Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 5 Mac 2021, di sini.
“….Nabi Harun berkata: Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.” (Al-A`raf: 150)
“Nabi Harun menjawab: Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!” (Taha: 94)
Pelajaran
- Ayat-ayat ini menceritakan kata-kata Nabi Harun a.s. kepada Nabi Musa a.s. Cerita disebalik kata-kata ini ialah Nabi Musa a.s memarahi Nabi Harun a.s. apabila mengetahui bahawa Bani Israil menyembah anak patung lembu ketika dia berpergian bersama beberapa pengikutnya untuk beruzlah selama 40 hari bagi menerima wahyu dari Alah taala.
Sebelum pergi, Nabi Musa a.s telah mewakilkan tugas membimbing Bani Israil kepada Nabi Harun a.s. Nabi Musa a.s. marah kepada Nabi Harus a.s. kerana penyelewengan Bani Israil kerana anggap beliau telah gagal tunaikan amanah yang diberi. - Nabi Harun a.s. menjelaskan bahawa beliau memilih membiarkan Bani Israil terus menyembah berhala setelah berusaha membetulkan mereka sedaya mungkin kerana ancaman terhadap nyawanya (Al-A`raf: 150) dan mengelakkan konflik sesama Bani Israil (Taha: 94).
Beliau bertanggapan adalah lebih baik menunggu Nabi Musa a.s. kembali kerana Bani Israil lebih taat kepada beliau dan dengan itu mengelak dari memburukkan keadaan. - Dalam insiden ini, Nabi Harus a.s. memilih untuk mengelak dari berkonfrontasi dalam usaha dakwahnya walaupun di pihak yang benar dan menghadapi satu penyelewengan yang serius di sisi agama, iaitu syirik kepada Allah taala dengan menyembah patung anak lembu.
Beliau bertanggapan terus berkonfrontasi untuk membetulkan keadaan berisiko untuk mencetus konflik dalaman antara Bani Israil.
Konflik ini pula boleh menyebabkan pertumpahan darah kerana pihak yang menyeleweng sanggup membuat ancaman bunuh ke atas Nabi Harun a.s. yang pastinya juga melibatkan mereka yang setia kepada beliau dan Nabi Musa a.s..
Hal ini dinilai sebagai mudarat yang lebih besar berbanding menangguhkan usaha membaiki keadaan hingga kepulangan Nabi Musa a.s. - Pastinya tindakan Nabi Harus a.s. bukan kerana beliau seorang pengecut atau takut mati kerana sikap sedemikian tidak sesuai bagi seorang nabi.
Maka sebab yang wajar ialah membiarkan mudarat yang berlaku bagi mengelak mudarat yang lebih sementara menanti masa yang sesuai untuk mengubah keadaan. - Perhatikan! Nabi Musa a.s. tidak mengkritik kata-kata Nabi Harun a.s. setelah mendengar penjelasannya dan Allah taala juga tidak menyalahkan Nabi Harun a.s..
Jika tindakan Nabi Harun a.s. salah, Allah taala pasti akan tegur dan perbetulkan kerana Allah taala tidak akan membiarkan kesilapan para anbiya’ tanpa teguran supaya tidak timbul salah faham di kalangan manusia. - Ayat-ayat di atas adalah dalil bagi prinsip,
a) “dibenarkan menanggung mudarat yang kecil atau ringan, bagi mengelak mudarat yang besar atau berat”
b) harus menangguhkan usaha menegak kebenaran dan cegah kemungkaran ke satu waktu yang sesuai jika ia lebih bermanfaat atau dapat elak banyak mudarat. - Tindakan Nabi Harun a.s. juga mengajar bahawa berkonfrontasi dengan kebatilan bukan satu-satunya pilihan dalam berdakwah dan pertimbangan untuk berkonfrontasi haruslah membabitkan pertimbangan antara mudarat dan manfaat, bukan atas dasar semangat atau emosi semata-mata.
Perhatikan! Allah taala tidak mewajibkan Nabi Musa a.s. untuk melakukan konfrontasi keras (jihad bersenjata) melawan Firaun bagi membebaskan Bani Israil dari kezaliman. Sebaliknya, Allah taala memerintahkan Nabi Musa a.s. dan Bani Israil meninggalkan Mesir untuk kembali ke Palestin, tempat asal mereka.
Firaun dimusnahkan kerana dia mengejar Nabi Musa a.s. dan Bani Israil untuk menghalang mereka dari pergi. - Apabila seseorang memilih untuk tidak berkonfrontasi dengan kebatilan atau membiarkannya untuk sementara waktu, itu bukan semestinya bukti bahawa dia adalah pengecut atau telah berkompromi.
Tidak salah untuk tidak bersetuju dengan pilihan dia kerana mungkin dia silap, tapi ketidaksetujuan itu tidak perlu menatijahkan tuduhan sedemikian atau serangan peribadi.