Tangani dwiancaman Al-Qaeda Pusat (Berita Harian [Singapura], 25 Julai 2011)

 

KOMENTAR

Tangani dwiancaman Al-Qaeda Pusat

Oleh
Muhammad Saiful Adli Ayob dan Muhammad Haniff Hassan

SETELAH kematian ketua Al-Qaeda Pusat, Osama Bin Laden, penggantinya, Ayman Al- Zawahiri, kini membuka semula sejarah perbalahan dalaman gerakan itu.

Al-Qaeda Pusat ditubuhkan dengan gabungan dua kelompok utama. Kelompok pertama ialah para pengikut Osama dari Semenanjung Arab dan negara Arab lain, termasuk sejumlah relawan jihad yang pada awalnya tidak mempunyai ikatan dengan mana-mana kelompok Islam sewaktu memerangi pendudukan tentera Soviet Union (1979-1989).

Kelompok kedua ialah kumpulan Jihad Islam Mesir yang diketuai Ayman Al-Zawahiri.

Terdapat banyak laporan yang menunjukkan kelompok Osama berasa kurang senang dengan perwakilan yang tidak seimbang daripada kelompok Jihad Islam Mesir pada awal penubuhan Al-Qaeda Pusat di peringkat kepimpinan tinggi dan operasi.

Kelompok Mesir memegang kebanyakan jawatan utama dalam gerakan ini dengan Al- Zawahiri dilantik sebagai timbalan Osama, sementara Abu Ubaidah al-Banshiri sebagai ketua tentera yang kemudiannya digantikan Mohamed Atef atau Abu Hafs Al-Misri.

Setelah Abu Hafs terbunuh, tempatnya diisi Saif al-Adel, mantan kolonel tentera Mesir. Seorang lagi yang berpengaruh ialah Mustafa Abu Yazid, ketua operasi Al-Qaeda di Afghanistan, juga asal Mesir.

KERETAKAN SAUDI DAN MESIR

Para anggota asal Saudi dan Yaman telah melahirkan rasa kecewa mengenai taraf dan kedudukan mereka dalam Al-Qaeda Pusat.

Beberapa alasan dijadikan asas kekecewaan itu – mereka adalah kumpulan majoriti di kalangan mujahidin yang datang dari luar Afghanistan dan secara sukarela terlibat dalam peperangan melawan Soviet.

Kedua, mereka adalah golongan yang telah banyak memberi sokongan kewangan dalam peperangan menentang Soviet.

Ketiga, mereka datang dari kededua tanah suci (haramain) yang juga merupakan tempat Nabi Muhammad saw.

Ketika itu, Osama berusaha mengatasi bibit-bibit keretakan ini dengan menerima perwakilan kelompok Mesir yang lebih besar dan diakuinya sebagai berpengalaman luas dalam operasi ‘jihad’ dan kemampuan ketenteraan yang tidak ada pada kelompok Saudi.

Kumpulan Jihad Islam Mesir memang berpengalaman lebih sedekad dalam operasi jihad militan, matang dari segi ideologi dan mahir dalam operasi kerana pernah menjadi pegawai tentera dan polis di Mesir.

Osama mampu menenangkan para anggotanya dengan menggunakan karisma yang dimilikinya, kuasa kewangan dan wewenangnya sebagai amir (ketua) yang berhak didengar dan ditaati secara mutlak.

MONOPOLI JIHAD ISLAM

Setelah kematian Osama, pelantikan Al- Zawahiri dinilai sebagai membolehkan kumpulan Mesir membolot kuasa dalam Al-Qaeda Pusat.

Tanpa peranan penyatuan yang dimainkan Osama, Al-Qaeda Pusat menghadapi risiko berlaku penghijrahan beramai-ramai pengikut Osama yang telah lama menahan rasa tidak puas hati mereka.

Kemampuan dan keperibadian Al-Zawahiri dalam mengatasi risiko ini amat diragukan. Kumpulan Osama diramalkan sama ada akan bergabung dengan kumpulan lain atau memilih bersikap pasif.

Bahkan, Al-Qaeda Pusat dengan bentuk terkini akan kembali semula kepada bentuk asal kumpulan Jihad Islam Mesir tetapi dengan nama yang berlainan sahaja – sebuah pertubuhan yang gagal melaksanakan agendanya sebelum ia bergabung sebagai Al-Qaeda Pusat.

Pada hakikatnya, Jihad Islam Mesir kini didapati lebih lemah dibandingkan waktu dahulu, terutama sejak semakan ideologi yang dilakukan Dr Sayyid Imam Al-Sharif (atau lebih dikenali sebagai Dr Fadl El-Misri), seorang bekas pengasas fahaman kumpulan ini.

Ketika dipenjarakan di Mesir, Dr Fadl menyemak idea penggunaan kekerasan untuk mendorong perubahan di negara majoriti Muslim itu dan melawan kuasa asing sebagaimana amalan Al-Qaeda Pusat. Beliau merumuskan bahawa cara ini tidak sah di sisi agama.

Beliau juga menolak taktik serangan secara rambang yang digunakan Al-Qaeda Pusat.

ANCAMAN TERHAD

Berdasarkan senario di atas, Al-Qaeda Pusat tidak akan lagi memberikan kesan besar di luar sempadan Afghanistan-Pakistan.

Kegiatannya akan hanya tertumpu pada melancarkan propaganda dan hasutan terhadap individu di luar untuk menerima ideologi ganasnya dan akan terus pula memberi rangsangan kepada sekutunya di Semenanjung Arab, Iraq, Afrika Utara, termasuk Jemaah Islamiyah di Asia Tenggara, bagi meneruskan serangan.

Namun, ini tidak bererti bahawa kumpulan itu akan lumpuh sama sekali.

Hanya ancaman pengganasan yang lebih serius akan berubah kepada dua sumber lain:

  • Individu yang menjadi radikal secara sendiri dan mampu melancarkan serangan ke atas sasaran Barat, dan

  • Al-Qaeda Cawangan Semenanjung Arab.

  • Hal ini dapat dilihat melalui percubaan serangan di Times Square (Mei 2010), percubaan Al-Qaeda Semenanjung Arab (AQAP) meletupkan pesawat Amerika dengan menggunakan bom yang dipasang di seluar dalam (2009) dan percubaan serangan yang dilakukan melalui penghantaran kartrij mesin pencetak yang telah diisi dengan bahan letupan (2010).

    Lebih banyak usaha dan sumber perlu disalurkan untuk menangani kededua sumber ancaman ini. Huraian tepat dan segera amat perlu demi menyegerakan pengunduran tentera Nato dari negara itu. Hasil ini akan membolehkan lebih banyak perhatian dan sumber terhadap ancaman ini.

    Perlu diketahui bahawa kehadiran tentera asing di Afghanistan merupakan bahan diayah Al-Qaeda Pusat yang boleh meradikalkan individu di serata dunia – sumber kekuatannya yang terakhir yang perlu dihilangkan.

    Nota: Ustaz Muhammad Saiful Adli Ayob ialah Penganalisis Kanan dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan pula Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.