Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 4 Disember 2020, di sini.
“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan salat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 177)
“Hai orang-orang yang beriman, penuhilah perjanjian-perjanjian itu.” (Al-Maidah: 1)
“….dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Al-Isra’: 34)
Pelajaran
- Ayat-ayat ini mengajar satu ajaran penting dalam Islam, iaitu kemuliaan sifat menunaikan janji.
- Kepentingan ini dapat dilihat dari hakikat bahawa, a) Allah taala guna kata perbuatan perintah (fi`il amr) untuk memberitahu tentang perkara ini (Al-Maidah: 1, Al-Isra’: 34), dan b) Allah taala meletakkan sifat menunaikan janji dalam senarai sifat Muslim yang soleh, bersama dengan kewajiban utama dalam agama seperti berakidah yang betul, menunaikan solat dan membayar zakat (Al-Baqarah: 80).
- Para ulama bersepakat menunaikan janji adalah wajib dan tidak menunaikan janji dengan sengaja adalah berdosa. Samada dosa itu kecil atau besar dosa, itu bergantung pada besar atau kecil janji yang dibuat.
- Islam anggap tidak menunaikan janji satu perbuatan khianat – sifat keji yang dikaitan dengan golongan munafik sebagaimana disebut dalam hadis;
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) - Termasuk dalam menunaikan janji ialah menunaikan apa jua kontrak yang dipersetujui, samada kontrak jual beli atau perkhidmatan. Oleh itu, haram bagi Muslim melakukan “cut corners” kerana ia satu bentuk penipuan dan khianat terhadap janji (Al-Mutaffifin: 1-3).
- Hukum ini berlaku bagi peniaga, pembeli, pemberi khidmat, pelanggan, suami-isteri, ibu bapa-anak-anak, majikan dan pekerja.
- Sedia maklum bahawa Melayu dan Islam adalah identikal di Singapura. Oleh itu, tidak harus ada frasa “janji Melayu” kerana ia adalah aib bagi kaum Melayu kerana bercanggah dengan ajaran Islam, agama utama orang Melayu. Namun menghentikan penggunaan frasa popular ini hanya akan berkesan melalui tingkah laku masyarakat Melayu yang sentiasa amanah dengan janji.
- Menunaikan janji adalah penting kerana ia asas bagi sifat profesional dalam apa jua pelibatan seorang Muslim. Dengan sifat ini, Muslim bebas dari sifat “curi tulang” dan ponteng kerja, sentiasa tepati masa (punctual) dan tidak bertangguh (procrastination). Semua ini juga asas bagi khidmat pelanggan yang baik bagi badan-badan Islam yang diurus oleh Muslim.