Kita memerlukan asatizah yang mencukupi kerana terdapat perintah agama mengenainya. Untuk itu, usaha yang terancang diperlukan. Usaha ini haruslah melibatkan pelbagai kumpulan sasaran dan pelbagai saluran serta institusi.
Adalah diakui madrasah sepenuh masa merupakan institusi yang penting dalam persoalan ini. Begitu penting institusi ini, maka sewajarnya ia dipelihara dari terpupus dan dipertingkatkan agar sentiasa relevan dengan perkembangan.
Sekiranya kita mengkaji Al-Quran, kita akan dapati bahawa faktor utama yang memastikan penakatan sebuah institusi dan keberkesanan peranannya bukanlah terletak kepada fizikal institusi berkenaan atau sistemnya tetapi adalah faktor manusia.
Allah taala berfirman yang bermaksud
“Tidak mungkin orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah dalam keadaan mereka bersaksi atas diri mereka dengan kekufuran. Mereka itu telah musnah segala amal-amal dan di dalam neraka mereka kekal. Sesungguhnya yang dapat memakmurkan masjid-masjid Allah adalah mereka yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan tidak takut kecuali Allah. Moga-moga mereka itu menjadi di kalangan orang-orang yang mendapat hidayat.” (At-Taubah : 17 – 18)
Ayat ini jelas menyatakan bahawa yang mampu memakmurkan masjid Allah dalam erti kata memastikan masjid berfungsi seperti yang sepatutnya adalah manusia yang memiliki sifat-sifat tertentu dan kegagalan masjid itu untuk berfungsi juga disebabkan manusia yang mempunyai sifat-sifat tertentu.
Allah taala juga berfirman yang bermaksud
“Dan masjid yang didirikan atas takwa pada hari pertama ia dibina lebih berhak untuk engkau beribadat di dalamnya. Di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka untuk membersihkan diri. Dan Allah suka golongan yang membersihkan diri” (At-Taubah : 108)
Ayat ini pula menjelaskan kita bahawa Allah taala memerintah Rasulullah saw untuk beribadat di masjid yang terdapat di dalamnya manusia yang mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan dan tidak beribadat di masjid yang diasaskan oleh golongan munafik.
Allah taala juga berfirman yang bermaksud
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu mengubah apa yang ada di dalam dirinya.” (Ar-Ra’ad : 11)
Allah menggunakan perkataan ‘anfus’ untuk merujuk aspek dalaman manusia iaitu kepercayaan, nilai, minda, rohani, hati dan segala unsur dalaman manusia.
Ayat ini mengajar bahawa perubahan nasib sesuatu kaum kepada yang lebih baik atau yang lebih buruk, pertama-tamanya bergantung kepada dalaman manusia.
Bagi manusia, apabila dalamannya rosak, maka kehidupannya akan menjurus lambat laun kepada kehancuran. Dengan membaiki dalamannya pula, ia akan kembali kepada satu tahap kehidupan yang lebih baik lagi.
Begitulah juga institusi madrasah. Baik atau buruk, maju atau mundur ditentukan oleh faktor dalaman.
Dalam konteks usaha melahirkan asatizah dan ulama, walau pun institusi, infrastruktur dan sistem itu penting namun yang lebih penting untuk memastikan bahawa usaha ini terus kekal dan berterusan, dalam apa keadaan dan situasi sekali pun, ialah dengan menanamkan kefahaman dalam diri setiap individu muslim bahawa usaha ini adalah satu kewajiban agama, pengabaian terhadapnya merupakan satu dosa ke atas semua, perlu ada segelintir yang ‘berkorban’ untuk melalui jurusan ini, perlu ada segelintir ibu bapa yang memastikan anak-anaknya memenuhi tuntutan ini dan perlunya memastikan keupayaan dalam setiap individu dan keluarga untuk memainkan peranan ini.
Oleh itu, selain memelihara dan mempertahankan institusi madrasah dan masjid, kita perlu berusaha kuat juga untuk mewujudkan madrasah dan masjid dalam diri setiap individu dan keluarga Islam. Sehingga sekiranya, madrasah dan masjid dalam bentuk yang fizikal di ancam pupus atau musnah sekali pun, peranannya akan tetap kekal.
Tegakkan Islam di dalam diri kita akan tertegak Islam di bumi kita. Tegakkan madrasah dalam diri setiap muslim dan keluarga Islam, akan tertegak madrasah di bumi mana ia berada.