Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 4 Jun 2021, di sini.
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Al Imran: 134)
“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nur: 22)
“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Al-Shura: 40)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Taghabun: 14)
Pelajaran
- Kesemua ayat-ayat di atas adalah dalil bahawa memaafkan adalah satu sifat mulia yang sangat dianjurkan oleh Islam ke atas Muslim terhadap sesiapa yang telah melakukan kesilapan, kejahatan dan zalim terhadap dirinya.
- Keutamaan dan kepentingan sifat memaafkan ini dapat dilihat dari,
a) ia dijadikan salah satu sifat hamba Allah taala yang terpuji di sisiNya (Al Imran: 134)
b) dijanjikan keampunan dari Allah taala (Al-Nur: 22 dan Al-Taghabun: 14) dan balasan besar yang lain (Al-Shura: 40). - Al-Quran mengguna istilah berbeza bagi sifat memaafkan. Dua yang terpenting ialah,
a) al-`afw (Al Imran: 134, Al-Nur: 22, Al-Taghabun: 14)
b) al-safh (Al-Nur: 22, Al-Shura: 40, Al-Taghabun:14). - Al-`Afw bermaksud memaafkan sahaja (Al-Taghabun: 14), manakala al-safh bermaksud memaafkan dan melupakan (Al-Taghabun: 14).
Al-`Afw adalam minimum. Manakala al-safh adalah darjat lebih tinggi dan lebih baik. - Namun memaafkan (al-`afw dan al-safh) bukan satu yang wajib. Hal ini dapat dlihat dari Al-Shura: 40 yang mana Allah membenarkan sesiapa yang dizalimi untuk menuntut balasan yang setimpal dan menggunakan frasa pujukan sahaja untuk memaafkan.
- Dalil lain bahawa memaafkan bukan satu perkara yang wajib ialah,
a) Allah taala sendiri yang bersifat Al-Ghafur (Maha Pengampun) dan Al-Rahim (Maha Pengasih dalam Al-Nur: 22 tidak memaafkan dosa semua hambaNya (Al Imran: 129, Al-Maidah: 18, Al-Fath: 14, Al-Nisa’: 48)
b) Nabi s.a.w memaafkan ramai Arab Quraisy yang memusuhi dia setelah berjaya menguasai kota Mekah tetapi memerintah beberapa individu dibunuh atas kesalahan mereka
c) kisah tentang golongan muflis di Akhirat, iaitu mereka yang habis pahalanya kerana dibahagi-bahagi kepada mereka yang dianiaya oleh dia yang disebut dalam hadis,
“Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia. Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)
Jika memaafkan itu wajib, sepatutnya ada celaan bagi mereka yang menuntut di Akhirat. - Hal ini menjadikan Islam agama yang realistik. Adalah manusiawi untuk seseorang terluka oleh kejahatan orang lain dan mereka ini juga perlu masa untuk memaafkan dan lebih banyak masa untuk melupakan pula.
- Manusia berbeza-beza. Bukan semua boleh mudah memaafkan, atau melupakan.
- Kejahatan juga berbeza-beza. Bukan semua mudah untuk dimaafkan begitu sahaja.
Ada insan yang dapat memaafkan 100 kejahatan, tapi mungkin ada satu kejahatan yang sangat berat baginya hingga tidak mudah untuk dia cepat memaafkan apatah lagi melupakan. - Oleh itu, tidak mengapa dan tidak berdosa kalau seorang Muslim tidak atau belum mahu memaafkan kesalahan seseorang, jika dia belum bersedia.
Tidak mengapa juga jika dia berpada dengan memaafkan sahaja, tanpa melupakan.