Pesanan Dari Al-Quran #39 – Dakwah Hendaklah Fokus Pada Idea, Hujah Rasional dan Membina Keyakinan, Bukan Serangan Peribadi dan Membuat Ugutan

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 7 Januari 2022, di sini.

“Firaun berkata (dengan sombongnya): Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?” (Al-Shu`ara’: 23)

“Nabi Musa menjawab. Dialah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya.” (Al-Shu`ara’: 24)

“Firaun berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan olehnya)?” (Al-Shu`ara’: 25)

“Nabi Musa menegaskan lagi: Dialah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.” (Al-Shu`ara’: 26)

“Firaun berkata (kepada orang-orangnya): Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila?” (Al-Shu`ara’: 27)

“Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya dengan) berkata: Dialah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahaminya.” (Al-Shu`ara’: 28)

“Firaun berkata: Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan.” (Al-Shu`ara’: 29)

“Nabi Musa menjawab: Adakah (engkau akan memenjarakan daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang jelas nyata?” (Al-Shu`ara’: 30)

“Firaun berkata: Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar.” (Al-Shu`ara’: 31)

“Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.” (Al-Shu`ara’: 32)

“Dan dia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.” (Al-Shu`ara’: 33)

“Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada dikelilingnya: Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir.” (Al-Shu`ara’: 34)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas merakam dialog antara Nabi Musa a.s. dan Firaun. Ia berlaku pada ketika Nabi Musa menghadap Firaun untuk mengajaknya beriman pada Tuhan yang sebenar dan membebaskan Bani Israil dari perhambaan agar mereka dapat dibimbing olehnya selaku utusan Tuhan kepada mereka.

  2. Dalam dialog ini terdapat pelajaran dari Nabi Musa a.s. tentang berdakwah;
    a) memberi fokus pada kandungan penting dari ajaran yang dibawanya (Al-Shu`ara’: 24, 26, 28) dan jawapan bagi soalan yang ditanyakan oleh Firaun (Al-Shu`ara’: 23)
    b) tidak mempedulikan ejekan (Al-Shu`ara’: 25), serangan peribadi (Al-Shu`ara’: 27, 34) dan ugutan Firaun (Al-Shu`ara’: 29)
    c) tidak membenarkan dirinya terkesan oleh provokasi dan sikap negatif orang terhadap idea yang hendak disampaikan dan perubahan yang hendak dicapai – tidak menjadi emosi dan membalas dengan sikap negatif yang sama
    d) mendahulukan berhujah secara rasional untuk membina keyakinan atas dasar ilmu (Al-Shu`ara’: 24, 26, 28) sebelum menunjukkan mukjizat (bukti berbentuk kuasa luar biasa) (Al-Shu`ara’: 32-3)

  3. Terdapat juga pelajaran dari sikap Firaun yang perlu dijauhi dalam berdakwah kerana ia sikap golongan yang tercela yang tidak seharusnya dicontohi oleh aktivis dakwah;
    a) tidak membalas hujah dengan hujah yang lebih bernas, sebaliknya membalas dengan cemuhan, sindiran dan ‘strawman’
    b) menggunakan ugutan, paksaan dan kuasa untuk menegakkan pendirian.

  4. Untuk menjadi seperti Nabi Musa a.s. haruslah mempunyai keyakinan yang teguh tentang ajaran yang hendak didakwahkan.

    Keyakinan ini pula dibina atas ilmu yang mantap yang dibina pula atas hujah dan dalil-dalil yang kukuh.

    Kekuatan hujah dan dalil ini bukan hanya dapat menegakkan kebenaran keyakinan dan ajaran yang disampaikan tapi juga mampu membuktikan kebatilan pihak lawan dan mematahkan hujah-hujah mereka.

  5. Dakwah adalah kewajipan Muslim sepanjang zaman, bukan tugas eksklusif pada anbiya’. Sebab itu dakwah perlu diasaskan dahulu atas hujah ilmiyah, bukan bukti bersifat luar biasa seperti karamah.

    Walau pun Allah taala boleh memberi karamah kepada hamba-hambaNya, tapi ia bukan hak bagi semua aktivis dakwah. Hal ini berbeza dengan para anbiya’ yang sememangnya dijamin oleh Allah taala dengan bantuan mukjizat.

    Jika kekuatan asas dakwah terletak pada kuasa-kuasa luar biasa (karamah dsb.), ia pasti tidak adil kepada Muslim yang diwajibkan dengan kewajipan tanpa upaya untuk miliki kuasa-kuasa luar biasa.

    Hal ini juga boleh membuka pintu bagi pelbagai ajaran yang menggunakan kuasa kuasa luar biasa untuk menyesatkan manusia dari kebenaran.

  6. Akan ada manusia yang tetap menolak kebenaran walau pun setelah dibentangkan hujah rasional dan ditunjukkan kepadanya mukjizat dan karamah dari Allah taala sepanjang zaman sebagaimana Firaun yang diceritakan dalam Al-Quran.

    Apabila berhadapan dengan manusia sebegini, aktivis dakwah hendaklah terus berpegang pada prinsip dakwah yang disebut di atas, dan jangan melencong kepada;
    a) berputus asa dari usaha dakwah
    b) menggunakan taktik-taktik lawan pula seperti menyerang peribadi dan mencemuh atas alasan terlalu degil
    c) gopoh untuk guna kekerasan dan ugutan

    Hal ini kerana sejauh mana manusia mahu menerima dakwah yang disampaikan bukan hanya bergantung pada hujah yang bernas dan cara penyampaian yang terbaik, tapi juga bergantung pada hidayah dari Allah taala.

    Ada manusia yang tetap keras atau tidak mahu menerima kebenaran bukan kerana kandungan dan cara dakwah tidak bagus, tapi kerana Allah belum mengizinkan hidayah masuk pada diri atas hikmah yang hanya Dia Yang Maha Tahu.

  7. Prinsip ini bukan hanya relevan dalam konteks dakwah cara tradisional tetapi juga dakwah di media sosial yang lebih terdedah pada komentar-komentar bersifat cemuhan, serangan peribadi dan sikap-sikap negatif yang lain, berbanding dialog secara rasional dan ilmiyah.