Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 21 Januari 2022, di sini.
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barang siapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api Neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (Al-Kahf: 29)
“(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya). Katakanlah lagi: Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.” (Al-Zumar: 15)
Pelajaran
- Ayat-ayat di atas menjadi asas bagi persoalan iman dalam Islam, iaitu akidah dan keyakinan adalah pilihan bebas seseorang, dilakukan secara sukarela, bukan dipaksa (Al-Baqarah: 256).
Allah bukan hanya melarang memaksa manusia untuk menerima iman yang benar, Dia bahkan membuat penegasan akan kebebasan manusia untuk memilih samada untuk beriman atau mengkufuriNya (Al-Kahf: 29, Al-Zumar: 15). - Ayat-ayat di atas juga meletakkan prinsip dalam berdakwah, iaitu mengajar manusia untuk menerima iman yang benar dengan membina keyakinan yang berteraskan ilmu dan hujah yang mantap dalam hati dan minda manusia atau dakwah secara pujukan, bukan melalui ancaman kekerasan atau paksaan.
Dalam kesemua ayat-ayat di atas, Allah taala hanya memberitahu orang-orang yang belum beriman akan kesan baik dan buruk bagi pilihan mereka.
Ertinya manusia bebas memilih samada untuk beriman atau kufur, tapi manusia juga perlu jelas bahawa pilihan yang dibuat itu bukan tanpa akibat. - Oleh kerana kebebasan memilih adalah sesuatu yang Allah taala sendiri beri dan pertegaskan, tiada sesiapa boleh memaksa orang lain dalam soal keyakinan agama atas slogan “demi kebenaran”.
Islam melarang seorang bapa pun dari memaksa anak atau isterinya untuk menerima akidah Islam sebagaimana yang yang berlaku pada Nabi Nuh a.s. dan anak dan isterinya dan Nabi Lut a.s. dan isterinya. - Apa yang menjadi berkaitan ayat ini pada masa kini ialah samada kebebasan ini terhad pada kebebasan bukan Muslim untuk menerima akidah Islam, atau prinsip-prinsip ayat ini juga berlaku pada seorang Muslim untuk memilih akidah agama lain dan meninggalkan akidah Islam, atau dengan erti kata lain murtad dari agamanya.
- Pendirian para ulama mengenai murtad adalah jelas – ia adalah terlarang dan satu dosa besar, jika dilakukan secara sukarela dan setelah seseorang itu menerima ilmu yang memadai untuk dia meyakini kebenaran akidah Islam.
Ulama juga jelas akan kepentingan untuk perihatin akan persoalan murtad dan menganjurkan Muslim mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan ia dari berlaku dan langkah pemulihan apabila berlaku.
Yang menjadi kontroversi dan diperdebatkan oleh ulama kontemporari ialah samada langkah penguatkuasaan wajib diberlakukan bagi menghalang kebebasan memilih Muslim dalam isu ini dan mengenakan hukuman mati ke atas Muslim yang tidak mahu bertaubat setelah meninggalkan agamanya. - Terdapat ramai ulama kontemporari berpendapat bahawa ayat-ayat di atas juga berlaku bagi Muslim.
Ertinya kebebasan memilih untuk memeluk dan meninggalkan satu agama yang terkandung dalam ayat-ayat di atas juga berlaku bagi Muslim, walaupun ia sesuatu yang haram dan berdosa besar.
Mereka yang melakukannya hendaklah didakwah dengan cara baik dan hikmah agar kembali ke agama Islam tapi tidak boleh dipaksa dengan apa jua bentuk paksaan atau dikenakan hukuman mati ke atasnya jika tetap dengan pilihannya. Hal ini kerana masalah murtad telah berlaku ketika Nabi s.a.w masih hidup dan terdapat banyak kes murtad yang berlaku di zaman itu yang tidak dipaksa kembali ke agama Islam atau tidak dikenakan hukuman mati.
Ulama dalam aliran ini berpendapat hukuman mati yang ada disebut dalam hadis ialah hukuman takzir – hukuman berdasarkan budi bicara penguasa Muslim semata-mata. Ada pun perang melawan kabilah-kabilah Arab yang murtad setelah kewafatan Nabi s.a.w pula adalah kerana ia adalah pemberontakan bersenjata terhadap khalifah pengganti Nabi s.a.w, apabila kabilah-kabilah berkenaan tidak mahu lagi tunduk pada pemerintah di Madinah setelah ketiadaan Nabi s.a.w. - Namun lebih penting lagi ialah hukuman keras ke atas perbuatan murtad dalam konteks hari ini bukan sesuatu yang perlu dilaksanakan oleh masyarakat Muslim yang hidup di negara bukan Muslim.
Sikap masyarakat Muslim di Singapura dalam hal ini ialah untuk menangani masalah ini dengan dakwah yang baik dan berkesan.
Ini adalah sikap yang putuskan oleh Muktamar Ulama Pergas pada tahun 2003 yang dirakam dalam buku Kesederhanaan Dalam Islam, terbitan tahun 2004. - Huraian lanjut boleh dibaca di pautan-pautan di bawah;
a) Muhammad Haniff Hassan, Menangani Isu Murtad Di Singapura, di https://haniff.sg/artikel-panjang/menangani-isu-murtad-di-singapura/
b) Muhammad Haniff Hassan, Towards a Common Balanced Standpoint on Apostasy for Singapore’s Asatizah Community, di https://haniff.sg/en/long-articles/my-article-towards-a-common-balanced-standpoint-on-apostasy-for-singapores-asatizah-community/
c) Muhammad Haniff Hassan, Apabila Ahli Keluarga Tidak Soleh, di https://haniff.sg/artikel-pendek/artikel-apabila-ahli-keluarga-tidak-soleh-berita-minggu-singapura-23-september-2012/
d) Muhammad Haniff Hassan, Dealing With Non-Practicing/Sinful Close Family Member: Argument for ‘Hate the Sin, Not the Sinner’, https://haniff.sg/en/short-articles/article-dealing-with-non-practising-sinful-close-family-members-argument-for-hate-the-sin-not-the-sinner/