Pesanan Dari Al-Quran #11 – Memberi dan Menerima Hutang

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 6 November 2020, di sini. 

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Al-Baqarah: 80)

Pelajaran

  1. Selain bersedekah (Al-Baqarah: 270-1), salah satu cara tolong orang lain ialah dengan memberi hutang.

  2. Islam menggalakkan pemberian hutang tanpa riba. Manakala hutang yang mengandungi riba adalah haram (Al-Baqarah: 275-9).

  3. Tujuan Islam mengharuskan hutang ialah untuk membantu golongan yang memerlukan, bukan untuk mencari keuntungan atau ambil kesempatan dari kesulitan orang lain.

  4. Oleh itu, digalakkan memberi penangguhan bagi membayar hutang tanpa riba, jika peminjam tidak mampu bayar pada tempoh yang ditetapkan (Al-Baqarah: 280).

  5. Namun, mereka yang mampu membayar hutang tapi sengaja menangguh pembayaran adalah berdosa jika perbuatannya itu menzalimi pemberi hutang.

    Rasulullah s.a.w bersabda, “Perbuatan menangguh bayaran hutang oleh seorang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Riwayat Al-Bukhari)

  6. Sebaliknya, Islam amat menganjurkan Muslim agar segera membayar hutang dan membayar lebih dari jumlah yang dipinjam sebagai membalas budi, dengan syarat lebihan itu bukan sesuatu yang disyaratkan ketika berhutang.

    Rasulullah s.a.w bersabda, “Yang terbaik dari kalangan kamu ialah mereka yang membayar hutang dengan lebih baik.” (Riwayat Al-Bukhari)

  7. Kerana tujuan mengharuskan hutang ialah untuk membantu golongan yang memerlukan, Islam juga mengharuskan peminjam menghalalkan pinjaman yang diberi sebagai satu bentuk sedekah (Al-Baqarah: 280).

    Huzaifah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada seorang telah mati ditanya: Apa yang telah kau kata (atau lakukan) [semasa hidup]? Dia berkata: Aku dahulu seorang peniaga dan selalu member masa kepada mereka yang kaya untuk melunaskan hutang dan menghalalkan sebahagian dari hutang yang diberi kepada mereka yang miskin. Atas sebab itu, dosa-dosa dia diampunkan.” (Riwayat Al-Bukhari)

  8. Walau pun Islam mengharuskan berhutang (Al-Baqarah : 80), Muslim perlu ketahui bahawa ia sesuatu yang tidak digalakkan dan disukai kerana mengelakkan dari apa yang diriwayatkan dalam hadis-hadis;

    Abu Hurairah meriwayatkan, “Pernah jenazah-jenazah dibawa kepada Nabi s.a.w dan beliau bertanya: Adakah dia ada meninggalkan sesuatu untuk membayar hutang? Jika kita memberitahu beliau bahawa jenazah itu ada meninggalkan sesuatu, beliau akan mensolatkan jenazah itu. Jika dikatakan tiada, beliau akan bersabda: Solatlah ke atas saudara kamu. Apabila Allah mengurniakan banyak harta rampasan perang, beliau bersabda: Aku lebih dekat kepada seorang Mukmin dari dirinya sendiri. Oleh itu, sesiapa yang mati dan mempunyai hutang, aku akan bertanggungjawab melunaskannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

    Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah akan mengampunkan syahid segala dosanya kecuali hutang [yang  tidak dibayar].” (Riwayat Muslim)