Pesanan Dari Al-Quran #27 – Kuat dan Berkuasa Sahaja Tidak Memadai

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 2 Julai 2021, di sini.

“….sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kuasa (Al-`Aziz), lagi Maha Bijaksana (Al-Hakim).” (Al Imran: 62)

“Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa (Al-`Aziz), lagi Maha Mengetahui (Al-`Alim).” (Ghafir: 2)

“Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya; Yang Maha Kuasa (Al-`Aziz), lagi Yang sentiasa Mengampuni (Al-Ghaffar) (dosa hamba-hambaNya).” (Sod: 66)

“Wahai Nabi! Tetaplah bertakwa kepada Allah dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui (Al-`Alim), lagi Maha Bijaksana (Al-Hakim).” (Al-Ahzab: 1)

Pelajaran

  1. Salah satu nama Allah taala yang mulia ialah Al-`Aziz.

    Ia sering diertikan dengan Yang Maha Kuasa. Namun ia juga memberi makna gagah dan perkasa.

    Ertinya Al-`Aziz membawa pengertian kekuatan, baik dalam bentuk kuasa (bukan pada tubuh) atau kegagahan dan keperkasaan tubuh (fisikal).

  2. Nama ini sering diulang-ulang di hujung banyak ayat-ayat Al-Quran. Namun, ia sering diulang bersama dengan sifat Allah taala yang lain seperti dalam tiga ayat yang disebutkan di atas.

  3. Gandingan antara nama-nama Allah taala yang lain ini mempunyai makna yang tersirat kerana Allah taala tidak memilih gandingan ini secara rambang.

    Segala susunan dan struktur yang wujud dalam ayat Al-Quran pasti mempunyai tujuan yang perlu direnung dan difikirkan bagi menggali hikmah dan pelajaran darinya kerana mustahil bagi Allah taala melakukan sesuatu tanpa tujuan dan hikmah disebaliknya.

  4. Tiga nama Allah taala yang lain yang selalu digandingkan dengan namaNya Al-`Aziz (Maha Kuasa), ialah; Al-Hakim (Maha Bijiksana), Al-`Alim (Maha Mengetahui) dan Al-Ghaffar (Maha Pengampun).

    Gandingan ini semua memberi makna pada konsep kuasa dan gagah di sisi Allah taala dengan tujuan untuk menjadi pelajaran bagi manusia.

  5. Kuasa dan perkasa adalah sesuatu yang bernilai positif dalam Islam. Jika tidak, Allah taala tidak akan menjadikan ia salah satu dari namaNya yang mulia.

    Namun menggandingkannya dengan nama-nama yang lain juga memberitahu bahawa kuasa memerlukan nilai lain bagi melengkapkannya atau menjadi pengimbang baginya.

    Muslim tidak seharusnya memandang negatif terhadap kuasa dan berprejudis terhadap semua golongan yang berkuasa, iaitu golongan penindas seperti yang terdapat dalam ideologi moden tertentu.

  6. Menggandingkan kuasa dengan kebijaksanaan (Al Imran: 62) bermakna yang berkuasa perlulah juga bijaksana dalam tingkah laku kerana dengan kuasa sahaja tanpa kebijaksanaan, seseorang boleh menyebabkan banyak kemudaratan, walaupun dia bertujuan baik, seperti menegakkan keadilan atau cegah kemungkaran.

  7. Seorang yang berkuasa atau ingin berkuasa perlu juga berilmu (Ghafir: 2).

    Tanpa ilmu yang benar, seorang yang berkuasa tidak akan tahu membezakan antara yang baik dan salah, kebenaran dan kebatilan, keadilan dan kezaliman, halal dan haram, pertimbangan antara maslahat dan mudarat dan sebagainya.

    Tanpa ilmu yang benar, kuasa ditangan berisiko untuk digunakan untuk tujuan nafsu dan kepentingan diri sendiri sahaja sebagaimana yang dinyatakan oleh kalangan bijak pandai, “power corrupts and absolute power corrupts absolutely”, yang bermaksud kuasa sentiasa condong untuk membawa kepada penyelewengan dan kuasa yang mutlak pasti membawa kepada penyelewengan.

  8. Kuasa juga perlu diimbangi dengan sikap pemaaf.

    Jika tidak, seorang yang berkuasa akan condong untuk sentiasa bersikap keras kepada semua pelaku salah.

    Ini kemudiannya mencorak dirinya menjadi seorang yang tidak toleran dengan kesilapan atau ketidaksempurnaan sedangkan kededuanya itu adalah perkara yang tabi`ii dalam kehidupan manusia.

  9. Sebagaimana konsep kuasa, seorang yang gagah atau ingin mempunyai tubuh badan yang gagah pun perlulah mengimbanginya dengan ilmu, kebijaksanaan dan sifat pemaaf (toleransi).

    Muslim yang baik bukan hanya perihatin akan bentuk tubuh badannya sahaja, tapi juga pembangunan intelek dan sifat-sifat terpuji dalam diri.

  10. Kuasa memang memudahkan untuk mendapat ilmu, kebijaksanaan dan membina sifat pemaaf (toleransi).

    Namun jalan yang lebih baik bagi seseorang itu ialah untuk memiliki ilmu yang mantap, membangun kebijaksanaan dalam diri dan membiasakan sifat pemaaf (toleransi) sebelum berkuasa.

  11. Kuasa boleh diperolehi dengan pelbagai cara seperti kekuatan dan keturunan.

    Yang ideal ialah memperoleh kuasa dari manusia kerana ilmu, kebijaksanaan dan sifat pemaaf (toleransi) yang ada pada diri kita.

  12. Apabila ketiga-tiga nama Al-A`Aziz (Maha Kuasa), Al-Hakim (Maha Bijaksana) dan Al-`Alim (Maha Mengetahui) digandingkan, ia dengan sendirinya merangkumi gandingan nama Al-`Alim dan Al-Hakim dalam Al-Ahzab: 3.

    Ini pula memberi pelajaran bahawa ilmu sahaja tidak memadai. Ia perlu digandingkan dengan kebijaksanaan.

    Kededua ini tidak mesti bersama. Sebab itu ada orang yang tinggi ilmu tetapi tidak bijaksana dalam mengguna ilmunya.

    Kebijaksanaan dalam berilmu bermaksud keupayaan untuk menterjemahkan ilmu dari teori ke amali sesuai dengan keadaan yang berbeza-beza hingga menatijahkan maslahat yang banyak dari mudarat dan objektif syariah yang lebih penting (maqasid al-shari`ah).

    Ilmu yang benar boleh sahaja menatijahkan mudarat di peringkat pelaksanaannya seperti menyampaikan ilmu tanpa ambil kira kemudaratan yang boleh berlaku, menyebabkan manusia menjadi lebih benci kebenaran, menyebabkan kesusahaan dari menyelesaikan masalah dan menimbulkan sengketa dalam masyarakat.