Mustazah Bahari, (c) September 2014
Untuk membaca veri Berita Harian [Singapura], 24 September 2014, klik di sini.
————————-
Dunia tiba-tiba dikejutkan oleh kumpulan bersenjata IS yang berjaya memaksa pasukan tentera Iraq berundur dari utara negara itu ke Baghdad hingga membolehkan mereka menguasai satu daerah yang luas.
Berikutan dari kejayaan ini, bermunculan laporan-laporan mengenai kekerasan kumpulan ini ke atas mereka yang tertawan, yang tidak menyokongnya dan penduduk bukan Muslim Iraq.
Pada 30 Jun 2014 pula, pemimpin IS, Abu Bakar Al-Baghdadi, dilaporkan telah mengumumkan penubuhan pemerintahan khilafah yang berkuasa dari Diyala (Iraq) hingga ke Aleppo (Syria) dengan dirinya sebagai khalifah.
Beliau menyeru umat Islam di seluruh dunia agar mentaatinya dan menyokong usaha membangun pemerintahan yang baru ini.
Perkembangan ini memberi cabaran kepada umat Islam yang terdiri dari para penguasa negara, para ulama dan cerdik pandainya untuk membuat pendirian terhadap perlakuan kekerasan mereka dan pengumuman pembentukan khilafah baru ini.
Reaksi umat Islam
Hingga kini, para pemimpin negara, ulama, cerdik pandai, aktivis masyarakat dan badan-badan Islam di seluruh dunia telah bereaksi. Majoriti dari mereka menolak IS.
Dapatan ini kami perolehi dari satu usaha mengumpul reaksi umat Islam terhadap IS. Hasil dari pengumpulan ini, kami dapat mewujudkan satu senarai mereka yang menolak dan mengkritik IS secara terbuka.
Sehingga 22 September 2014, senarai ini telah mengumpulkan sebanyak 86 suara individu dan kumpulan. Suara-suara ini dibahagikan kepada, a) golongan ulama (46 suara), b) golongan cendikiawan, pemimpin masyarakat dan organisasi Muslim (34 suara), dan c) pemimpin (3 suara) dan polisi negara Muslim (3).
Kami sengaja mewujudkan ulama sebagai satu kategori khusus kerana isu IS melibatkan isu agama iaitu keabsahan pengumuman penubuhan khilafah bagi seluruh umat Islam dan hukum Islam terhadap tindak kekerasan IS ke atas pelbagai pihak yang dilakukan atas atas nama Islam.
Sikap ulama dalam hal ini bakal membantu orang ramai untuk menilai keabsahan IS, tindak kekerasannya dan pengumuman yang dibuatnya.
Perlu diperjelaskan, senarai ini bukanlah komprehensif. Bahkan, tidak mungkin pula ia boleh menjadi satu senarai yang komprehensif kerana skopnya yang amat luas di samping realiti yang berubah-ubah. Tapi ia memadai untuk memberi gambaran sikap umum majoriti umat Islam terhadap IS.
Senarai ini, boleh dirujuk di www.haniff.sg/en di bawah tajuk Muslim Voices Against IS / ISIL / ISIS (klik di sini).
Analisa
Dari senarai yang diwujudkan, kami dapat membuat beberapa rumusan menarik mengenai sikap negatif umat Islam terhadap IS.
Pertama, para ulama adalah golongan yang paling lantang bersuara dalam menolak IS. Kredibiliti penolakan ini dapat dilihat dari sudut-sudut berikut:
• Kesatuan Antarabangsa Para Ulama Islam, satu-satunya badan yang menaungi para ulama sedunia di bawah pimpinan Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi, ulama tersohor yang berpangkalan di Qatar, telah mengeluarkan kenyataan menolak penubuhan khilafah oleh IS bahawa ia tidak sah di sisi agama dan mencela kekerasan mereka. Sehingga kini, tidak diketahui adanya mana-mana suara ahli kesatuan ini yang mengkritik atau membantah pernyataan ini.
• Para ulama di Syria dan Iraq secara individu dan kolektif melalui badan yang menaungi mereka menolak IS, tindak kekerasan dan khilafah mereka. Hal ini mempunyai kepentingan tersendiri dari sudut mereka sebagai saksi mata dan pihak yang mengalami IS secara langsung.
• IS ditolak oleh ulama dari tiga mazhab utama Islam, a) sunni (pendirian pelbagai badan ulama, khususnya oleh Universiti Al-Azhar dan Dar Al-Ifta’ Mesir), b) shiah (pendirian pemimpin agama tertinggi shiah di Iran dan Iraq), c) salafi (pendirian mufti besar dan pelbagai ulama di Saudi Arabia.
• IS juga ditolak oleh ulama rujukan golongan penjihad iaitu Abu Muhammad Al-Maqdisi dan Abu Qatadah.
Kedua, IS bukan hanya ditolak oleh golongan traditionalis dan modenis, ia juga ditolak oleh golongan radikal.
Hizbut Tahrir, sebuah gerakan antarabangsa Islam Siyasah yang mempunyai misi menubuhkan semula khilafah Islam, menolak pengumuman IS dan tindak kekerasanya.
Di Syria, IS ditolak juga oleh gabungan pelbagai kumpulan bersenjata Islam di bawah payung Fron Islam (Al-Jabhah Al-Islamiyah), selain oleh Tentera Syria Merdeka (FSA).
