Pesanan Dari Al-Quran #42 – Tangani Stres Dengan Tidur

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 18 Februari 2022, di sini.

“Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas)……” (Al Imran: 154)

“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu)….” (Al-Anfal: 11)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas mengisahkan keadaan sebahagian para sahabat ketika berada di medan perang.

    Allah taala mengurniakan mereka ngantuk agar mereka dapat tidur sebagai satu cara untuk meringankan stres dan tekanan berat yang di hadapi di medan tempur.

    Rasa ngantuk yang menidurkan para sahabat ini disifatkan sebagai nikmat (perkara yang baik) dari Allah taala.

  2. Al-Quran mengakui bahawa pada tidur ada kebaikan, iaitu ia dapat memberi ketenangan dan ketenteraman dari pelbagai masalah emosi seperti kerungsingan dan stres.

  3. Ayat-ayat ini merupakan pengiktirafan Al-Quran bahawa terapi bagi stres bukan hanya melalui terapi kerohanian seperti zikir, beribadah dan ruqyah, tetapi juga terapi fizikal, iaitu tidur yang merehatkan otak dan badan.

  4. Secara tidak langsung juga, Al-Quran mengakui bahawa sumber masalah psikologi dan emosi manusia juga ialah faktor fizikal, iaitu apabila badan tidak cukup rehat dan kurang tidur.

    Logiknya, jika tidur itu memberi ketenangan pada tubuh, maka tubuh yang tidak mendapatkan tidur yang memadai akan terhalang dari faktor-faktor yang boleh memberi ketenangan padanya. Ini menyebabkan tubuh itu kurang kemampuan untuk hadapi tekanan dan cabaran hidup yang mengakibatkan pula stres, murung dan tekanan mental.

  5. Insan yang banyak beribadah dan rohani kuat boleh juga alami stres dan tertekan dengan cabaran hidup, jika fizikalnya bermasalah kerana sakit, kurang rehat atau lemah.

  6. Muslim hendaklah melihat masalah psikologi dan emosi dari sudut yang pelbagai dan luas, bukan hanya menyalahkan iman yang lemah dan bergantung pada terapi rohani sahaja.