Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 5 Februari 2021, di sini.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.” (Al-Maidah: 100)
Pelajaran
- Sebab turun ayat ini ialah terdapat individu yang bertanya samada boleh atau tidak menggunakan wang haram (penjualan arak) untuk dibelanjakan di jalan Allah. Nabi s.a.w menjawab bahawa Allah taala tidak menerima kecuali yang baik. Allah taala turunkan ayat ini bagi membenarkan jawapan Nabi s.a.w.
- Apa yang dinyatakan oleh ayat ini merujuk kepada pahala bagi individu yang menggunakan wang haram untuk kebaikan, iaitu dia tidak mendapat pahala dari Allah taala.
- Namun, hal ini menimbul satu persoalan lain, iaitu apa yang hendak dibuat dengan harta berkenaan? Jika dibuang atau abaikan, harta itu akan terbazir, sebagai contoh ialah wang dari judi dan riba.
- Berhadapan dengan masalah praktikal ini, ulama berpendapat harta haram hendaklah diberikan kepada Baitul Mal. Tujuannya ialah agar harta itu boleh digunakan untuk maslahat umum dan tidak dibiar terbengkalai berdasarkan kaedah fikih yang mengharuskan menanggung mudarat kecil bagi merealisasikan maslahat yang lebih besar (kebajikan masyarakat).
- Dalam konteks Singapura, wang haram boleh diberikan ke Baitul Mal i.e. MUIS. Hal ini ada difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS. Namun, boleh juga diberi langsung ke badan-badan yang melakukan kerja-kerja kemasyarakatan kerana melihat pada tujuan asal fatwa itu.
- Ulama berbeza pendapat akan perincian bagi perkara yang boleh digunakan dari harta haram ini i.e. adakah boleh diguna untuk bina masjid atau memberi makan orang miskin? Hal ini terserah pada budi bicara penguasa agama.
- Pelajaran lain dari ayat ini juga ialah prinsip umum dalam agama, iaitu apa yang buruk tetap buruk, walau ianya banyak atau disukai ramai.
- Namun perlu difahami bahawa bukan semua yang dihukumkan buruk disepakati oleh para ulama. Buruk yang terdapat perbezaan pendapat di sisi ulama jatuh dalam masalah khilafiyah yang wajib ke atas Muslim untuk bersikap hormat menghormati terhadap mereka yang berbeza pendapat.
- Ada juga buruk yang kontekstual (adat/kelaziman). Ia juga tidak sama statusnya dengan buruk yang qat’ii (pasti) dalam agama. Namun, ia tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana `urf (norma dan adat) diakui oleh syariat sebagai aturan yang diterimapakai dan tidak salah untuk dijadikan aturan umum i.e. berambut pendek bagi budak lelaki sebagai aturan sekolah, walau pun tiada larangan dalam agama untuk berambut panjang.
- Ayat ini juga boleh difahami sebagai anjuran untuk bina keupayaan bagi membeza yang baik dan buruk dalam diri kerana tanpa keupayaan itu Muslim tidak akan tahu apa yang buruk dan baik dan buat pilihan yang betul.
- Bagi tambahan ilmu, sila rujuk
a) Beberapa Isu Bekaitan Harta Haram: Bina Masjid, di http://www.zaharuddin.net/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=198
b) Memulangkan Wang Sumbangan Kerana Ia Hasil Judi, di http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/963-memulangkan-wang-sumbangan-kerana-ia-hasil-judi-.html
c) Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitul Mal dan Institusi Islam Yang lain, di http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyaluran-harta-tidak-patuh-syariah-ke-baitulmal-dan-institusi-islam-lain
d) Badan Islam Menerima Sumbangan Dari Sumber Yang Haram, di https://haniff.sg/kemusykilan-agama/badan-islam-menerima-sumbangan-dari-sumber-yang-haram/