Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 4 Mac 2022, di sini.
“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil.” (Al-Qasas: 55)
“Katakanlah [Wahai! Muhammad]: Hai kaumku, bekerjalah sesuai dengan keadaanmu, sesungguhnya aku akan bekerja (pula), maka kelak kamu akan mengetahui.” (Al-Zumar: 39)
Pelajaran
- Kededua ayat di atas adalah nasihat Allah taala kepada Nabi s.a.w tentang bagaimana menangani mereka yang berdegil untuk menolak dan menentang kebenaran atau teguran yang baik walaupun setelah diberikan penerangan dan bukti yang kukuh tentang kesalahan pada keyakinan atau tingkah laku mereka.
- Allah taala memberitahu Nabi s.a.w untuk buat dan bertindak dan biarkan amal dan hasil usaha yang berbicara tentang kebaikan pada keyakinan, perbuatan dan teguran beliau terhadap kaumnya yang kuat menentang, setelah dia berusaha pelbagai cara untuk berdakwah.
- Kebenaran memang perlu diasaskan atas dasar ilmu dan hujah yang kukuh. Namun ilmu dan hujah bukan semestinya disampaikan dalam bentuk idea atau konsep yang abstrak. Menyampaikan kebenaran juga bukan hanya ditujukan pada domain kognitif, tapi juga mensasarkan deria-deria lain yang dapat memberi pengalaman sebenar akan kebaikan yang ada pada ajaran yang disampaikan.
- Sebagai contoh, untuk mengubah kemungkaran yang sedang berleluasa, ia bukan hanya dengan menegur kemungkaran itu dan menunjukkan keburukannya, tapi juga dengan menghasilkan amal konkrit dalam bentuk alternatif bagi kemungkaran itu yang dapat menunjukan kebaikan yang nyata dan dapat dialami langsung oleh masyarakat sehingga dengan itu mereka mudah untuk menerimanya dan meninggalkan kemungkaran yang sudah terbiasa.
Hal ini menjadi lebih signifikan dalam keadaan manusia yang tidak mahu meninggalkan kemungkaran bukan kerana tidak tahu akan keburukannya tetapi kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain yang lebih baik atau tidak mampu untuk berpindah kepada alternatif yang lebih baik.
Demikian juga golongan yang sudah sekian lama terbiasa dengan sesuatu tradisi dan cara hidup yang di sisi Islam adalah terlarang.
Golongan sebegini tidak dapat diubah hanya dengan nasihat dan idea, tapi memerlukan amal yang konkrit. Dengan itu, mereka dapat melihat dan alami perbezaan baik dan buruk untuk mengubah nilai dalam diri atau berpindah dari keadaan mungkar yang mereka tidak dapat elakkan. - Firman Allah taala, “…Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu…” (Al-Qasas: 55), juga memberi pelajaran bahawa mereka yang mendakwahkan kebenaran harus terima atau tidak perlu takut akan kewujudan bersama kebatilan kerana ia adalah sesuatu yang lumrah dalam usaha dakwah.
Mendakwahkan kebenaran bukan semestinya dilakukan dengan menafikan ruang bagi fahaman atau amalan yang berlawanan. - Oleh kerana usaha dakwah akan sentiasa berhadapan dengan fahaman dan amalan yang berlawanan dan golongan yang tidak mahu kebenaran juga pasti wujud sepanjang zaman, dakwah haruslah menerima dan bersedia dengan persaingan yang terbuka.
Dalam persaingan ini, Al-Quran mengajar dakwah bukan hanya harus mengemukakan idea, tapi juga tindakan dan amal – tindakan-tindakan yang lebih berkesan bagi menghurai masalah masyarakat dan alternatif lebih baik bagi kemungkaran yang ada. - Untuk menyebabkan manusia menerima kebenaran berdasarkan amal yang konkrit, mereka perlu ditunjukkan bukti tentang manfaat dan kebaikan amal itu.
Bukti-bukti ini boleh didapati melalui data-data yang berkaitan. Oleh itu, usaha dakwah harus juga memberi tumpuan pada usaha melakukan kajian-kajian yang dapat mengumpul data bagi membuktikan kebaikan amal yang dibuat.
Tanpa data yang kukuh, kebaikan sesuatu amal itu hanya dapat dirasa oleh mereka yang meraih manfaat langsung dari amal itu, maka kesannya adalah terbatas. Data yang dikumpul dengan rapi dan dipersembahkan dengan baik tentang kebaikan sesuatu idea adalah jembatan yang dapat mendekati masyarakat yang lebih ramai, yang tidak dapat alami atau rasa sendiri kebaikan itu. - Ayat-ayat di atas juga mengajar bahawa ajaran yang baik-baik hanya akan bermanfaat kepada masyarakat jika ia diikuti dengan usaha (amal) yang kuat untuk memahamkan manusia tentang ajaran itu dan menyebabkan mereka mahu menerimanya.
Tanpa usaha gigih, ajaran yang baik akan hanya tinggal di kitab-kitab dan minda sahaja dan apa yang tersurat di kitab-kitab dan tersimpan di minda tidak akan mengubah realiti yang ada.