Pesanan Dari Al-Quran #24 – Rahmat Bagi Golongan Berkeperluan Istimewa

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 21 Mei 2021, di sini.

“Tidak ada salahnya bagi orang buta dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki dia berlaku demikian) dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri atau di rumah bapa kamu atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa) atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa) atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu) atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu) atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.” (Al-Nur: 61)

Pelajaran

  1. Latarbelakang ayat ini ialah amalan tradisi masyarakat Muslim di Madinah yang sentiasa membuka pintu rumah mereka bagi sesiapa yang berhajat kepada makanan terutama golongan yang lemah, tidak berupaya atau istimewa.

    Allah taala turunkan ayat ini sebagai pujian dan pengakuan bahawa ia adalah sesuatu yang baik dan digalakkan.

  2. Maka, sesiapa yang lapar di Madinah di masa itu boleh singgah ke rumah sesiapa sahaja untuk meminta makanan dan hajat mereka akan dipenuhi.

  3. Antara golongan yang disebut dalam ayat ini ialah orang buta, orang tempang dan orang sakit. Hal ini menunjukkan sikap perihatin Islam terhadap golongan yang pada hari ini dikenali seacara sebagai OKU (Orang Kurang Upaya).

    Walau pun ayat ini hanya menyebut orang buta, tempang dan sakit, tapi ia boleh diluaskan kepada semua jenis OKU kerana umumya mereka berkongsi sifat yang sama – kurang upaya fisikal yang memerlukan sokongan orang lain.

  4. Walau pun ayat ini membicarakan soal bantuan makanan, tapi ia boleh diluaskan kepada segala bentuk bantuan kerana asasnya ialah anjuran untuk perihatin dan simpati terhadap OKU.

  5. Berdasarkan ayat dan kisah disebaliknya, golongan OKU seharusnya golongan yang sentiasa mendapat pembelaan oleh Muslim.

    Tidak seharusnya golongan ini menjadi golongan terpinggir dan terlantar kerana keadaan fisikal mereka dalam masyarakat Muslim kerana ia bercanggah dengan semangat yang dianjurkan dalam ayat ini dan konsep “Islam adalah rahmat bagi semua” (lihat Al-Anbiya’:  107).

    Hal ini bukan sahaja dalam aspek kebajikan mereka, tapi juga dalam pendidikan dan bimbingan agama untuk mereka.

    Institusi agama masyakarat Muslim harus lebih berusaha untuk menyedia ruang dan peluang bagi OKU (buta, tuli, bermasalah mental) untuk belajar agama dan beribadah dengan selesa, sebagaimana insan biasa.

  6. Ayat di atas juga adalah dalil untuk usaha seperti khidmat dapur makanan percuma bagi golongan yang memerlukan kerana khidmat sebegini selari dengan semangat ayat di atas dan lebih praktikal dalam konteks masa kini, berbanding rumah terbuka untuk semua orang.