Pesanan Dari Al-Quran #26 – Jangan Hentikan Bantuan Kepada Seseorang Kerana Kesilapan/Dosa Yang Dilakukan

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 18 Jun 2021, di sini.

“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nur: 22)

Pelajaran

  1. Ayat in diturunkan kerana berkait dengan kisah Abu Bakar r.a. dan kerabatnya bernama Mistah.

    Mistah adalah sepupu Abu Bakar r.a.. Beliau seorang yang susah. Abu bakar r.a. telah menaja sara hidupnya.

    Apabila Mistah terlibat dalam menyebarkan fitnah bahawa Aisyah r.a, isteri Rasulullah s.a.w dan anak Abu Bakar r.a., telah melakukan perbuatan sumbang dengan seorang lelaki lain, Abu Bakar r.a. bertekad untuk menghentikan tajaan sara hidup buat Mistah kerana marah.

    Allah taala turunkan ayat ini menasihati Abu Bakar r.a. dan sebagai pelajaran bagi Muslim agar memaafkan dan meneruskan kebaikan yang telah dibuat kerana itu lebih baik dan disukai olehNya.

  2. Ayat ini menjadi sandaran dan dalil bagi amalan menaja golongan yang memerlukan seperti menaja kos kehidupan anak yatim, pendidikan seorang pelajar dan rawatan seorang pesakit dalam tempoh tertentu.

    Ia sama seperti sedekah tapi dalam bentuk yang lebih terfokus pada individu dan tempoh tertentu, bukan rambang.

    Melakukan ini kepada keluarga dan kerabat terdekat seperti adik beradik, anak saudara, sepupu dan pakcik adalah lebih utama dari mereka yang bukan keluarga dan kerabat.

  3. Muslim dianjurkan untuk meneruskan kebaikan kepada seseorang, walau pun jika orang itu telah melakukan kesilapan terhadapnya.

  4. Maksiat yang dilakukan oleh seseorang tidak semestinya melarang Muslim dari berbuat baik kepadanya.

    Melakukan kebaikan terhadap pelaku salah dan maksiat tetap mendapat ganjaran pahala dan tidak mesti dilihat sebagai bersyubahat atau reda dengan kesalahan dan maksiat yang dilakukan.

  5. Dosa yang dilakukan oleh seseorang tidak akan terpikul ke bahu Muslim yang memberi bantuan kepada kehidupannya selama mana si Muslim tidak terlibat secara langsung dengan maksiat itu atau reda dengannya.

    Contohnya ialah dosa seorang kaki arak tidak akan terpikul ke bahu Muslim yang memberi bantuan sara hidup kepadanya selama mana Muslim itu tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti minum arak dan membenci perkara itu dalam hati.

  6. Islam menganjurkan amalan berbuat baik tanpa syarat (unconditional charity), iaitu berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang layak tanpa kira samada yang dibantu itu Muslim atau bukan Muslim dan soleh atau tidak.

    Dengan kata lain, tidak perlu diskriminatif dalam melakukan kebaikan.

  7. Apabila seseorang itu telah bertekad melakukan sesuatu, tetapi mendapati pilihan yang lebih baik, yang terbaik ialah dia tidak meneruskan tekad itu dan memilih pilihan yang lebih baik.

    Hal ini seperti Abu Bakar r.a. yang telah bertekad untuk menghentikan bantuan kepada Mistah lalu membatalkan tekad itu apabila Allah taala menunjukkan pilihan yang lebih baik.

  8. Ayat ini juga salah satu dalil bagi mengutamakan memaafkan orang yang telah melakukan kesilapan dan memberi dia peluang untuk berubah dan bertaubat.

  9. Setiap manusia pasti berdosa dan membuat silap. Maka setiap manusia juga akan pasti memerlukan keampunan dari Allah taala dan kemaafan dari orang lain.

    Jalan untuk memudahkan Allah taala mengampunkan dosa dan manusia memaafkan kesilapan kita ialah dengan mendidik diri untuk mudah untuk memaafkan orang lain sebagaimana yang difahami dari hujung ayat di atas.