Bahkan dan satu ironis, IS ditolak oleh Al-Qaeda kerana dianggap terlalu melampau dalam melakukan kekerasan bersenjata dan telah menggangu penentangan bersenjata oleh pelbagai kumpulan penentang di Syria.
Suara ini diwakili oleh Ayman Al-Zawahiri dan para pemimpin Barisan Nusrah (cabang Al-Qaeda di Syria).
Ayman Al-Zawahiri sewal bulan Januari 2014 telah menolak IS dan menarik pengiktirafan terhadap IS sebagai cabang Al-Qaeda.
Golongan radikal dan simpatisan Al-Qaeda di Indonesia, seperti elemen Jemaah Islamiyah dan pertubuhan Majlis Mujahidin Indonesia, turut menolak pemerintahan dan tindak kekerasan IS.
Ketiga, IS ditolak bukan hanya oleh mereka yang mengikuti perkembangannya dari berita dan laporan media massa yang seringkali diragui oleh sesetengah pihak.
Ia jua ditolak oleh mereka yang berada di Iraq dan Syria sendiri sebagai saksi mata dan mengalami IS secara langsung. Mereka ini terdiri dari para ulama, ketua-ketua kabilah dan pertubuhan-pertubuhan yang berada di sana.
Inti kritikan
Penelitian terhadap pelbagai pernyataan mereka yang dikumpulkan dalam senarai di atas mendapati inti kritikan terhadap IS ialah, a) pengumuman khilafah oleh IS tidak sah, dan b) IS telah melakukan tindakan-tindakan yang melanggar ajaran Islam.
Para ulama berpendapat penubuhan khilafah dan pengumuman Abu Bakar Al-Baghdadi sebagai khalifah tidak sah kerana ia tidak melalui proses yang ditentukan oleh syariah.
Para ulama menegaskan proses ini mestilah berlaku melalui permesyuaratan dengan umat Islam yang diwakili oleh para pemimpin, ulama, cendekiawan dan perwakilan umat Islam yang dikenali sebagai Ahlul Hali Wal `Aqdi. Ia juga haruslah dilakukan secara sukarela dan bukan paksaan.
Dalam hal ini, tiada permesyuaratan yang dibuat. Pengumuman itu lebih bersifat perlantikan sepihak oleh Abu Bakar Al-Baghdadi dan terdapat unsur-unsur paksaan melalui pengikut-pengikutnya yang bersenjata sebagaimana yang dilihat di kawasan-kawasan yang dikuasainya.
IS juga dicela kerana:
• berfahaman takfir, iaitu menkafirkan Muslim yang tidak sefahaman dan tidak menyokongnya hingga menghalalkan darah mereka pula
• melakukan tindak kekerasan yang menyebabkan ribuan penduduk Iraq yang berlainan mazhab melarikan diri
• mengamalkan sektarian dengan menyasarkan kekerasan kepada mereka yang berbeza mazhab dan tidak sefahaman dengannya terutama para penganut shiah
• melaksanakan hukum hudud di medan perang dan dalam suasana yang tidak kondusif yang telah dilarang oleh ulama
• merosakkan peninggalan sejarah
• mengamalkan jihad yang bersifat permisif.
Umumnya, para ulama menyamakan IS dengan golongan khawarij yang dicela sejak dahulu lagi.
Majoriti benar?
Memang benar ada segelintik kecil ulama, guru agama dan individu Muslim yang secara terang-terangan menyokong IS dan ada pula yang bersifat neutral.
Memang benar juga bahawa kebenaran dalam Islam bukan diputuskan atas dasar suara majoriti. Tapi ini berlaku dalam isu-isu yang melibatkan hukum agama yang bersifat qat’ii atau definitif seperti haramnya zina dan membunuh. Kededuanya tetap haram walau majoriti manusia melakukan atau menghalalkannya.
Dalam isu yang melibatkan hukum yang berdasarkan ijtihad seperti hukum ke atas IS ini, selain kekuatan hujah dari Al-Quran dan hadith serta data-data dari lapangan, suara majoriti diakui oleh perundangan Islam sebagai pemberat bagi kebenaran.
Hal ini relevan khususnya bagi orang awam yang tiada keupayaan untuk berijitihad dan memerlukan bimbingan ulama dalam membuat sesuatu pendirian dalam isu agama.
Para ulama sejak dahulu lagi memberi keutamaan pada pendapat jumhur (majoriti) dalam hukum agama.
Konsep ijma’ juga menyokong suara ramai sebagai dasar pemberat hukum. Nabi s.a.w juga membuat keputusan dalam persoalan ijtihad berdasarkan suara majoriti seperti dalam Perang Uhud.
Selain itu, Nabi s.a.w bersabda, “Umatku tidak akan bersepakat atas kesesatan. Apabila kamu berselisih, maka hendaklah kamu bersama dengan Al-Sawad Al-A`azam (golongan yang ramai).” (Riwayat Ibn Majah)
Penutup
IS ditolak oleh kelompok ramai para ulama. Kesimpulan ini bukan hanya dibuat oleh ulama yang jauh dari lapangan berdasarkan berita dan laporan sekunder sahaja, tapi juga oleh ulama yang berada di Iraq dan Syria sendiri berdasarkan saksi mata dan pengalaman langsung.
Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil dan Ustaz Mustazah Bahari adalah Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, NTU.
[…] This article was originally published in Malay by Berita Harian (24 September 2014, available here) […]