Pesanan Dari Al-Quran #10 – Muslim dan Kuasa

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 16 Oktober 2020, di sini. 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al Imran: 26)

Pelajaran

  1. Sebab turun ialah segolongan Yahudi mengejek apabila mengetahui bahawa Nabi s.a.w berdoa agar diberi kekuasaan Rom dan Parsi setelah pembukaan Mekah. Ayat ini diturunkan untuk menyatakan doa Nabi s.a.w diterima, tapi ia juga mengingatkan bahawa kuasa sebenar adalah milik Allah taala

  2. Islam membenarkan Muslim untuk minta kuasa, asalkan jangan lupa diri, iaitu, a) ingat selalu bahawa kuasa adalah milik dan kurniaan Allah taala, dan b) tidak salah guna kuasa setelah diberi. Dalam hal ini, Muslim boleh contohi sikap Nabi Sulaiman a.s. dalam Al-Naml: 15-44.

  3. Ayat ini juga mengajar bahawa segala kebaikan adalah dari Allah taala. Oleh itu, mintalah dari Dia, selain berusaha keras untuk memenuhi sebab musabab bagi mencapai kebaikan yang diingini. Jangan jadi seorang “narcissist” yang terlalu mengagong dan mengutamakan diri sendiri – diri sendiri yang lebih penting dan segala-galanya adalah kerana kehebatan diri sendiri sahaja, tanpa peduli akan kepentingan dan tidak akui sumbangan pihak lain dalam kehidupannya.

  4. Sejarah merakam bahawa kuasa Rom dan Parsi tidak jatuh ke tangan umat Islam kecuali setelah kewafatan Nabi s.a.w. Hal ini memberi tahu Muslim bahawa sebahagian dari hajat Nabi tidak tertunai semasa hidupnya. Maka, ia adalah pelajaran bagi Muslim tentang hakikat hidup. Muslim yang hajatnya belum terpenuhi hendaklah ingat akan kisah disebalik ayat ini, bahawa apa yang dia alami juga sesuatu yang dialami oleh Nabi s.a.w.

  5. “Mulk” (kuasa) dan “`iz” (mulia) tidak sama kerana seorang insan boleh ada “mulk”, tapi tiada “`iz”, dan sebaliknya. Oleh itu, jadilah insan yang berkuasa tapi mulia, bukan hina dan dibenci. Tidak mengapa pula bagi Muslim jika tidak berkuasa, asal mulia di sisi Tuhan dan manusia.

  6. Ayat ini juga mengandungi nama-nama Allah yang agung yang bagus untuk diguna sebagai zikir dan bertawasul dengannya apabila berdoa untuk hajat tertentu.