Pesanan Dari Al-Quran #3 – Berlaku Adil Kepada Semua

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 3 Julai 2020, di sini. Muat turun versi pdf di sini.

“Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” (Al Imran: 75)

Pelajaran

  1. Ayat ini diturunkan kerana insiden perselisihan antara seorang sahabat Nabi s.a.w dengan orang Yahudi yang gagal menunaikan perjanjian urusniaga antara mereka. Sahabat itu mengadu kepada Nabi s.a.w sikap lelaki Yahudi itu, tapi beliau tiada bukti. Nabi s.a.w memerintahkan Yahudi itu bersumpah, lalu membebaskan dia dari tuduhan.

  2. Ayat ini mengajar akan perlu memenuhi proses yang betul dan ikut undang-undang  (rule of law) untuk mencapai keadilan, walaupun jika berpihak kepada bukan Muslim atau individu yang jahat dan menipu.

  3. Islam anjurkan hak dan dan keadilan ditunaikan tanpa kira agama.

  4. Setelah melalui proses yang betul dan mengikut undang-undang, seseorang tetap perlu ditunaikan haknya, walaupun pada hakikatnya dia berbohong.

  5. Tidak boleh ambil harta/hak bukan Muslim tanpa cara yang betul, walau pun dalam situasi perang (lihat Al-Maidah: 2 dan 8). Status seseorang sebagai bukan Muslim bukan alasan bagi melakukan diskriminasi dan bersikap berpihak kepada Muslim sahaja.

  6. Keindahan Islam dilihat dan diingati selalu melalui kisah-kisah seperti ini, bukan melalui tipu helah yang licik. Salahudin Al-Ayyubi yang menakluk kembali Baitul Maqdis dari tentera Salib diingati kerana sikap pemaaf beliau terhadap orang-orang Kristian yang dikalahkan, bukan sebagai pembantai meraka.

  7. Islam amat mengambil berat sifat amanah dan menunaikan janji. Ia adalah tanda kesempurnaan iman. Hal ini seharusnya menjadi dasar profesionalisme dan khidmat cemerlang seorang Muslim apabila menunaikan tanggungjawab, baik kepada keluarga, majikan atau dalam urusan dakwah. Namun, menunaikan janji kepada Allah taala lebih utama, iaitu janji di alam ruh untuk berubudiyah kepada Allah taala (lihat Al-A`raf: 172-3)

  8. Perhatikan bahawa ayat ini membezakan satu jenis Yahudi dari yang lain. Oleh itu, jangan berprejudis dan melakukan generalisasi yang salah. Ini juga mengajar bahawa hukum hendaklah diberi sesuai dengan keadaan dan perkara yang dihadapi. Ini juga menjadi dasar bahawa Al-Quran akur pendekatan yang membeza-beza (differentiated approach) dalam menilai sesuatu perkara.