Pesanan Dari Al-Quran #18 – Menghadapi Golongan Yang Negatif

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 19 Februari 2021, di sini. 

“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).” (Al-An`am: 68)

“Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.” (Al-An`am: 69)

Pelajaran

  1. Sebab turun ayat ini ialah sebahagian orang musyrik duduk bersama Nabi s.a.w. Mereka lalu mengajuk, mengejek dan mempersenda ajaran Nabi s.a.w.

    Allah taala turunkan ayat-ayat ini bagi mengajar Nabi s.a.w bagaimana menangani mereka.

  2. Golongan ini boleh diumpamakan seperti golongan yang suka bersikap negatif terhadap seseorang atas sebab-sebab peribadi atau perbezaan fahaman.

    Oleh itu, ia relevan bagi menghadapi golongan yang selalu negatif terhadap usaha baik seorang Muslim.

  3. Allah taala tidak perintah Nabi s.a.w untuk tinggalkan atau jauhi mereka langsung.

    Allah taala hanya anjurkan untuk menjauhi mereka ketika mereka berperangai negatif.

  4. Ayat ini juga memberi maksud bukan semua percakapan golongan ini perlu dinilai sebagai tidak bagus.

    Sebab itu jangan tolak mereka dan jangan asingkan mereka sama sekali dalam pergaulan kerana kalau mereka ditolak dan dijauhi sama sekali, bagaimana dakwah akan sampai kepada mereka?

  5. Apabila berada dalam situai yang tidak boleh elak dari sikap mereka atau mereka yang datang ke majlis seorang Muslim (lihat Al-An`am: :69), biarkan mereka dan serahkan urusan mereka kepada Tuhan dahulu.

    Mereka jangan terus ditolak dan dijauhi kerana melakukan sedemikian adalah satu prejudis kecuali setelah mereka bersikap negatif.

  6. Walau pun golongan ini degil, tapi Allah taala tetap kata “tetapi menjadi peringatan, moga mereka bertaqwa.” (Al-An`am: 69), iatu mereka masih boleh memiliki takwa.

    Sebab itu tidak boleh jauhi mereka 100 peratus.

  7. Oleh kerana mereka juga sasaran dakwah dan tidak selalu negatif, maka amat penting untuk fikirkan, bagaimana boleh berbicara dengan mereka tanpa mencetus sikap negatif atau defensif.

    Ini memerlukan ilmu dan kemahiran komunikasi yang baik.

    Oleh itu, perlu faham serba sedikit ilmu ini bagi memastikan keberkesanan dalam berinteraksi dengan manusia dalam berdakwah.

  8. Harus bagi seorang Muslim jika lihat kemunkaran dan tahu orang berkenaan tidak terkesan dengan teguran, untuk abaikan dan tinggalkan sahaja dia dan perbuatannya dahulu.

    Namun hendaklah benci dalam hati.