Pesanan Dari Al-Quran #34 – Memilih Hidup Dari Mati Di Jalan Allah Bukan Mesti Tercela

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 15 Oktober 2021, di sini.

“……Harun berkata: Hai anak ibuku (Musa), sesungguhnya kaum ini telah menganggapku lemah dan hampir-hampir mereka membunuhku, sebab itu janganlah kamu menjadikan musuh-musuh gembira melihatku, dan janganlah kamu masukkan aku ke dalam golongan orang-orang yang zalim”.” (Al-A`raf: 150)

Pelajaran

  1. Ayat ini melaporkan respon Nabi Harun a.s kepada Nabi Musa a.s yang memarahinya dengan keras dan kasar setelah mendapati Bani Israil menyembah patung anak lembu pada tempoh Nabi Musa a.s bersama beberapa pengikutnya pergi bermunajat dengan Tuhan selama 40 hari (Al-A`raf:142)

  2. Nabi Musa a.s bertanya kepada Nabi Harun a.s sebab dia membiarkan Bani Israil melakukan sedemikian di hadapan matanya, seolah-olah Nabi Musa a.s menuduh Nabi Harun a.s tidak melakukan apa-apa.

  3. Nabi Harun a.s memberitahu bahawa dia telah cuba menasihati Bani Israil agar tidak tertipu oleh dakyah Samiri yang mengajak mereka menyembah patung anak lembu. Namun kebanyakan dari mereka tidak mahu mendengar dan degil sehingga mereka mengancam untuk mengguna kekerasan dan membunuh Nabi Harun a.s. dan mereka yang mengikutinya jika usaha mencegah mereka diteruskan.

  4. Nabi Harun a.s memutuskan untuk membiarkan keadaan dan menunggu Nabi Musa a.s pulang dari uzlah bagi memelihara nyawa dia dan mengelakkan pertumpahan darah sesama Bani Israil yang dianggap mudarat lebih besar yang perlu dielakkan.

  5. Dalam hal ini, Nabi Harun a.s memilih untuk hidup, dari mengorbankan nyawa dia dan para pengikutnya di jalan Allah, agar dapat mengubah kemunkaran di kesempatan lain.

  6. Apabila Allah taala mewahyukan Al-Quran untuk memberitahu kisah ini tidak terdapat apa-apa celaan dariNya terhadap sikap Nabi Harun a.s. Allah taala tidak menggambarkan Nabi Harun a.s. dan pengikutnya sebagai pengecut kerana tidak sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan tauhid dan melarang syirik.

  7. Ini mengajar Muslim bahawa mengorbankan nyawa bukan semestinya pilihan dalam semua keadaan dan bagi semua orang, walaupun Islam memandang mulia dan menjanjikan ganjaran sebagai syuhada kepada mereka yang sanggup melakukan sedemikian.

  8. Memilih untuk hidup, atau memilih pilihan lebih ringan, atau memilih mudarat yang lebih ringan bukan bererti pengecut dan tercela dalam Islam. Bahkan ia adalah harus, jika menepati dengan syarat-syaratnya.

  9. Hal yang sama juga dapat dilihat dari kisah sahabat Ammar bin Yasir r.a dan ibunya Sumayyah ketika berhadapan dengan siksaan oleh orang-orang Quraisy di Mekah kerana beriman dengan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Apabila dipaksa untuk memaki Nabi Muhammad s.a.w, Sumayyah r.a. menolak hingga dia dibunuh sedangkan Ammar r.a. memilih untuk melakukannya bagi melepaskan diri dari siksaan yang perit, walaupun dia tetap beriman di hati. Apabila Ammar melaporkan kisah dia dan ibunya, Rasullullah s.a.w memuji Sumayyah r.a. tapi tidak mencela Ammar r.a., begitu juga Al-Quran dalam ayat Al-Nahl:106.

  10. Apa yang menarik ialah Ammar r.a. kemudiannya mati syahid dalam pertempuran semasa pemerintahan Ali r.a sebagai khalifah. Dia pilih untuk hidup ketika disiksa, hanya untuk berjuang di jalan Allah hingga kemudiannya ditakdir terbunuh dalam pertempuran.

  11. Pengorbanan para syuhada perlu dihargai dan menjadi bahan inspirasi, tapi dakwah dimenangkan oleh mereka yang hidup.

  12. Mereka yang pilih untuk hidup hari ini bukan bermakna mereka tidak berani berjuang hingga terkorban di masa lain. Begitulah juga, mereka yang tunjuk semangat berkobar-kobar untuk mati di jalan Allah, bukan bermakna betul-betul berani berkorban nyawa apabila waktu yang sebenar tiba.