Berita Harian
29 Feb 2012
Terjemahan bahan radikal di Indonesia
Oleh
Muhammad Haniff Hassan dan Zulkifli Mohamed Sultan
ANTARA kegiatan cergas kelompok radikal Muslim untuk menyebarkan ideologi mereka ialah usaha menterjemah pelbagai makalah dan buku ke dalam bahasa Indonesia.
Kebanyakan bahan radikal tadi berasal daripada bahasa Arab dan sebahagian kecil pula berbahasa Inggeris.
Bahan-bahan ini kemudian dimuat naik ke halaman sawang atau blog peribadi di Internet untuk dikongsi dengan khalayak ramai dan diedarkan semula secara percuma.
Bahkan ada usaha mewujudkan satu pustaka maya yang mengumpulkan pelbagai bahan yang mengandungi ideologi radikal dalam bentuk teks, audio dan video.
Antara usaha ini ialah halaman sawang Maktabah Al-Tauhid Wal Jihad yang bermodelkan sebuah pustaka bahan-bahan radikal yang terbesar di Internet yang termasyhur, iaitu Minbar Al-Tauhid Wa Al-Jihad yang didedikasikan kepada Syeikh Abu Muhammad Al- Maqdisi.
Pada halaman Maktabah Al- Tauhid Wal Jihad berbahasa Indonesia sahaja terdapat lebih 100 buku dan artikel daripada bahasa Arab dan Inggeris yang membentuk ribuan muka surat hasil karya hampir 50 tokoh, pemimpin dan pemikir radikal.
Jumlah bahan terjemahan ini akan berganda jika dicampur dengan bahan-bahan yang wujud di pelbagai halaman radikal di Internet.
Lima tokoh yang teratas yang karyanya telah diterjemahkan ialah:
Apa yang menarik daripada usaha Maktabah Al-Tauhid ialah ia dilakukan secara sukarela bagi mencapai tujuan mengadakan sebuah pustaka maya.
Aktivis radikal yang mengendalikan halaman ini mengambil pelajaran daripada model operasi halaman Wikipedia, sebuah ensiklopedia percuma dalam talian, yang menggunakan sumbangan sukarela orang ramai.
Para penggerak halaman ini hanya memuat naik senarai bahan-bahan yang yang ingin diterjemahkan lalu mengundang sesiapa yang berminat melakukannya secara sukarela.
Selain itu, pengendali halaman ini juga mengundang mana-mana pihak yang telah melakukan usaha terjemahannya sendiri agar mengirimkan bahan berkenaan kepada mereka untuk dimuat naik ke halaman berkenaan.
Undangan ini, umumnya, segera mendapat sahutan daripada ramai pihak. Daripada data yang diperolehi dari halaman ini, terdapat empat individu dan dua kumpulan yang sering menyahut undangan-undangan ini.
Natijah daripada usaha terjemahan kelompok radikal ini ialah:
Fenomena kegiatan terjemahan ini memberi beberapa pengajaran bagi usaha melawan radikalisasi.
Jika ideologi tidak penting, pasti mereka tidak akan mengerahkan tenaga dan masa bagi menghasilkan bahan-bahan ini.
Pelbagai kajian telah mengesahkan bahawa kelompok radikal juga melakukan sesuatu dengan perkiraan rasional, walaupun natijah akhir daripada usaha mereka bersifat melampau.
Mereka sentiasa berusaha mengatasi pelbagai halangan dan memanfaatkan apa jua peluang yang berkesan bagi mencapai tujuan.
Hal ini menuntut respons pihak yang ingin melakukan usaha perlawanan ke atas mereka juga mempunyai sifat yang sama.
Mereka perlu memerhatikan perubahan-perubahan yang berlaku di kalangan kelompok radikal dan mengubah suai respons mereka.
Kegagalan melakukan seperti ini akan mengakibatkan apa jua dasar yang telah dirangka sebelum ini menjadi tidak berkesan disebabkan reaksi balas kelompok radikal.
Walaupun terjemahan hanyalah satu aktiviti kelompok radikal, data daripada kegiatan ini memadai untuk memberi gambaran akan tahap iltizam mereka dan keupayaan mereka.
Ia juga memberi gambaran akan cabaran dan tahap masalah radikalisasi di Indonesia.
Hal ini bermakna masih banyak usaha perlu dilakukan bagi melawan radikalisasi di Indonesia, walaupun sehingga kini ratusan individu radikal telah dihukum dan terdapat peningkatan inisiatif melawan ideologi mereka dalam masyarakat.
Dalam hal ini, usaha menterjemah bahan-bahan melawan ideologi radikal daripada bahasa Arab kepada bahasa Indonesia perlu dipergiatkan, terutama bahan-bahan yang dihasilkan oleh mereka yang telah berpaling daripada ideologi berkenaan dan kini merupakan pengkritik kuat Al-Qaeda seperti para pemimpin Al-Jamaah Al-Islamiyah Mesir dan Syeikh Abdul Qadir Abdul Aziz yang juga dikenali sebagai Dr Fadl.
Perlu diperhatikan bahawa kelompok radikal sehingga kini masih mengedarkan karya tulisan Syeikh Abdul Qadir yang lama dan tidak mempedulikan karya- karya barunya.
Kelompok yang telah berpaling ini telah menghasilkan lebih 25 jilid buku yang menjelaskan kesilapan ideologi radikal lama mereka dan kritikan terhadap Al-Qaeda.
Bahan-bahan ini telah turut menyumbang pada usaha deradikalisasi yang menatijahkan sejumlah besar anggota kelompok radikal pulang ke pangkal jalan di Mesir, Algeria dan Libya.
Pengedaran bahan-bahan ini dalam bahasa Indonesia berpotensi mencabar usaha giat kelompok radikal.
Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan Zamil Bersekutu dan Ustaz Zulkifli Mohamed Sultan Penganalisis Kajian di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.