Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 7 Mei 2021, di sini.
“Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.” (Al-A`araf: 163)
“Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertakwa.” (Al-A`araf: 164)
“Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).” (Al-A`araf: 165)
“Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina.” (Al-A`araf: 166)
Pelajaran
- Ayat-ayat ini menceritakan mengenai kesalahan kaum Yahudi yang melanggar perintah Allah taala berkaitan hari Sabtu, iaitu perintah untuk menumpukan pada beribadah pada hari berkenaan dan tidak melakukan apa jua aktiviti keduniaan lain seperti berniaga dan bercucuk tanam.
Golongan yang inkar ini telah membuat helah iaitu memasang perangkap ikan pada petang Jumaat kerana tidak mahu kerugian dari ikan-ikan yang banyak di laut pada ketika hari Sabtu yang mana mereka dilarang untuk melakukan aktiviti tangkapan.
Golongan ini ditegur tapi tetap berdegil. Mereka kemudiannya disumpah menjadi “kera yang hina”.
Kisah ini juga ada diceritakan dalam surah Al-Baqarah: 265. - Ramai Muslim mempunyai salah faham bahawa pelanggaran kisah di atas ini berlaku ke atas semua Yahudi sehingga ia dijadikan hujah bahawa semua kaum Yahudi sememangnya degil dan licik.
Ada pula yang kemudiannya menjadikan ayat ini sebagai alasan untuk menghina bangsa Yahudi hari ini sebagai keturunan dari “kera”. - Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa insiden pelanggaran perintah hari Sabtu bukan merujuk kepada semua Yahudi.
Ayat Al-A`araf: 63 jelas menujukkan ia adalah insiden yang berlaku di sebuah kota yang terletak berdekatan dengan laut.
Ayat-ayat Al-A`araf: 63-64 pula menunjukkan bahawa bukan semua penduduk kota itu melakukan pelanggaran yang sama.
Ada di antara mereka yang tidak melakukannya, bahkan berusaha untuk menasihat dan mencegah golongan yang ingkar.
Oleh itu, sumpah meenjadi “kera” hanya ditujukan kepada yang ingkar, bukan mereka yang taat di kota itu dan bukan Yahudi di tempat-tempat lain. - Hal ini juga menyokong fahaman yang menolak menyamakan semua kaum yang jahat dan degil.
Sebaliknya menganjurkan umat Islam agar bersikap saksama terhadap semua pemeluk agama lain, iaitu tidak melihat mereka dengan kacamata prejudis yang songsang dan dilarang agama. - Membuat tanggapan bahawa Yahudi hari ini berasal dari “kera” pula adalah satu penghinaan berbau perkauman yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana Muslim.